Alpha To Omega: Berkawan dengan Musa a.s

Thursday, February 04, 2010

Berkawan dengan Musa a.s

Gambar ini sebelum matahari terbit (puncak Jabal Musa).

Gambar di Uyun Musa (tempat mata air Bani Israel).

Di sekitar Jabal Musa

Fajar pasti menyinsing selepas gelapnya malam, roh umat pasti akan bangkit kembali selepas tertidur lena.

Gambar dari bawah

Salam.
Kif hal semua ? Mudah-mudahan semuanya sihat-sihat belaka.

Imtihan fasa satu berakhir pada 30 Januari 2010. Kertas terakhir, Tafsir Ayat Hukum, doktor Tafsir memang bagi soalan 'serial-killer' yang memang masyhur dengan jenama Doktor Azhar yang memang sudah boleh baca perangai pelajar-pelajar Azhar. Ramai juga yang terkelu. Mudah-mudahan Allah permudahkan semuanya dan menjadikan semuanya cemerlang.

Pengumuman untuk yang mahu ke Ma'rad Kutub atau Cairo International Bookfair, saya ada cadangan buku-buku yang baik yang mudah dibaca dan murah serta berbaloi dibeli ;

Untuk Aqidah :-

1. Usul Aqidah Islamiah (Allati Qarraraha Al-Imam At-Tohawi) diringkaskan oleh Abd Mun'im Solih Al-Aliyy Al-Izziy , terbitan Darul Basyir (boleh dapat di Muassasah Iqra' sebelah booth Al-Bayan) dengan harga belasan genih.

2. Syarh Aqidah Tohawiyah (oleh Ali bin Abil 'Izz) - di Muasasah Risalah harganya 55LE, rasanya ada terbitan lain yang lebih murah.

Untuk Hati / Iman :-

1. Tahzib Madarij Salikin oleh Abd Mun'im Solih Al-Aliyy Al-Izzy - boleh didapati di Muasasah Risalah atau Muasasah Iqra' dengan harga belasan genih juga.

2. Nadzarat fit Tarbiyah Al-Imaniah oleh Majdi Hilali, boleh didapati di Muasasah Iqra', atau Darul Andalus Al-Jadidah - 13LE.

Untuk Harakah dan Dakwah :-

1. Edisi Berat : Silsilah Istratijiyat Al-Harakah Al-Hayawiyah (latest buku) oleh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, setakat yang saya jumpa cuma ada 8 siri, antaranya Manzumatut Tahriik, Kutlatul Islah, Hamsun Nabdhaat, Ansaqun Nafdhat, Adz-Zohiroh Al-Qiyadiah dan sebagainya.(kalau tak silap ada belas-belas siri), satu siri 10LE, jangan hampa dengan mukasurat yang sikit, tapi isinya sangat berharga. Boleh didapati di Darul Basyir, Solah 6. (cuma di Darul Basyir sahaja yang ada, setakat yang saya pergi, di tempat lain belum ada, cepat beli sebelum terlambat).

2. Edisi Ringan : Ya Sohibar Risalah, oleh Khalid Abu Syadi, di Darul Basyir pun ada. (buku baru).

Itu sekadar beberapa cadangan, lain-lain boleh minta pandangan orang lain.

p/s : Abd Mun'im Solih Al-Aliyy Al-Izzy adalah nama sebenar bagi Ust Muhammad Ahmad Ar-Rasyid (yang merupakan nama penanya).

-- mahu berbincang mengenai kitab ? saya suka berkongsi idea dan mendengar pandangan saudara --

p/s : Renungan di bawah memang panjang. Ditujukan khas buat sesiapa yang bersama saya ke Sinai baru-baru ini, dan amnya kepada semua yang sudah ke Sinai dan akan ke sana. Sila komen jika apa-apa.

--

Mencari Musa a.s

Baru-baru ini saya dianugerahkan Allah peluang untuk pergi mendaki Gunung Tur, di Sinai.
Dalam perjalanan, saya dan kawan saya (Ihsan) berkongsi beberapa ma'ani-ma'ani tarbawiyah di sana.

