Alpha To Omega: June 2010

Sunday, June 27, 2010

Mulianya kita pada apa ?


Salam.
Kif hal ? Bikheir ? Alhamdulillah.

p/s : Post ini agak panjang.

Peperiksaan sudah tamat. Moga-moga Allah memberikan segala apa yang memberi kemaslahatan kepada Islam, dan berkati perjuangan sesiapa yang ikhlas memuliakan dakwahnya. InsyaAllah.

Saya mahu Allah muliakan saya di sisi-Nya, tatkala manusia tidak memandang pada saya, tatkala manusia melihat zahir saya yang tidak nampak mulia. Saya yakin kemuliaan yang Allah beri pada pendakwah itu adalah kemuliaan yang sejak azali lagi terpahat ke dalam jiwa-jiwa duat yang bersungguh-sungguh, tanpa perlu berhajat kepada kemuliaan manusia.

Bahkan kemuliaan di sisi manusia hanyalah ibarat ranting pokok yang bila-bila saja boleh dipotong, sedangkan ranting itu akan datang sendiri jika akarnya benar-benar tahan lama dan kuat, bila-bila masa saja ia akan tumbuh. Cuma masa saja yang akan menentukan bila ia tumbuh. Tunggu sajalah.

Saya suka mengulang kembali apa yang diulas oleh Abu Ammar dalam Al-Muntalaq tajuk ke-11 : Raayatul Khair (Bendera Kebaikan). Saya juga menyeru pembaca yang inginkan pencerahan dari sudut keterbukaan medan amal dakwah dan kejelasan jalan dakwah untuk mentelaah bab ini dengan bersungguh-sungguh.

Biar saya simpulkan beberapa perkara ;

1. Medan dakwah secara jamaie (berkumpulan) adalah suatu medan yang tak ramai pendakwah Islam ceburi dan tidak ramai fahami secara serius. Ia suatu medan yang sangat besar peranannya dalam menggerakkan dakwah di kalangan masyarakat. Ia dikira sebagai antara suatu masalah sekiranya tidak banyak (atau tiada langsung) bendera-bendera kebaikan yang nak bawa Islam (maksudnya kumpulan-kumpulan dakwah) itu tiada dan tidak timbul.

Maka jika timbulnya suatu bendera kebaikan, ia merupakan suatu saham yang sangat besar dalam dunia dakwah, kerana ia akan menarik pandangan manusia ke arahnya, dan menggabungkan tenaga-tenaga sesiapa yang baik tapi tiada teman untuk berjuang dan sebagainya.

Jahiliyah sibuk mengangkat bendera-bendera mereka, namun tidak pernah kita fahami sebenarnya itu adalah strategi mereka untuk 'nampak macam kuat', dan sebenarnya itu adalah salah satu cara psikologi dalam membentuk massa dan arus perdana masyarakat.

2. Kemuliaan kita adalah pada amal. Ia dijelaskan dalam kisah perutusan surat oleh Abu Darda' kepada Salman Al-Farisi. Abu Darda' menulis : "Marilah kembali kepada bumi yang mensucikan ini (iaitu Madinah)". Lantas Salman Al-Farisi menjawap : "Sesungguhnya bumi itu tidak pernah mensucikan sesiapa pun, tetapi yang mensucikan (memuliakan) seseorang hamba itu adalah amalnya". Fiqh (kefahaman) Salman Al-Farisi dari sudut ini menjelaskan kita betapa perlunya amal ke atas diri seseorang manusia, berbanding bumi .. atau mana-mana persekitaran yang dia duduki.

Saya sangat tertarik dengan olahannya dalam bab ini. Beliau memulakannya dengan kepentingan membawa bendera dan jenama. Kemudian pada akhirnya beliau mengembalikan jiwa-jiwa duat yang sudah bergabung dengan mana-mana jenama dan bendera itu tadi kepada asolah (ketulenan) fikrah iaitu dakwah itu sebenarnya tergantung pada diri kita semata-mata. Ia bagi membendung sifat bangga diri, penyakit hati dan izzah (kemuliaan) yang bukan diletakkan pada tempatnya. Adapun bendera dan jenama langsung tidak mampu memberi sebarang manfaat untuk memuliakan diri kita dan mensucikannya, pada hakikatnya.

Saya secara peribadinya menyokong segala pertubuhan-pertubuhan Islam yang ingin membawa kebaikan, apatah lagi kalau itu adalah pertubuhan dakwah dan tarbiyyah.

Saya selalu pegang prinsip ini :

" Kita ini mulia jika kita berdakwah dan beramal. Jika kita tak beramal, maka secara automatik kehinaan akan terpalit dalam diri kita dan dikira sebagai golongan yang meninggalkan dakwah. Tidak kiralah kita ini sebagai orang yang paling rasmi dan paling diiktiraf dan macam-macam paling yang lain."

Bagi saya, jika anda mahu memilih, pilihlah yang paling anda rasa boleh beramal dengan lebih mantap dan maju serta mengembangkan potensi anda sesuai dengan perkembangan hidup dan umur anda. Kajilah dahulu. Fahamilah Islam dengan neraca Al-Quran dan Sunnah, kemudian baru pergi dalam menilai kefahaman sesuatu jemaah.

Adapun sekiranya ada sesetengah pihak yang berkata ; "Jamaah kami dijaga oleh Allah.".

