Alpha To Omega: Melangkah anak tangga langit

Saturday, August 27, 2011

Melangkah anak tangga langit


Salam.
Kif hal ? Moga semuanya sihat wal afiat.

Malam ini adalah malam ke-27 Ramadhan. Ramai para ulama' mengira ia adalah malam Al-Qadr yang padanya diturunkan Al-Quran, dan ganjarannya lebih baik dari seribu bulan.

Masjid di Masakin Gamieah di Mansurah, membacakan surah An-Nur sepanjang terawihnya. Surah An-Nur yang menceritakan berbagai pengajaran, yang banyak berkaitan dengan persoalan masyarakat, keadilan sosial, dan penyelesaian yang ditunjukkan oleh Allah untuk membina sebuah masyarakat Islam yang kuat dan gemilang.

Bagi saya, ia adalah satu mesej jelas yang Allah mahu tunjukkan, serta Allah mahu sertakan dengan kondisi terkini diri saya ini. Terasa alunan fitrah mengalir di seluruh sendi, seolah-olah satu semesta meraikan malam ini.

Memetik satu ayat Al-Quran dalam surah An-Nur ;

"Allah adalah (pemberi) cahaya seluruh langit dan bumi, cahayanya ibarat seperti misykat (lubang yang tidak tembus) yang padanya ada pelita besar. Pelita itu dalam tabung kaca, dan tabung kaca itu bagaikan bintang berkilauan yang dinyalakan dengan minyak dari poon yang diberkati, iaitu ohon zaitun yang tumbuh, bukan di timur dan tidak pula di barat, yang minyaknya saja hampir-hampir menerangi walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah memberi petunjuk kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu. Dan Allah membuat perumpamaan kepada manusia, dan Allah itu Maha Mengetahui atas segala sesuatu - An-Nur 35

Cahaya Allah itulah yang menerangi hidup seorang mukmin. Cahaya yang menjadi penyuluh di dalam zaman kegelapan, kekeliruan antara hak dan batil. Cahaya yang memandu .. akhirnya membawa sang pejalan kaki untuk sampai ke destinasi terakhir bertemu Tuhannya dengan jalan yang paling hampir (as-siratul mustaqim).

Menghayati beberapa makna dalam surah An-Nur memang sangat-sangat menyentuh jiwa saya secara peribadi. Dinamakan An-Nur, kerana ia adalah petunjuk jalan kepada masyarakat yang kukuh, utuh dan kuat. Memulakan dengan permasalahan yang merosakkan nasab (zina) dan mengakhiri dengan kepatuhan kepada Allah dan Rasul agar umat berada dalam sempadan jihad, mengekalkan jenama sebagai umat yang terbaik.

Di tengah-tengahnya diceritakan hudud qazaf, hukum li'an (suami menuduh isteri berzina tanpa saksi), adab bermasyarakat, menundukkan pandangan, adab meminta izin, dan seterusnya dengan banyak isi-isi yang boleh dikupas.

Ia adalah satu makna yang sungguh mendalam, agar umat ini sentiasa diterangi cahaya-Nya dalam menentukan halatuju dan membina keperibadian yang unggul.

----

Menjalani kehidupan sebagai seorang manusia yang punyai impian yang tinggi, ia adalah satu perkara yang perlukan pakej tersendiri. Mendongak ke langit mudah, tetapi mahu menuju ke arah dunia roh yang sejahtera yang sentiasa mengintai-intai agar pintu langit terbuka menerima pesanan roh kepada Pencipta, ia memerlukan satu usaha yang tersendiri, bahkan luarbiasa.

Ar-Rasul SAW dahulunya memandang-mandang ke langit kerana kiblat di Madinah pada ketika awal hijrah menghadap ke Baitul Maqdis, dek kerana kerisauan cemuhan Yahudi. Lantas Allah mencatat peristiwa itu dalam surah Al-Baqarah ;

"Sesungguhnya Kami telah melihat wajahmu berbolak-balik ke langit, maka Kami palingkan kamu (wahai Muhammad) kepada kiblat yang kamu redhai. Maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram" - Al-Baqarah : 144

Ia adalah pilihan Allah, bukan pilihan peribadi. Ia adalah wahyu Allah yang turun, bukan permintaan-permintaan yang mendahulukan pendapat peribadi dalam menyusun urusan kiblat umat, sebagai salah satu kedudukan yang paling penting dalam ibadat penghubung hamba dan Pencipta. Itu adalah adab nabawi yang sangat tinggi yang patut dipelajari oleh semua pengikut Baginda atas jalan risalah ini.