Paling saya cuba untuk rasai adalah, perasaan Musa a.s ketika pergi bertemu Allah.
Saya cuba dalami dan rasai beberapa persamaan antara diri saya dan dirinya, ketika kecil sehingga besar.

Ketika kecil lagi, ibunya sudah berani bertawakkal. Lantas melayarkan beliau di Sungai Nil, dengan perintah Allah. (sila rujuk surah Al-Qasas awal-awal surah).

Ketika besar, beliau dibesarkan di kalangan keluarga Firaun. Lantas oleh kerana tersalahbunuh salah seorang orang Firaun, beliau melarikan diri ke Madyan atas konspirasi yang dirancang oleh pembesar-pembesar Firaun.

Kemudian berjumpa dengan ahli Madyan, dan berlaku kisah pertemuan jodohnya dengan salah seorang anak Nabi Syuaib, dengan syarat bekerja (gembala kambing) dengannya selama paling kurang 8 musim haji (8 tahun qamariah).

Selepas itu baru Musa a.s pergi membawa keluarganya, dan berlakulah wahyu pertama daripada Allah, pada sepohon pokok yang bersinar.

Lantas diperintahkan untuk pergi menyeru Firaun untuk memulangkan bani Israel yang tertindas dan diperhambakan dan seterusnya sehinggalah peristiwa terbelah laut, terpancar mata air, dan pertemuan dengan Allah buat kali kedua iaitu peristiwa turunnya Taurat. Dan begitulah seterusnya. (seperti yang sudah makruf dan diketahui).

Beberapa renungan, (saya ambil dalam Al-Quran) dalam peristiwa Musa a.s ;

Pertama : Beliau merupakan seorang yang sangat kerap berdoa, sebelum mendapat wahyu dan juga selepas. Dalam apa jua perkara yang menyulitkan maupun yang mudah.

Saya ambil contoh ;

1. Ketika terbunuh orang, beliau berdoa ;
"Wahai Tuhanku, ampunilah aku (atas kesilapanku ini)"

2. Ketika lari daripada Mesir ;
"Wahai Tuhanku, selamatkanlah aku daripada kaum zalim"

3. Ketika selesai menolong puteri Nabi Syuaib a.s beliau berteduh di bawah pokok lantas berdoa ;
"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku benar-benar faqir (perlu) kepada segala kebaikan yang Engkau turunkan" (ini doa untuk sesiapa yang mahu berkahwin, kerana selepas doa ini terus puteri Nabi Syuaib a.s datang bertemunya dalam keadaan malu-malu).

4. Ketika disuruh pergi berdakwah kepada Firaun (doa yang begitu masyhur) ;
"Wahai Tuhanku, terangilah hatiku, mudahkanlah urusanku, hilangkanlah kesulitan dalam lidahku, agar mereka memahami kata-kataku" (Rabbisyrah li sadri wa yassir li amri, wahlul uqdatan min lisani yafqahu qauli) itu yang masyhur.

Tambah lagi ayat selepas itu ; Jadikanlah bagiku penasihat, iaitu Harun saudaraku, kuatkanlah dengannya peganganku, dan sertakanlah dia (Harun a.s) dalam urusan (dakwah) ku.

Subhanallah. Beliau adalah salah seorang ulul Azmi. Namun lidahnya kerap berdoa dan mengharapkan segala yang baik daripada Allah. Saya lihat, betapa detailnya doanya pada poin yang keempat. Seolah-olah semuanya mahu diceritakan. Sedangkan Allah sudah pasti boleh mengagak apa yang dimaksudkan dan dikehendaki walaupun tanpa perkataan.

Namun kenapa Kalimullah a.s (Musa) itu terus juga menyebut-nyebut hajatnya dalam doa ?

Bagi saya, ia adalah bukti keseriusan Musa a.s dalam menunjukkan sepenuh ketundukkan dan tawadhuk sebagai seorang hamba biasa yang hanya dimuliakan dengan risalah. Tanpa risalah beliau adalah orang biasa, makan seperti manusia biasa, bekerja, berkahwin dan sebagainya.