Maka saya secara peribadinya menjawap : "Allah telah berjanji akan menjaga hamba-Nya yang beriman dan hamba-Nya yang bertaqwa, sekiranya dalam jemaah tersebut ada orang-orang yang demikian, pasti Allah akan menjaga dia. Adapun sekiranya jemaah itu memang dijaga Allah tetapi terdapat beberapa orang yang tak bertaqwa dan tak beriman dalamnya, maka orang itu akan hilang (nauzubillah) dan qafilah dakwah akan terus berjalan dengan penjagaan Allah".

Anda mahu berbincang dalam bab organisasi dan teknikal jemaah ? Saya rasa kita masih belum sesuai bincangkan lagi sekiranya asas ini masih belum kukuh. Saya pun belum sampai lagi tahap untuk memahami dengan kefahaman yang jitu dan teliti terhadap perkara itu.

Cuba kita ibaratkan dakwah dengan memberi makanan kepada manusia. Setiap perkumpulan ada buah tersendiri untuk beri makan pada mad'u-mad'u (manusia). Ada yang nak beri epal, ada anggur, ada durian dan ada juga manggis. Setiap kumpulan ada sebab-sebabnya dan ada kajiannya dalam menentukan buah apa yang mereka nak bagi.

Jika saya mahu memberi epal, saya perlu menanamnya, tapi sekiranya pokok yang sudah tumbuh itu adalah anggur, takkan saya mahu mengatakan anggur itu tetap epal ? Nanti saya dikira menipu diri sendiri. Biarlah saya tanam epal saya.

Yang menjadi masalah apabila kita menyuruh orang lain jangan memberi dan hanya kita saja yang layak beri pada manusia. Ataupun kita suruh orang lain hanya ambil daripada buah kita saja dan tinggalkan buah mereka.

Biarlah manusia tentukan mana satu yang mereka suka. Tunggulah masanya.

Habis celoteh bab jemaah. Moga Allah memberikan kita istiqamah dan tsabat atas jalan hidayah-Nya. Saya anak kepada ibubapa yang komited dalam IKRAM, dan saya komited dalam ISMA. Tiada apa masalah pun.

Kami bahagia menjadi keluarga dakwah yang memahami dakwah. Saya sarankan kepada anda sekiranya masih kabur dalam isu ini untuk banyakkan perbincangan dengan semua pihak untuk menjelaskan beberapa isu yang agak sensitif. Jangan pergi pada saya, saya bukanlah orang yang paling layak dalam isu ini.

Pesanan saya satu saja, tinggalkan jahiliyah dalam diri kamu, maka kamu pasti akan mampu melihat kebenaran dengan cahaya Allah.

----

Masuk celoteh bab yang agak santai.

Semalam pergi menziarahi kawan yang akan balik ke Malaysia. Allah takdirkan saya bertemu dengan sahabat-sahabat Syria yang belajar di Mesir di rumah kawan saya itu. Ada yang sudah kahwin dan punyai ramai anak. Antara perbincangan yang menarik ;

Saya : Kalau di Syria, mahar untuk perempuan biasanya berapa ?
Abu Ibrahim : Oh.. maharnya sangat mahal.

Saya terus terfikir .. ini mesti macam Mesir, maharnya puluhan ribu bahkan mencecah ratusan.

Saya : Lebih kurang berapa tu agak-agaknya ?
Abu Ibrahim : Kamu bersedia ke untuk nak bayar ?

Saya : Berapa ?? (Saya tanya lagi)
Abu Ibrahim : Sebutlah 'insyaAllah'.

Saya : Baiklah. InsyaAllah bersedia.
Abu Ibrahim : Maharnya sangat tinggi, dan sangat susah.

Saya : Berapa tu ??
Abu Ibrahim : Kamu betul-betul nak tahu ?? Bersedia betul ?

Saya : InsyaAllah.

Abu Ibrahim (sambil tersenyum sinis) : Maharnya adalah Al-Quranul Karim. Perempuan di Syria tidak meletakkan maharnya pada material, tapi meletakkan syarat yang ketat iaitu ; penuntut ilmu, dan menghafaz Al-Quran. Tidak kira dari negara mana pun, walaupun dia seorang hamba yang berkulit hitam.

Saya tersenyum.

Bukan apa, cumanya tertarik dengan uruf masyarakat Syria yang begitu mengagungkan nilai Al-Quran di sisi mereka. Suatu hari nanti, Malaysia yang tercinta juga akan jadi begitu. Pastinya, kerana itulah yang diharapkan untuk dipraktikkan oleh generasi harapan yang akan datang.

Mabruk !

---

Musim panas kembali. Jom hayatinya, lebih-lebih lagi kali ini ia dibawa khas bersama Ramadhan Al-Mubarak pada bulan Ogos. Jangan lupa masukkan perancangan Ramadhan dalam perancangan Musim Panas anda.

Ini namanya post habis exam. Maka panjangnya pun difahami lah ya.

Wallahua'lam.
Wassalam.

Monday, June 21, 2010

Make it yesterday


Salam.
Kef hal ? Bikheir insyaAllah.

Alhamdulillah semalam IKRAM sudah dimasyhurkan dan dilancarkan dengan rasmi. Saya rasa ia merupakan suatu semangat dakwah yang baru kepada rakyat Malaysia, dan merupakan suatu harapan dan nafas baru kepada 'orang-orang lama'.

