Eternal Serenity
Salam.
Kif hal ? Bikheir insyaAllah.
Moga Allah merahmati para syuhada' yang gugur, dan menyembuhkan semua aktivis yang tercedera di atas kapal Flotilla.
Moga Allah menghancurkan pengepungan yang zalim itu di Jalur Gaza dan memberikan kesejahteraan kepada semua rakyat Palestin dan memakmurkan bumi Palestin dengan Islam yang suci.
Moga Allah menggolongkan kita di kalangan mereka yang berjuang di bumi Palestin, dengan himmah kita dan usaha kita walaupun kaki tidak mampu menjejak bumi suci itu.
Saya masih dalam musim peperiksaan. Doakanlah agar dipermudah.
Satu perkongsian yang saya ingin kongsi. Mungkin sebagai pengisi dalam tempoh peperiksaan ini.
Serenity we sought
Saya ingin berkongsi mengenai ketenangan.
Kebiasaannya saya perhatikan, semua manusia ada waktu-waktu dia gundah gulana dan risau.
Contohnya bila waktu exam dah dekat dalam masa yang sama, dia tak sempat nak baca atau habiskan silibus yang sepatutnya. Kemudian dia akan fokus habis-habisan untuk pastikan markahnya lulus atau dapat capai apa yang dihajatkan seperti Mumtaz, Jayyid Jiddan, 4.0, Dean List dan sebagainya.
Bila waktu dia menjawab exam, pastinya hati terketar-ketar takut-takut apa yang dibaca tidak keluar, ataupun soalan yang keluar di luar jangkauannya. Bila ia menepati apa yang dihajati, maka lantas ia bergembira dan bersorak tenang.
Tapi bila soalannya lain dari apa yang dihajatinya atau di dalam fikirannya, kebiasannya dia akan hampa dan kecewa frust dan sebagainya.
Itu hanya contoh peperiksaan, sebenarnya banyak lagi kita boleh aplikasi pada perkara lain, contohnya kalau bab yang masyhur untuk pelajar overseas ialah perkahwinan, kalau ibubapa tak bagi kita kadang-kadang rasa hampa dan sedih, serta kecewa. Kalau kawan kita marah dengan kita, lantas kita pun murung dan merajuk kerana merasakan dia tak kenang budi dan sebagainya. Kalau untuk yang dah berkahwin pula, dia akan risau macam mana nak sara hidup anak bini dalam keadaan duit pun kais pagi makan pagi atau sebagainya.
Bagi saya itu tabiat yang normal, bagi orang yang biasa. Tapi kita semua akui, yang kita nak tenang dalam hidup ini dalam apa jua keadaan. Maksud saya, dalam semua keadaan kita mahukan ketenangan itu datang, tidak mahu rasa hampa keterlaluan atau kecewa sangat-sangat atau sedih sangat-sangat.
Biasanya kalau diberikan dalil untuk tenang, kita akan keluarkan surah Ar-Ra'd :
"Orang yang beriman itu menenangkan hati mereka dengan mengingati Allah, ketahuilah dengan mengingati Allah hati-hati akan menjadi tenang"
Lalu orang akan menasihati kita dengan banyakkan zikrullah. Saya juga selalu berpegang dengan pesanan ini. Tapi saya mahu dalamkan sedikit pemahamannya. Biar saya bagi satu bentuk perumpamaan ;
Kenapa bila budak-budak kalau kita kacau mereka, nanti dia akan panggil mak dia atau ayah dia ?
Sudah pasti kerana mereka meyakini bahawa ibubapa mereka pasti akan melindungi mereka daripada 'kacauan' kita itu. Mereka memanggil/menyebut ibubapa mereka bukan kerana zat sebutan itu, tapi sebab perasaan mereka itu terlalu yakin bahawa ibubapa akan melindungi mereka.
Bila kita menyebut nama Allah dan bertasbih pada-Nya, yang dimaksudkan bukan pada zat zikir itu berapa banyak kali kita sebutkan, tapi pada darjat yakinnya kita pada Allah, yang akan menjaga kita daripada sebarang kecelakaan dan kezaliman. Kalau kita berzikir berjuta kali pun tapi keterikatan kita dengan-Nya tak bertambah, ia takda makna pun.
Bila keyakinan kita pada Allah makin teguh, ia akan menjadikan diri kita makin tenang. Saya suka memetik kata-kata Ust Abdullah Zaik (Presiden ISMA) dalam satu ucapan beliau mengenai Jiwa yang Tenang. Kata-katanya lebih kurang begini,
"Kita hendaklah mendidik jiwa kita sehingga kita tenang dengan Allah dan gembira dengan-Nya, bukan dengan hanya nikmat-Nya"
Kalau kita hanya tenang pada nikmat-Nya, dan tidak tenang bila ditarik nikmat, maka keyakinan jenis apakah itu ? Itu saudara kategorikan sendiri. Perkara itu sudah menjadi kelaziman manusia, yang tidak terdidik jiwanya dalam mengenali Tuhannya.
Ketenangan itu adalah milik Allah, dan Dia berikan pada sesiapa sahaja yang Dia mahu.
Jika tenang kita adalah pada nikmat-Nya, maka kita hanya akan mencari nikmat-nikmat-Nya sahajalah dan itu sudah kira memadai bagi kita jika segala nikmat dunia-Nya itu kita kumpulkan.