Namun hakikat keagungan risalah yang mengangkat beliau menjadi Rasul, bahkan ulul Azmi (the chosen five), akhirnya menjadikan beliau salah satu contoh yang abadi yang dikenang sepanjang zaman, hinggakan kisah Bani Israel yang merupakan kaumnya itu adalah seperempat Al-Quran. Ia menunjukkan hakikat Rasul-rasul sebagai seorang manusia biasa, yang diangkat martabatnya kerana terpilih sebagai utusan.

Bagaimana nak ikut sifat ini ?

Mudah saja. Bagi saya, berdoalah dalam semua perkara. Hatta untuk kesedapan masakan atau kekenyangan makanan yang kita makan/masak. Hatta untuk keselamatan langkah ke masjid, hatta untuk lampu traffic light warna hijau ketika jumpa junction. Hatta untuk tidak penat, kaki tidak cramp, cuaca baik (jika ada program penting atau urusan penting), hatta untuk memudahkan urusan visa, urusan pelajaran, urusan perniagaan, nak hilangkan sifat malas, nak bagi rajin, nak pandai, nak sihat sejahtera, nak kawan ramai, nak kawan soleh, nak jadi daie sejati, dan sebagainya. Buat doa khusus, sebut satu-satu.

Ia adalah sunnah Musa, bahkan, ia adalah sunnah kekasih kita s.a.w.

Sehingga dikatakan oleh salafusoleh ;

"Aku sentiasa meminta/berdoa kepada Allah, sehinggalah mengenai makanan binatang tungganganku pada esok hari".


Bagi saya, Rasulullah s.a.w mengajar berapa banyak doa, doa sebelum tidur, masuk tandas, pakai baju, hatta keluar rumah pun ada doa, ia menunjukkan ketawadhukan seorang hamba dalam mengharap redha dan rahmat Allah terhadapnya. Ini kerana, seperti yang dikatakan oleh doktor Tahir Al-Fakhrayani(seorang doktor Fiqh di Azhar Tanta) ;

" ketika hati semakin dekat kepada Allah, semakin khusyuk, tak mengharapkan selain-Nya, ketika itulah doa semakin cepat dikabulkan ".
Apa lagi ? Doalah apa saja yang kamu mahu (pada perkara yang baik).

Kedua : Beliau merupakan seorang yang sungguh jelas matlamat dan tahu hala tuju.

Ketika beliau telah merentas Laut Merah, lantas terus bergegas ke Gunung Tur, di Sinai.

Allah bertanya ;
"Apa yang menyebabkan engkau bergegas meninggalkan kaummu di belakang wahai Musa ?"

Musa a.s menjawap ;
"Mereka semua itu di atas kesan-kesan tapak kakiku (mengikut jalanku ke seberang) dan aku bergegas / bersegera kepada-Mu, wahai Tuhanku, hanya kerana mahukan Engkau redha"

Nabi Musa a.s telah memberi kita suatu fiqh / kefahaman untuk mendapat redha Allah, iaitu dengan bersegera. Jika tidak, masakan ia dinaqalkan / diceritakan oleh Allah dalam Al-Quran.

Ketika beliau berdoa agar dikurniakan Harun a.s (saudara seibunya) sebagai penolong dan penasihatnya ;
"Agar kami bertasbih kepada-Mu dengan banyak, dan berzikir kepada-Mu dengan banyak, kerana sesungguhnya Engkau Maha Melihat dengan gerak geri kami"

Nabi Musa a.s sekali lagi memberitahu kita pemahaman mengenai tujuan kawan dan penasihat ataupun teman seperjuangan, ianya tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk membantu mengingatkan kita kepada Allah, bertasbih terhadap keagungan-Nya, bukannya sekadar teman biasa yang makan minum sekali, gelak ketawa sekali, hatta menangis sekali, namun hakikat sebenar yang diajar oleh beliau a.s adalah, kembalinya kita kepada tujuan asal / matlamat sebenar (Allah) itulah, tugas sebenar seorang kawan.

Kejelasan Nabi Musa a.s dalam hidupnya dan gerak gerinya, wallahua'lam, rasanya mungkin kerana pengalamannya yang begitu banyak. Ia bermula dari tarbiyah di istana Firaun, kemudian menjadi pelarian, kemudian mengembala kambing selama paling kurang 8 tahun, dan akhirnya diangkat menjadi Rasul. Mungkin di sana ada unsur-unsur tarbiyah yang diberikan oleh Nabi Syuaib a.s kepada Musa a.s.