Biar lebih ramai orang tahu bahawa Islam ini semakin berkembang dan semakin mulia. Biar masyarakat Malaysia tahu bahawa Islam ini untuk mereka, dan milik mereka. Biar semua orang tahu bahawa jiwa-jiwa duat ini bersungguh buat kerja, sangat menyayangi mereka, dan sedia berkorban untuk mereka. Biarlah akhirnya manhaj nubuwwah ini dikenali di seluruh pelusuk dunia, supaya terbina khilafah di atasnya dengan tabie dan fitrah manusia.

Alhamdulillah. Papa termasuk dalam VVIP list, dengarnya dapat duduk sebelah Abu Ammar. Teringin nak tanya Abu Ammar, bila kitabnya Ihya'ul Ihya' nak keluar ? Kitab itu adalah ringkasan dan komentar terhadap kitab Ihya' Ulumiddin oleh Al-Ghazali. Kalau ikut maklumat wiki, kitab Ihya'ul Ihya' itu masih dalam pembikinan. Wallahua'lam.

Mama pula AJK Media yg bertungkus lumus mempersiapkan unitnya dari awal pagi. Mama dapat duduk sebelah Puan Haninah (isteri ke-2 Abu Ammar, warga Filipina). InsyaAllah, moga mama papa terus istiqamah dalam jalan dakwah ini.

Apa-apapun saya bersyukur kepada Allah atas perkembangan yang baik ini. Moga ia dapat memberi saham yg besar dalam 'membina generasi harapan'. ISMA sentiasa menjadi pilihan di hati saya, dan dalam darah daging saya kerana telah memperkenalkan kepada saya dakwah dan tarbiyyah pada jalan yang jelas lagi terang-benderang.

Suatu hari nanti .. semua gerakan-gerakan Islam akan bersatupadu, untuk membentuk arus Islam yang mampu melawan arus jahiliyyah, jika kita benar-benar ikhlas dalam beramal. Kesatuan umat yang akan berlaku itu satu isu aqidah yang kita tidak boleh ragui. Ini kerana kemenangan Islam itu pasti berlaku, dan ia akan berlaku kepada semua umat Islam.

--

Banyak yang ingin saya coretkan. Tapi bagi saya memadailah untuk satu topik hari ini, berbanding topik-topik yang lain. Mungkin pada kali ini ia lebih bersifat dalaman. Mungkin.

If there's no yesterday

Baru-baru ini dalam benak jiwa saya sentiasa memikirkan perkara-perkara lalu. Saya rasa setiap orang ada zaman silamnya. Ada zaman kegelapannya. Ada zaman jahiliyahnya. Ada zaman baru nak 'up' dan baru nak cuba macam-macam perkara. Zaman pra-matang dan sebagainya.

Namun untuk menjadi seorang mukmin yang benar, kita perlu memandang sesuatu itu pada pandangan Allah, dan neraca Islam yang menjamin ketepatan dan keseimbangan dalam kita membuat sesuatu pertimbangan.

Pada saya, dalam kita melihat sesuatu perkara, kita perlu utamakan cahaya Allah berbanding teori-teori yang lain. Cahaya Allah yang saya maksudkan adalah cahaya yang membawa kepada-Nya, yang mengheret kita ke syurga-Nya, yang menyuluhkan jalan mustaqim untuk bertemu dengan-Nya.

Saya perhatikan ada beberapa jenis manusia yang menimbang sesuatu dengan timbangan akal semata-mata mahu menyedapkan jiwa mereka. Lantas mereka membuka buku-buku motivasi dan memang ia mampu menghiburkan hati yang gundah gulana, kecewa, risau dan sebagainya. Namun bila hati kembali merana, ia tidak mampu bertindak sebagai formula untuk digunakan pada kali kedua. Ini kerana mereka menggantungkan pertimbangan mereka pada suatu yang tidak kekal. Sesuatu yang boleh diubah-ubah.

Saya bagi satu contoh mudah ; jika berlaku sesuatu musibah kepada seseorang, biasanya orang akan cakap : "Sabarlah, ada hikmahnya tu". Ataupun apa-apa sangkaan baik yang boleh dibuat.

Jika kita melihat pada cahaya Allah ; kita akan berkata ; "Sesungguhnya Allah menghendaki kebaikan kepada kamu lantas ia memberimu sedikit musibah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengambil sesuatu kecuali Dia akan memberi sesuatu. Sesungguhnya Allah itu menguji iman hamba-Nya dengan sedikit musibah untuk menaikkan hamba-Nya pada suatu martabat yang lebih agung dan tinggi."

Saya rasa itu juga kebanyakan manusia biasa ucapkan. Cumanya saya hanya mahu mereka sedar bahawa pertambahan nilai Zat yang Maha Kekal itu sangat besar bezanya dengan kata-kata kosong penyedap jiwa yang menghiburkan hati buat sesaat dua.

--

Masuk pada topik yang ingin saya bincangkan. Ia berkenaan masa lalu, dan bagaimana mahu mengambil manfaat daripadanya.