Jika ketenangan kita adalah pada nikmat ilmu-Nya, maka sudah pasti kita akan mengumpul segala macam jenis ilmu-ilmu untuk mengisi ruang ketenangan kita. Dan tanpa ilmu sehari kita akan rasa kurang tenang.
Itu semua adalah ketenangan yang terdapat pada kebanyakan manusia.
Namun ketenangan yang paling mahal adalah ketenangan yang abadi, tenangnya pada Allah, dan bukan pada selainnya. Ia tidak mampu tenang melainkan Allah itu dirasakan bersamanya.
Dengan begitu baru kita dapat fahami saranan Al-Quran bila Allah menyebut dalam surah Al-Maarij : -
"Sesungguhnya manusia itu dicipta dalam keadaan keluh kesah, apabila ditimpa kesusahan dia merungut, dan apabila menerima kebaikan dia kedekut, kecuali orang-orang yang solat, yang mereka kerap mendirikan solat"
Pada saya mengapa Al-Quran memberitahu kita ciri-ciri orang yang solat iaitu orang yang sentiasa tenang jiwanya dan terkecuali daripada tabiat normal manusia biasa, iaitu kerana mereka ini sangat yakin pada Tuhannya, dan darjat keyakinannya mengatasi orang lain.
Apa bukti mereka yakin dan benar-benar teguh ?
Buktinya adalah pada solat mereka yang banyak. Tidakkah kita tahu bahawa solat itu disyariatkan di langit ketika Peristiwa Isra' Mikraj ? Tidakkah pernah kita dengar bahawa solat itu adalah mikraj kita ke langit ?
Bagi mereka (orang yang tenang itu) solat itu sebagai komunikasi formal dia bersama Allah s.w.t. Ini kerana mereka sentiasa 'berkomunikasi' secara tak formal dengan Allah pada luar solatnya, iaitu dengan tafakkurnya, zikirnya, pandangannya dan sebagainya.
Bagi kita solat itu sebagai kewajipan yang kadang-kadang (nauzubillah) kita pun berat nak tunaikannya.
Kita sudah pasti pernah tahu bagaimana kemaruknya orang yang bercinta ? Pastinya kuat bersms, bertelefon, rindu nak bertemu dan sebagainya. Begitulah sifatnya, cuma cinta pada sisi ini lebih daripada maksud cinta biasa itu.
Satu kata-kata saya petik daripada Hikam Ibnu Athoillah As-Sakandari ;
"Orang yang lalai akan berkata : Apakah yang akan aku buat hari ini ?
Orang yang berakal (sedar) pula berkata : Apa yang akan Allah buat terhadapku hari ini? "
Perbezaan kedua-dua pernyataan itu sangat jauh sekali. Ia adalah ibarat langit dan bumi, bahkan lebih dari itu. Perbuatan manusia itu sangat terhad dan sangat kerdil, tetapi perbuatan Allah itu mengatasi segala kebesaran langit dan bumi, mengatasi segala asbab dan musabab dan sunnah alam.
Oleh itu, jiwa kita mesti dan wajib dididik dan ditarbiyah untuk mencapai ketenangan yang tinggi itu. Ia hendaklah dipandu dengan menundukkan kehendak nafsu yang malas beribadah dan berzikir serta lembab dalam laksanakan tanggungjawap dakwah pada tempat .
Cara didikan itu adalah didikan rabbani dan ruhi agar diri kita terpaut pada Tuhan asbab, bukan pada asbab, diri kita terpaut pada Tuhan manusia, bukan manusia, dan agar diri kita terpaut pada Tuhan natijah, bukan natijah.
Jika kita terbuat dosa, jangan putus asa, ingatlah kata-kata ini ;
"Jika berlaku suatu dosa ke atas kamu, janganlah ia menjadi sebab kamu putus asa dalam mencapai istiqamah. Mungkin-mungkin itulah dosa kamu yang terakhir" - Al-Hikam Ibnu Atoillah
Semua ini saya bawa kepada suatu kesimpulan, iaitulah apa yang dikatakan oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah dalam kitabnya Madarij Salikin ; agar kita menjadi Hamba Mutlak kepada Allah.
Bukan pada juzuk-juzuk ciptaan Allah.
Pada ketika itu baru kita layak dipanggil pada hari akhirat kelak (insyaAllah) :
يا أيتها النفس المطمئنة ارجعي إلى ربك راضية مرضية فادخلي في عبادي وادخلي جنتي
"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah pada Tuhanmu dalam keadaan engkau redha dan diredhai, masuklah engkau ke dalam badan hamba-Ku, lalu masuklah ke dalam syurga-Ku" - Surah Al-Fajr
Kita pastinya inginkan kemuliaan sebegitu nanti di akhirat.
Tapi .. adakah layak dipanggil hamba-Nya jika jiwa kita terikat hanya dengan dunia dan seisinya ?
---
Hebat tak ketenangan yang Islam ajar ?
Subhanallah.
Wallahua'alam bissowab.
Wsalam.
p/s : Moga Allah golongkan kita dalam golongan yang tenang.
p.p/s : Siapa-siapa yang mahu penerangan terhadap jiwa tenang yang lebih bersifat haraki dan tarbawi saya syorkan artikel ini.
2 Comments:
beruntunglah mereka yg kembali pd Allah pd saat tiada segala harapan, kekuatan n upaya pada pandangan manusia biasa.
jzkk ustaz. teruskan menulis. exam2 pun sempat lagi ye. hehe. semoga Allah permudahkan.
Post a Comment
<< Home