Yang paling penting, Musa a.s banyak mengajar erti kejelasan matlamat dan hala tuju dalam apa jua perkara.

Bagaimana mahu ikut ?

Mudah saja. Selalukan tajdid niat, untuk kembalikan kita pada fitrah asal penciptaan kita. Jadikan redha Allah sebagai matlamat, yang lain sebagai wasilah atau jalan. Banyakkan bertasbih dan berzikir, kadang-kadang ia banyak mengisi keperluan jiwa kita yang sentiasa memerlukan insan/teman. Jika kita tidak berteman, cukuplah zikrullah dan tasbih sebagai penenang.

- selingan sedikit mengenai keistimewaan bukit -

Sewaktu saya menaiki Jabal Tur, saya lihat gunung batu itu dengan pandangan yang sangat romantik. Dahulunya (sebelum zaman kita), Daud a.s pernah dianugerahkan oleh Allah agar bukit bertasbih bersamanya dan burung-burung. Suaranya yang lunak, digunakan untuk tasbih dan zikrullah. Sungguh indah sekali alam semulajadi semua bertasbih dengan Daud a.s.

"Wahai gunung-ganang, bertasbihlah bersama Daud, dan juga burung-burung" - Surah Saba'.

Seolah-olah gunung dan burung-burung sebelum ini bertasbih sendirian, lantas dijadikan Daud a.s sebagai 'imam' yang mengetuai tasbih-tasbih mereka (gunung dan burung) , seperti kalau dikatakan ;

"Wahai Ahmad, pergilah bermain bola bersama dengan Abou Treka". Seolah-olah mahukan Ahmad itu pergi bertemu Abou Treka dan belajar bagaimana bermain bola dengannya, kerana biasanya murid yang akan pergi kepada guru.

Saya memijak dan melangkah menaiki Jabal Tur dengan penuh perasaan, sambil saya mengulang-ulang tasbih dan zikrullah yang memuji Allah, seolah-olah saya bertasbih bersama bukit yang lembut itu tadi. Seolah-olah ia menyahut dan menyabung tasbih saya.

Alangkah indahnya ! Dengan cahaya bulan 17 Safar dan bintang-bintang di angkasa raya, suasana romantik bersama alam semesta itu saya cuba rasakan. Ketawadhukan bukit, yang apabila ditawarkan untuk mendokong risalah ;

"Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah (risalah dakwah) ini kepada langit-langit dan bumi dan juga gunung-gunung, namun mereka enggan untuk memikulnya, lalu insan sanggup untuk memikulnya, sesungguhnya dia adalah seorang yang menzalimi dirinya sendiri lagi jahil" - Surah Al-Ahzab.

"Jikalau Kami menurunkan Al-Quran ini kepada gunung-ganang, maka sudah pasti kamu akan melihatnya sangat tunduk dan khusyuk serta berkecai kerana takutkan Allah, dan begitulah perumpamaan yang Kami berikan kepada manusia, agar mereka berfikir" - Surah Al-Hasyr.

Tawadhuknya sebuah bukit yang tinggi. Kehebatannya mengalahkan tubuh manusia yang kecil, kekerasannya mengalahkan segala kecanggihan teknologi yang dibuat manusia, keteguhannya tidak dipertikai kerana menjadi pasak-pasak yang menjamin kestabilan bumi.

Namun, segalanya mampu hancur kerana takutkan kepada Allah, kerana ia menyedari hakikat Penciptanya, yang Maha Kuasa, yang bila-bila masa saja boleh lakukan apa-apa saja padanya.

Kasihan manusia, hakikat-hakikat tersembunyi sebegini belum pernah terasa untuk ditadabbur. Tubuhnya kecil, akalnya pendek terbatas, perbuatannya tidak sampai menakluk semua gunung pun, bahkan tulang dagingnya langsung tidak sekeras batu walau 1 meter per segi. Namun keangkuhannya mengalahkan gunung, bahkan matahari yang sangat terang dan panas itu pun bersujud kepada Allah.