Jika 'semalam' itu tiada, masakan Umar Al-Khattab boleh jadi setegas manusia yang diberi gelaran padanya Al-Faruq. Seorang insan yang berani yang mula-mula sekali mencadangkan kepada Nabi s.a.w agar menjaharkan dakwah dan pergi keluar beramai-ramai berarak ke Masjidil Haram. Masakan beliau mampu mengetahui selok-belok kebatilan sehinggakan empayarnya begitu adil dan Islam berkembang maju.

Jika 'semalam' itu tiada, masakan Fudhail ibn Iyadh mampu menjadi 'abid yang tsiqah dan menjadi salah seorang imam yang diikuti. Seorang ahli zuhud yang mampu menjadikan manusia menangis mendengar kata-katanya. Padahal kisah 'semalam' nya menjadi perompak cukup membuatkan manusia hairan bagaimana insan boleh berubah keseluruhannya.

Jika 'semalam' itu tiada, masakan Rasulullah itu mampu mengucapkan "La Tahzan" kepada Abu Bakar saat mereka berdua di Gua Tsur, sedangkan Abu Bakar cukup khuatir kira-kira salah seorang orang kafir Quraisy itu menundukkan sedikit pandangannya. Peristiwa 'semalam' bagi Muhammad s.a.w yang menjadikan baginda teguh dan mantap adalah ketika mana baginda dipeluk sehingga sesak nafas oleh Jibril A.S dan baginda pulang ke rumah dalam keadaan terketar-ketar, maka keluarlah satu kalimah yang sangat masyhur "Zammiluuni" kepada teman tercinta Khadijah R.A.

Jika 'semalam' itu tiada, sudah pasti kita tidak mampu mengetahui kisah Nuh A.S ketikamana isteri dan anaknya berpaling dari dakwahnya. Ketika anaknya tidak ikut serta dalam bahteranya dalam banjir besar yang dahsyat menimpa seluruh penduduk bumi.

Jika 'semalam' itu tiada, kita tidak akan mengetahui kisah-kisah umat terdahulu bagaimana mereka musnah dan hancur, akibat pendustaan kepada para Rasul A.S. Pastinya kita akan mengulangi kesilapan-kesilapan mereka jika sejarah mereka tidak kita ketahui.

Jika 'semalam' itu tiada, kita tidak akan mampu berdiri dan berlari, kerana waktu bayi kita adalah waktu kita merangkak dan selalu terjatuh bila cuba untuk berjalan. Selalu tersadung bila cuba untuk berlari. Namun 'semalam' itu telah mengajar kita berbagai-bagai pengajaran untuk kita terus hidup maju dan jadilah kita apa yang kita jadi pada hari ini.

Jika 'semalam' itu tiada, nescaya kita tidak akan merasai bagaimana hebatnya air mata keinsafan yang memberi kesan pada hari ini. Nescaya kita tidak mampu memahami perjuangan orang-orang yang bermujahadah melawan jahiliyah dalam dirinya. Nescaya hakikat taubat itu tidak mampu kita terokai. Nescaya kita tidak akan mahu bertaubat berkali-kali kerana putus asa.

Jika 'semalam' itu tiada, nescaya kematangan kita pada hari ini tidak mampu dikecapi. Nescaya orang-orang tua tidak akan mampu berkongsi pengalaman mereka. Nescaya kita tidak mampu memahami hakikat-hakikat yang tersembunyi dalam hidup kita ini.

Jika 'semalam' itu tiada, nescaya kita tidak akan mampu mengetahui sinar cahaya dan harapan bahawa di sana masih ada harapan untuk kita terus kembali kepada Yang Maha Pengasih.

Allah Rabbul Jalal telah mencipta 'semalam' untuk kita belajar macam-macam erti dan makna serta meningkatkan diri, Dia jugalah Pencipta 'hari esok' untuk kita melihat harapan yang telah Dia sediakan. Sepertimana Dia telah menjadikan matahari itu terbenam pada waktu senja, Dia jugalah yang menjadikan waktu fajar sebagai penghibur buat hamba-hamba yang berdosa.

Jikalau tiadanya 'semalam', maka Allah tidak akan mencela orang yang putus asa terhadap rahmat-Nya. Ingatlah kata-kata Ibnu Athoillah As-Sakandari ;

" إذا وقع منك ذنب ، فلا يكن سببا يؤيسك من حصول الاستقامة له ، فقد يكون آخر ذنب يقع فيك "
"Sekiranya engkau telah berbuat dosa, janganlah ia menyebabkan engkau putus asa dalam mencapai istiqamah, mungkin ia adalah dosa terakhir yang engkau lakukan"

Lihatlah dengan cahaya Allah, jiwa kita akan sentiasa tenang, dan kita akan sentiasa optimis dalam perjalanan kita menuju Pencipta kita. Jika kita melihat dengan cahaya selain-Nya, ia hanya akan membawa kita kepada punca cahaya tersebut.

Jika cahaya itu berpunca daripada arus pemikiran jahiliyah, maka penghujungnya tak dapat digambarkan, tapi sekiranya cahaya itu kita sandarkan pada Zat yang telah mencipta kita, maka akhirnya kita akan kembali kepada fitrah manusia, dan baru kita mampu memahami apa erti sebenarnya menjadi seorang hamba kepada Yang Maha Esa.

Just .. make it your yesterday, for the better tomorrow. There's always another hope, another chance, another way, to seek the light, and go for it.