"Ya Allah, pilihkanlah yang terbaik untukku, kerana aku ini tidak pandai memilih"

Saya belajar banyak perkara di Mesir. Saya belajar meletakkan urusan kepada Allah, setelah berusaha sedaya mungkin. Bagi saya, segala takdir kita telah tertulis sebelum kita lahir lagi. Mana taknya, bukankah Al-Quran itu sudah turun sekali semuanya di Baitul Izzah kemudian baru diturunkan sedikit demi sedikit bersesuaian dengan peristiwa-peristiwa dalam sirah.

Saya tak mahu ulas isu takdir boleh ditukar dengan doa dan sebagainya. Tapi saya percaya dengan hukum Allah yang telah menetapkan sunnah-Nya di dunia. Qadar-Nya adalah peraturan yang boleh difahami dan dipergunakan untuk maslahat hidup manusia. Ia adalah undang-undang dunia ataupun disebut Nawamisul Kaun (Hukum Alam).

Imam Al-Banna pernah menyebut dalam Risalah Muktamar Kelima : "Janganlah kamu bercanggahan dengan sunnah alam kerana sesungguhnya ia pasti akan menang. Tetapi gunakanlah ia, dan arahkanlah halatujunya"

Sebab itu salah seorang salaf berkata ; "Kita menolak Qadar dengan Qadar (yang lain)."
Iaitu kita menolak Qadar lapar dengan Qadar makan.

Namun setelah kita memilih Qadar-qadar tertentu ... ketahuilah sesungguhnya ilmu Allah telah lama mengetahui pilihan kita terhadap sesuatu bentuk qadar. Zat Allah adalah sesuatu yang tidak akan mampu kita fahami. Kita hanya perlu yakin bahawa Allah Maha Adil, dan setiap sesuatu pasti ada sebab dan musababnya. Allah takkan menyeksa orang yang soleh sesuka hatinya, Allah juga takkan memasukkan orang kafir yang zalim ke syurga sesuka hatinya. Pasti ada sebab kenapa orang soleh diseksa dan orang kafir itu ke syurga. Itulah ilmu yang manusia mampu faham kadarnya.

"Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi manusia, sedangkan manusia itulah yang menzalimi diri mereka sendiri" - Yunus : 44

Sebab itu saya lebih cenderung untuk mengatakan, sebarang usaha kita adalah suatu bentuk persembahan perhambaan kita kepada Allah yang sentiasa menguji manusia siapakah yang paling baik amalannya. Bukanlah hasil yang dikira, namun cara kerja, ketekunan, keikhlasan, kesungguhnya itulah yang dinilai.

Siapa diri kita itu tidak dikira kerana kita tiada pilihan untuk menjadi orang lain, tetapi apa yang kita buat itulah yang akan dinilai pahala dan dosanya, terbaik atau terburuk .. kerana di situlah adanya ikhtiar yang boleh dinilai ke mana kita gunakan segala yang kita ada ?

Oleh itu, di sini saya ingin mengumumkan beberapa Qadar yang telah saya pilih dengan sepenuh taufiq daripada Allah ...

Majlis Akad Nikah : Ahmad Syamil b. Mohd Esa dengan Maryam bte. Mohd Din
Tarikh : 17 Syawal 1432H @ 15 September 2011
Lokasi : belum confirm (Masjid Arqam, Makram Abeid @ Masjid Salam, Hayy Asyir)
Waktu : 8.30 pagi
Jemputan : semua pembaca blog ini

Majlis Walimatul Urus :
Tarikh : 17 Syawal 1432H @ 15 September 2011
Lokasi : belum confirm (Dewan Masjid Arqam, Makram Abeid)
Waktu : 12 tengahari - 4 petang
Jemputan : semua pembaca blog ini

InsyaAllah, doakan agar kedua bakal pengantin diberikan taufiq dan hidayah untuk meneruskan perjalanan sebagai pemikul risalah Ar-Rasul, menjunjung Al-Quran sebagai panduan hidup, menjadikan jihad sebagai satu-satunya jalan .. menuju puncak jiwa yang tenang dan bertemu Pencipta sebagai ghayah dan destinasi terakhir.

Wallahua'lam.

4 Comments:

Anonymous Azrul said...

Bandung

Tidak cukup sekadar merah
manisnya kehidupan ini
harus disempurnakan
dengan susu yang lemak

Jadilah kehidupan ini
semerah jambu bandung
yang lazat dinikmati
yang indah dikenangi.

Shukran bandungnya ustaz...

9:54 am  
Blogger Nor Aizat Rahimi B Rostam Rahimi said...

salam alaik..

tahniah ust syamil!
Moga sentiasa dalam keredhaan Allah SWT..

2:04 pm  
Anonymous Imang said...

Panjang betul intro :p Mabruk Mel. Akhirnye... Hehe.
Semoga kekal sampai ke syurga. Doakan imang skali supaye tabah selalu haha.

Apsal tak on ym nih?

10:15 pm  
Blogger Nawfal Fathel said...

tahniah ustaz. iAllah hadir

7:36 pm  

Post a Comment

<< Home