Alpha To Omega: Ikhlas dan Syukur

Tuesday, November 03, 2009

Ikhlas dan Syukur


Salam.

Alhamdulillah sudah sampai Mesir dengan selamat pada pagi ini, 3 November 2009. Terima kasih kepada semua keluarga yang menghantar saya di KLIA dan yang sempat mengucapkan selamat jalan malam tadi.

Percutian di Malaysia sangat bermakna. Benar. (post ini agak panjang).
Makluman awal, sesiapa yang menempah buku Muntalaq versi Bahasa Malaysia pada saya, sila hubungi saya di talian +2011-3313069 secepat mungkin untuk proses transaksi.

---

Cuti kali ini mengajar saya beberapa erti.

Ikhlas, dalam semua perkara. Tidak kisah perkara apa-apa pun, dakwah, jawatan, bisnes, keluarga, tarbiyah, dan lain-lain. Jika kiranya kita ikhlas, sampai bila-bila kita tidak akan pernah kecewa. Ia bermula dengan meletakkan Allah yang pertama-tama di dalam semua aspek kehidupan, dan menjadikan Allah sebagai penghujung dalam setiap subjeknya.

Bukankah kita telah dilatih untuk membaca Bismillah pada permulaan semua perkara dan Alhamdulillah pada akhirnya ?

Tidakkah Allah memuji Yusuf a.s dengan dirinya yang ikhlas ? Setelah beliau a.s cuba digoda, lantas dikatakan padanya 'Aku berlindung pada Allah', terus Allah memujinya dalam surah Yusuf ;

"Sesungguhnya dia (Yusuf a.s) adalah termasuk dari kalangan hamba-hamba Kami yang ikhlas"

Dengan sifat ikhlas juga Allah memuji Musa a.s dalam surah Maryam ;

"Sesungguhnya dia (Musa a.s) adalah orang yang ikhlas, dan juga Rasul (utusan Allah) serta Nabi"

Kedua-dua Nabi di atas memberiku makna ikhlas yang sangat mendalam. Tidakkah Musa a.s itu ikhlas ketika beliau menolong kedua-dua anak Nabi Syuaib mengangkat tutup perigi untuk memberi mereka air ?

Dengan do'anya (selepas menolong mereka dan berteduh di bawah pokok) dalam surah Al-Qasas ;

"Maka dia (Musa a.s) berkata ; Wahai Tuhanku, aku ini benar-benar perlu kepada apa-apa kebaikan yang engkau turunkan"

Itulah dia ikhlas. Tidak meminta upah kepada manusia tetapi pada Rabb mereka. Dengan kehebatan ikhlas Nabi Musa a.s, lantas Allah terus menyahut doanya, dan mengahwinkan beliau a.s dengan salah seorang anak Nabi Syuaib a.s.

Sifat ikhlas merupakan suatu yang amat sukar dan susah. Ia akan diuji dengan beberapa episod dalam hidup seseorang mukhlis (orang yang ikhlas). Selepas ujian dilakukan, jika lepas, maka nantikan ganjaran dan ujian seterusnya yang lebih hebat, tetapi jika belum lepas, maka ujian yang sama akan berterusan pada tahapnya.

Sifat ini akan menjernihkan hati, dan dengan inilah ia mampu bertemu Tuhannya. Kerana hatinya itu sudah bersih kholis (sepenuhnya) bak kata orang Mesir. Dengan pemahaman ini baru saya mampu memahami, kenapa amal tak diterima tanpa ikhlas. Kerana ia menjadi sia-sia tanpa nilai 'ilahi' dalam amal tersebut sedangkan manusia itu diciptakan untuk Dia.

Semoga kita sentiasa berdoa agar dikurniakan nikmat Ikhlas.

Syukur.
Bila disebut syukur saya teringat ayat dalam surah Saba' ;

"Dan sangat sedikit sekali hamba-Ku yang bersyukur"

Bila kulihat kembali, rupanya syukur ini mandatori kerana Allah menyebut dalam surah Ibrahim "sekiranya kamu bersyukur, Aku akan tambahkan, dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat pedih".

Kedua ayat ini menunjukkan bahawa orang yang tidak diazab adalah sedikit. Nauzubillah.
Malaysia telah memperkenalkan saya dengan mereka yang bersyukur dan mereka yang belum bersyukur.

Saya pernah terjumpa seorang tua yang ditinggalkan anak-anak terumbang-ambing di Kuala Lumpur meminta sesuap nasi berkuah.

Saya juga pernah terlihat seorang yang sudah mengalami kencing manis sejak umur belasan tahun, dan meninggal dunia pada umur sebegitu.

Banyak lagi yang saya lihat, saya rasa anda sudah lihat lebih dahsyat dari itu.

Tidakkah peristiwa-peristiwa ini membuahkan perasaan syukur pada diri ? Bagi saya ia cukup menyentuh hati. Teguran Allah pada diri yang sememangnya tepat masuk ke dalam sanubari.

Namun pernahkah kita rasa, semua yang kita lihat dalam dunia ini sebenarnya Allah perlihatkan padanya jalan-jalan untuk kita selamat daripada azab-Nya ? Atau hati kita selalu berkata bahawa itu semua salah mereka, langsung tiada terasa kaitan dengan dirinya.

Para anbiya' bersyukur dengan tasbih, zikir, qiamullail dan dakwah. Cara syukur mereka mungkin berlainan sedikit dengan cara syukur kita yang hanya pandai berkata 'Nasib baik aku tidak terkena macam tu' atau seumpamanya.

Anda yakinkah dengan cara itu mampu selamatkan kita daripada azab-Nya ?

Saya pun kurang yakin. Tidakkah pada anbiya' itu merupakan neraca selamatnya kita kalau kita ikuti mereka ? atau anda yakin diri anda lebih selamat daripada mereka yang dah confirm selamat masuk syurga ? Wallahua'lam, saya masih kurang ilmu dari sudut itu.

Semoga kita sentiasa berdoa untuk dikurniakan syukur, serta bersyukur kerana masih boleh berdoa.
Wallahua'lam.
Wassalam.

3 November 2009.
Hayy Asyir, Madinat Nasr, Cairo

1 Comments:

Anonymous ibnkhair said...

salam.
shukran sgt² ats sgl tunjuk ajar ringkas/padat(stam dll prkara) sepanjang di bumi msia ni..
moga dgn prtolongan ni, ArRahman balas belipat kali ganda..

ilalliqo' maassalamah
assalamualaikum

10:31 am  

Post a Comment

<< Home