Indahnya ucapan Subhanallah ketika kita mengetahui semuanya adalah rahmat daripada Allah, indahnya ucapan Alhamdulillah ketika kita mengetahui segala yang berlaku sedang memuji-Nya, indahnya ucapan Allahuakbar ketika kita mengetahui segalanya di bawah perhitungan-Nya, dan indahnya ucapan Lailahaillallah bila kita mengetahui tiada di dunia melainkan semuanya pada pergantungan-Nya.

Alangkah indahnya zikir itu, ketika kita mengetahui bahawa Allah sentiasa menyebut-nyebut nama kita di sisi para malaikat di langit sana.

Wallahua'lam.
Wassalam

Saturday, June 12, 2010

An-Nursi's Legacy



Salam.
Apa khabar semua ? Bikheir insyaAllah.

Saya masih lagi dalam musim peperiksaan.

Mengimbas isu flotilla LL4G (Semoga Allah merahmati para syuhada' dan orang-orang yang tercedera), saya teringat kawan saya di Turki, namanya Ubeydullah Kudat. Berumur 30-an. Saya bertemu dengannya pada bulan Ramadhan 2 tahun lepas (2008). Pertemuan kami di Masjid Salam, Bawwabah Uula, Hayy Asyir.

Pertemuan kami hanya bermula pada awal Ramadhan dan berakhir pada penghujung bulan mulia ini. Kami tak sempat menyambut Aidil Fitri bersama-sama kerana beliau pulang ke Turki pada 25 Ramadhan kalau tak silap saya.

Mengenali beliau, saya dapat rasakan bahawa di luar sana ramai lagi orang-orang yang memahami Islam pada tasawwur (gambaran) yang betul. Beliau merupakan antara aktivis Harakah Nuriyah, ataupun dikenali sebagai Tullab Rasail Nur (pelajar himpunan risalah An-Nur). Himpunan Risalah An-Nur merupakan satu karya agung hasil tulisan Badiuzzaman Said An-Nursi, seorang pejuang Islam Turki selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyah Turki.

Said Nursi meninggal dunia pada umur 80 tahun lebih. Dia pernah beberapa kali masuk penjara, dan sikapnya sungguh tegas dan sangat izzah dengan Islam. Dia tidak berkahwin sehingga meninggal dunia. Tulisan-tulisannya banyak berkisar "tauhid" dan aplikasinya pada kehidupan seharian sangat mendalam.

Ubeydullah Kudat, saya panggilnya Ustaz Ubeydullah. Dia pun belum berkahwin lagi. Jelas pada raut wajahnya kesungguhan seorang mujahid. Keseriusannya dalam mencari ilmu dan mengembangkan bakatnya. Beliau ke Mesir hanya beberapa bulan dan boleh bercakap Arab dengan baik.

Malam terakhir sebelum beliau berangkat, saya sempat berbual-bual agak panjang dengannya. Antara yang menarik : -

1. Ungkapan yang biasa kita dengar ; Islam ini boleh diibaratkan seperti seekor gajah. Jika orang buta pegang belalainya, dia akan kata itulah gajah sebenar, jika dia pegang ekornya, dia akan kata itulah gajah. Tapi bila orang yang celik melihatnaya, dia akan mengetahui, bahawa kesemua badan gajah itulah gajah yang sebenarnya.

2. Beliau berpesan kepada saya untuk banyak ber'harakah'. Katanya : Al-Harakah Barakah !. (Dengan berharakah itu ada keberkatannya). Saya pegang sampai kini kata-katanya. Sungguh indah.

3. Beliau galakkan saya agar banyak membaca untuk mengembangkan ilmu dan mengetahui selok-belok sejarah. Beliau juga sebenarnya dalam tempoh sedang buat kajian mengenai An-Nursi.

Malam itu saya singgah sebentar di rumah sewanya, dan kami bersembang-sembang lagi. Dia memberi saya stok-stok makanannya, sebab dia akan tinggalkan Mesir pada keesokan hari.

--

Esok pagi selepas subuh, saya buat 'haji' bersamanya, dan ketika beliau keluar Masjid, saya menyapa beliau dan menemaninya ke rumah untuk salam yang terakhir. Kami bertukar Al-Quran, beliau beri saya Al-Quran versi Turki, dan saya berinya Al-Quran Tafsir oleh Imam An-Naysaburi (yang kecil berzip). Saya mengucapkan selamat tinggal. (sila lihat gambar di atas). Saya tak pandai berbahasa Turki. Mungkin saudara saya Syed Isra' pandai terjemahkannya, atau sesiapa saja boleh terjemahkan ??

Pada akhir katanya ; beliau berkata :

"Pada malam ini saya akan ke Istanbul, dan kami ada pertemuan (ijtima') bersama ahli-ahli Harakah Nuriyah. Saya akan beritahu mereka bahawa saya telah berjumpa dengan seorang Malaysia, yang punyai abang yang bernama Badee-uz-Zaman !."

Saya tersenyum dengar kata-katanya. Sebelum ini saya pernah juga bertaaruf dengannya, dan oleh kerana kita ini, bila nak rapat dengan orang, kenalah cari persamaan kan ? Maka saya pun sebutlah .. saya ini ada abang yang bernama : Badee-Uz-Zaman.