- habis selingan keistimewaan gunung -

Begitulah sedikit sebanyak yang saya dapat daripada kisah mencari Musa a.s
Saya sangat berharap agar dapat bertemu Musa a.s, dan akanku cuba berkongsi pengalaman dan cerita-cerita menarik sepanjang menelusuri jalan yang dilaluinya untuk mendapat risalah.


Wahai Musa a.s , Suatu hari nanti, pasti kita akan berdakapan, dan tika itu, aku akan ceritakan segala yang berlaku dan aku akan kaitkan dengan perjuanganmu yang sungguh hebat. Engkau telah berjuang membangkitkan Bani Israel, selicik-licik kaum, kesabaranmu terbukti di dalam se per empat Al-Quran.

Suatu hari nanti, akan membawa saksi-saksi gunung-matahari-bintang-burung di Jabal Tur, yang telah menyaksikan kesungguhanku, merasai perjuanganmu. Engkau telah melakar erti keazaman hingga termasuk dalam senarai Ulul Azmi (yang mempunyai keazaman). Engkau adalah Nabi kebebasan dan kemanusiaan (Nabiyyul Hurriyah wal Insaniah) . Engkaulah, satu-satunya yang bercakap dengan Allah (sebelum Nabi Muhammad s.a.w), engkaulah Musa a.s.
Aku rindukan dirimu, wahai Kalimullah, aku ingin bersamamu, dan berdampingan denganmu. Tunggulah masa itu pasti akan datang.

Aku yakin dan pasti. InsyaAllah.

Ya Allah kabulkanlah permintaanku ini.

Wallahua'lam.
Wassalam.
p/s : ada rezeki saya uploadkan banyak lagi gambar di sana. Menarik.



5 Comments:

Anonymous thaaqhib said...

jom masuk dalam piramid

5:22 am  
Anonymous Anonymous said...

Assalamualaikum,
Sedang membaca buku yang menakjubkan : Seni berdo'a Rasulullah saw oleh Sheikh Muhammad Al Ghazali. Di dalam muqadimahnya di tulis: Suatu ketika hatiku sempat bertemu Nabi Musa as di kota Madyan, ketika ia merasakan susahnya utk memenuhi tuntutan hidupnya dan berdoa (Al Qashas 24).

Indah cara penulisannya : " Satu ketika hati ku bersama..." Point 3 Syamil mungkin Pakcik faham maksud tersirat. Cuma ketika itu Nabi Musa baru lari kebumi Madyan sebatang kara tanpa sebarang bekalan. Cuma yang ada tenaga kudratnya sahaja. Lalu dia berdoa utk sustainance (dlm konteks ini bukan utk kahwin - kahwin datang kemudian ketika berkhidmat). Kemudian dia membantu terlebih dahulu bukan meminta-minta - sifat daie yg agung. Lisanul hal ini membuat orang terus terpikat dengan perilakunya.
Wallahu alam, anyway nice contemplations (tafakur) - Rasulullah pun mengingatkan kita utk sentiasa sensitif hati ketika melawat tempat bersejarah. Ketika tabuk bila sahabat nak lalu kawasan qaum 'ad, Rasulullah saw berpesan janganlah masuk kecuali dengan menangis. Ustaz Bahy alKhully menulis jika mereka masuk dengan bersahaja (tanpa any reaction) dikawasan qaum yg di azab, maka akan keras hati mereka - oleh itu Rasulullah tarbiyah mereka dengan menyuruh menangis.
Abu Suhaib - JB

3:06 pm  
Blogger Unknown said...

silsilah dakwah berantaian,dan perasaan 'rantaian' ini perlu wujud dalam diri mereka yang ingin meletakkan diri mereka dalam silsilah ini.

Siapa tahu kita berpijak di tempat yang sama Musa a.s pernah berpijak?

10:44 pm  
Anonymous Anonymous said...

ameen.mudah-mudahan doa dikabulkan..

terima kasih kerana membantu mengingatkan kepada Allah.

9:21 pm  
Anonymous zaidrais said...

apabila nta mengajak utk sama membeli buku, ana dpt beli buku di sini shj gaya nya..
hihi..
tp perkongsian kisah musa itu spt ana membaca compilation dari nta, alhamdulillah..

12:18 am  

Post a Comment

<< Home