Kalau saya pergi Chechnya saya akan cakap nama saya sempena Syamel Basayev. Kalau ke Afghanistan saya mungkin cakap saya ada adik bernama Hikmat, sempena Gulbuddin Hikmatyar. Kalau jumpa orang Salafi saya sebut abang saya sempena nama Ibnu Taimiyyah (Taqiyyuddeen).

Kalau saya jumpa orang Kristian pula .. saya rasa pembaca boleh tahu apa akan saya jawap.

---

Akhirnya saya boleh bawa kepada beberapa kesimpulan ;

1. Di dunia ini, masih banyak lagi manusia yang sama faham dengan kita, dan sama serius dengan kita. Tapi kita hanya mampu menerima jika pemikiran kita terbuka, dan boleh meraikan perbezaan-perbezaan yang ada pada batas-batas yang syarie.

2. Pentingnya kepelbagaian, untuk kita ketahui betapa hebatnya Allah mengatur semua makhluk-Nya pada peraturan yang hanya diketahui rahsia-rahsia oleh-Nya semata-mata. Oleh itu kena perbanyakkan taaruf dan taamul dengan bangsa atau kelompok manusia lain untuk membuka pemikiran kita dan meluaskan skop berfikir kita.

3. Akhlak adalah perkara utama dalam kehidupan seorang muslim. Jika kita pandai menjaga akhlak, keldai pun suka dengan kita. Bila kita tak pandai menjaga akhlak ....... (saya tak tahu nak describe macam mana) ... kasihan jadinya.

4. Pentingnya pembinaan rijal dalam membawa agenda perubahan. Jika kita ingin lihat ciri-ciri sesebuah jemaah, lihatlah rijalnya. Jangan lihat namanya, atau lihat websitenya atau berpada dengan title jemaahnya, atau apa-apa statement-statementnya. Tapi lihatlah pada rijal yang mendokongnya. Siapa mereka ? Apa mereka dah buat ? Macamana gaya hidup mereka ? Apa hasil dakwah mereka ? Untuk menilai dan menjadi kayu ukur kita dalam menilai sesebuah wadah.

Orang yang fikir dari segi nama saja itu, pada saya, dia hanya melihat dari sudut pandangan yang sempit. Bila kita sebut Ikhwan, kita akan nampak Al-Banna dan para tokohnya yang lain. Atau adakah bila sebut Ikhwan kita hanya nampak " Jemaah yang paling cepat berkembang di seluruh dunia " atau " lambang dua pedang dengan Al-Quran " atau apa ?

Jangan pisahkan antara jemaah dan rijal. Sebab jemaah tanpa rijal adalah rumah kosong tak berpenghuni, dan rijal tanpa jemaah pula ibarat orang yang tiada rumah.

Maka bila seseorang ahli jemaah itu mengagumi pimpinan mereka, dan menyebut-nyebut nama mereka, janganlah dikatakan taassub pula. Sudah fitrahnya, pengikut akan hormat pemimpin dan sanjungi mereka. Kalau pengikut itu hormat pun tidak kagum pun tidak .. hilang lah ciri-ciri kepimpinan pada pemimpin. Macam mana nak taat dan patuh ?

Hideyoshi Toyotomi (Swordless Samurai) kata : Choose a Leader with Vision.

Takkan bila orang IM sebut-sebut nama Al-Banna, Syed Qutb, Qardhawi dan sebagainya .. itu dikira taassub pada mereka ??

Maka rijal itu wajib dibina dan dididik untuk menjadi qudwah kepada umat Islam, supaya baru orang tahu bahawa Islam itu mampu hidup segar dan mekar dalam jiwa-jiwa manusia pada akhir zaman yang dipenuhi fitnah ini.

5. Kemenangan Allah itu pasti, dan saya yakin dengan perkara itu. Kemenangan itu datang bukan dengan satu-satu kelompok, atau satu-satunya jemaah, tapi ia akan datang kepada umat Islam jika seluruh kelompok Islam mampu bekerjasama pada titik-titik persepakatan dan membentuk arus Islamik yang kuat.

Adapun siapa yang memerintah atau siapa yang di atas dan di bawah .. isu ini sangat teknikal dan tidak perlu perbincangan yang detail kerana ia tak membuahkan apa-apa amal pun.

Saya kasihan bila tengok seseorang yang cukup bangga dengan kumpulannya dalam masa yang sama menafikan atau mempertikaikan kumpulan orang lain, mungkin mereka ada 'fiqh' masing-masing, atau mungkin lagi pemikirannya belum Allah buka untuk menerima kepelbagaian kelompok dan wadah. Ataupun mungkin 'fiqh' nya menjadikan mereka susah untuk menerima orang lain.

Allah sudah sediakan AlQuran dan As-Sunnah untuk kita bersatu. Allah sediakan puluhan ribu para sahabat untuk kita contohi. Allah sediakan kita empat Imam Mazhab yang muktabar untuk kita ikut. Allah sediakan ramai tokoh mujaddid Islam untuk menjadi contoh penyelamat umat pada waktu-waktu umat sedang tenat.

Tapi mungkin persoalannya bukan di situ ... tapi mungkin pada hati-hati kita yang masih diselubungi nafsu dan hanya kita melebihkannya daripada wahyu.

Wallahua'lam.
Wassalam.

Wednesday, June 02, 2010

Eternal Serenity


Salam.

Kif hal ? Bikheir insyaAllah.

Moga Allah merahmati para syuhada' yang gugur, dan menyembuhkan semua aktivis yang tercedera di atas kapal Flotilla.

Moga Allah menghancurkan pengepungan yang zalim itu di Jalur Gaza dan memberikan kesejahteraan kepada semua rakyat Palestin dan memakmurkan bumi Palestin dengan Islam yang suci.

Moga Allah menggolongkan kita di kalangan mereka yang berjuang di bumi Palestin, dengan himmah kita dan usaha kita walaupun kaki tidak mampu menjejak bumi suci itu.

Saya masih dalam musim peperiksaan. Doakanlah agar dipermudah.

Satu perkongsian yang saya ingin kongsi. Mungkin sebagai pengisi dalam tempoh peperiksaan ini.

Serenity we sought

Saya ingin berkongsi mengenai ketenangan.

Kebiasaannya saya perhatikan, semua manusia ada waktu-waktu dia gundah gulana dan risau.

Contohnya bila waktu exam dah dekat dalam masa yang sama, dia tak sempat nak baca atau habiskan silibus yang sepatutnya. Kemudian dia akan fokus habis-habisan untuk pastikan markahnya lulus atau dapat capai apa yang dihajatkan seperti Mumtaz, Jayyid Jiddan, 4.0, Dean List dan sebagainya.

Bila waktu dia menjawab exam, pastinya hati terketar-ketar takut-takut apa yang dibaca tidak keluar, ataupun soalan yang keluar di luar jangkauannya. Bila ia menepati apa yang dihajati, maka lantas ia bergembira dan bersorak tenang.
Tapi bila soalannya lain dari apa yang dihajatinya atau di dalam fikirannya, kebiasannya dia akan hampa dan kecewa frust dan sebagainya.
Itu hanya contoh peperiksaan, sebenarnya banyak lagi kita boleh aplikasi pada perkara lain, contohnya kalau bab yang masyhur untuk pelajar overseas ialah perkahwinan, kalau ibubapa tak bagi kita kadang-kadang rasa hampa dan sedih, serta kecewa. Kalau kawan kita marah dengan kita, lantas kita pun murung dan merajuk kerana merasakan dia tak kenang budi dan sebagainya. Kalau untuk yang dah berkahwin pula, dia akan risau macam mana nak sara hidup anak bini dalam keadaan duit pun kais pagi makan pagi atau sebagainya.
Bagi saya itu tabiat yang normal, bagi orang yang biasa. Tapi kita semua akui, yang kita nak tenang dalam hidup ini dalam apa jua keadaan. Maksud saya, dalam semua keadaan kita mahukan ketenangan itu datang, tidak mahu rasa hampa keterlaluan atau kecewa sangat-sangat atau sedih sangat-sangat.

Biasanya kalau diberikan dalil untuk tenang, kita akan keluarkan surah Ar-Ra'd :

"Orang yang beriman itu menenangkan hati mereka dengan mengingati Allah, ketahuilah dengan mengingati Allah hati-hati akan menjadi tenang"

Lalu orang akan menasihati kita dengan banyakkan zikrullah. Saya juga selalu berpegang dengan pesanan ini. Tapi saya mahu dalamkan sedikit pemahamannya. Biar saya bagi satu bentuk perumpamaan ;

Kenapa bila budak-budak kalau kita kacau mereka, nanti dia akan panggil mak dia atau ayah dia ?

Sudah pasti kerana mereka meyakini bahawa ibubapa mereka pasti akan melindungi mereka daripada 'kacauan' kita itu. Mereka memanggil/menyebut ibubapa mereka bukan kerana zat sebutan itu, tapi sebab perasaan mereka itu terlalu yakin bahawa ibubapa akan melindungi mereka.

Bila kita menyebut nama Allah dan bertasbih pada-Nya, yang dimaksudkan bukan pada zat zikir itu berapa banyak kali kita sebutkan, tapi pada darjat yakinnya kita pada Allah, yang akan menjaga kita daripada sebarang kecelakaan dan kezaliman. Kalau kita berzikir berjuta kali pun tapi keterikatan kita dengan-Nya tak bertambah, ia takda makna pun.

Bila keyakinan kita pada Allah makin teguh, ia akan menjadikan diri kita makin tenang. Saya suka memetik kata-kata Ust Abdullah Zaik (Presiden ISMA) dalam satu ucapan beliau mengenai Jiwa yang Tenang. Kata-katanya lebih kurang begini,

"Kita hendaklah mendidik jiwa kita sehingga kita tenang dengan Allah dan gembira dengan-Nya, bukan dengan hanya nikmat-Nya"

Kalau kita hanya tenang pada nikmat-Nya, dan tidak tenang bila ditarik nikmat, maka keyakinan jenis apakah itu ? Itu saudara kategorikan sendiri. Perkara itu sudah menjadi kelaziman manusia, yang tidak terdidik jiwanya dalam mengenali Tuhannya.

Ketenangan itu adalah milik Allah, dan Dia berikan pada sesiapa sahaja yang Dia mahu.

Jika tenang kita adalah pada nikmat-Nya, maka kita hanya akan mencari nikmat-nikmat-Nya sahajalah dan itu sudah kira memadai bagi kita jika segala nikmat dunia-Nya itu kita kumpulkan.
Jika ketenangan kita adalah pada nikmat ilmu-Nya, maka sudah pasti kita akan mengumpul segala macam jenis ilmu-ilmu untuk mengisi ruang ketenangan kita. Dan tanpa ilmu sehari kita akan rasa kurang tenang.

Itu semua adalah ketenangan yang terdapat pada kebanyakan manusia.

Namun ketenangan yang paling mahal adalah ketenangan yang abadi, tenangnya pada Allah, dan bukan pada selainnya. Ia tidak mampu tenang melainkan Allah itu dirasakan bersamanya.

Dengan begitu baru kita dapat fahami saranan Al-Quran bila Allah menyebut dalam surah Al-Maarij : -

"Sesungguhnya manusia itu dicipta dalam keadaan keluh kesah, apabila ditimpa kesusahan dia merungut, dan apabila menerima kebaikan dia kedekut, kecuali orang-orang yang solat, yang mereka kerap mendirikan solat"

Pada saya mengapa Al-Quran memberitahu kita ciri-ciri orang yang solat iaitu orang yang sentiasa tenang jiwanya dan terkecuali daripada tabiat normal manusia biasa, iaitu kerana mereka ini sangat yakin pada Tuhannya, dan darjat keyakinannya mengatasi orang lain.

Apa bukti mereka yakin dan benar-benar teguh ?

Buktinya adalah pada solat mereka yang banyak. Tidakkah kita tahu bahawa solat itu disyariatkan di langit ketika Peristiwa Isra' Mikraj ? Tidakkah pernah kita dengar bahawa solat itu adalah mikraj kita ke langit ?

Bagi mereka (orang yang tenang itu) solat itu sebagai komunikasi formal dia bersama Allah s.w.t. Ini kerana mereka sentiasa 'berkomunikasi' secara tak formal dengan Allah pada luar solatnya, iaitu dengan tafakkurnya, zikirnya, pandangannya dan sebagainya.

Bagi kita solat itu sebagai kewajipan yang kadang-kadang (nauzubillah) kita pun berat nak tunaikannya.

Kita sudah pasti pernah tahu bagaimana kemaruknya orang yang bercinta ? Pastinya kuat bersms, bertelefon, rindu nak bertemu dan sebagainya. Begitulah sifatnya, cuma cinta pada sisi ini lebih daripada maksud cinta biasa itu.

Satu kata-kata saya petik daripada Hikam Ibnu Athoillah As-Sakandari ;

"Orang yang lalai akan berkata : Apakah yang akan aku buat hari ini ?

Orang yang berakal (sedar) pula berkata : Apa yang akan Allah buat terhadapku hari ini? "

Perbezaan kedua-dua pernyataan itu sangat jauh sekali. Ia adalah ibarat langit dan bumi, bahkan lebih dari itu. Perbuatan manusia itu sangat terhad dan sangat kerdil, tetapi perbuatan Allah itu mengatasi segala kebesaran langit dan bumi, mengatasi segala asbab dan musabab dan sunnah alam.

Oleh itu, jiwa kita mesti dan wajib dididik dan ditarbiyah untuk mencapai ketenangan yang tinggi itu. Ia hendaklah dipandu dengan menundukkan kehendak nafsu yang malas beribadah dan berzikir serta lembab dalam laksanakan tanggungjawap dakwah pada tempat .

Cara didikan itu adalah didikan rabbani dan ruhi agar diri kita terpaut pada Tuhan asbab, bukan pada asbab, diri kita terpaut pada Tuhan manusia, bukan manusia, dan agar diri kita terpaut pada Tuhan natijah, bukan natijah.
Jika kita terbuat dosa, jangan putus asa, ingatlah kata-kata ini ;
"Jika berlaku suatu dosa ke atas kamu, janganlah ia menjadi sebab kamu putus asa dalam mencapai istiqamah. Mungkin-mungkin itulah dosa kamu yang terakhir" - Al-Hikam Ibnu Atoillah

Semua ini saya bawa kepada suatu kesimpulan, iaitulah apa yang dikatakan oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah dalam kitabnya Madarij Salikin ; agar kita menjadi Hamba Mutlak kepada Allah.
Bukan pada juzuk-juzuk ciptaan Allah.

Pada ketika itu baru kita layak dipanggil pada hari akhirat kelak (insyaAllah) :

يا أيتها النفس المطمئنة ارجعي إلى ربك راضية مرضية فادخلي في عبادي وادخلي جنتي


"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah pada Tuhanmu dalam keadaan engkau redha dan diredhai, masuklah engkau ke dalam badan hamba-Ku, lalu masuklah ke dalam syurga-Ku" - Surah Al-Fajr

Kita pastinya inginkan kemuliaan sebegitu nanti di akhirat.

Tapi .. adakah layak dipanggil hamba-Nya jika jiwa kita terikat hanya dengan dunia dan seisinya ?

---

Hebat tak ketenangan yang Islam ajar ?

Subhanallah.
Wallahua'alam bissowab.
Wsalam.

p/s : Moga Allah golongkan kita dalam golongan yang tenang.

p.p/s : Siapa-siapa yang mahu penerangan terhadap jiwa tenang yang lebih bersifat haraki dan tarbawi saya syorkan artikel ini.