Alpha To Omega: Setajam pedang, sekukuh gunung !

Tuesday, April 26, 2011

Setajam pedang, sekukuh gunung !


Salam.
Apa khabar semua ? Moga semua sihat wal afiat. Alhamdulillah.

Kini berada di bumi Tanta, Mesir kampung kedua selepas Malaysia yang tercinta.

p/s : Post ini panjang. Maklumlah lama tak menulis.

--

Mesti lebih kuat dari itu


Pengalaman hidup banyak mengajar seseorang mengenai hidup yang dilaluinya hari-harian. Setiap yang berlaku pasti diletakkan dalam perkiraan hidupnya agar kesilapan yang sama tidak berulang.

Al-Quran telah merakamkan sebaik-baik kisah untuk menjadi perkiraan umat terbaik untuk buat pilihan yang terbaik. Sirah Ar-Rasul SAW dan riwayat hidup para sahabat dan tabiin R.A juga turut direkodkan dan dicatat satu persatu kerana hidup mereka adalah perkiraan Islamik yang paling tepat, bertepatan dengan sabda baginda SAW :

"Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian yang selepasnya, kemudian yang selepasnya"

Kisah para sahabat ketika fatrah Makkiyah (dakwah di Mekah) termasuk keluarga Yasir menjadi antara perkiraan-perkiraan pertama yang diajar kepada para muslimin. Fatrah Makkiyah ataupun Fasa Mekkah yang sering difahami sebagai fasa pembinaan dan tarbiyyah para sahabat.

Saya cuma terlintas ketikamana diceritakan kembali kisah Ammar b. Yasir yang dipaksa untuk mengucapkan lafaz kufur berbentuk celaan kepada Nabi SAW dan pujian kepada Al-Lata dan Al-Uzza (dua berhala agung Quraisy). Seperti yang termaktub dalam kitab sirah, Ammar b. Yasir RA kemudiannya bertemu Rasulullah SAW dengan menangis lalu Nabi bertanya kepadanya ;
"Bagaimana kamu dapati hati kamu ?"
Beliau membalas : "Tenang dengan iman"

Lalu turunlah ayat surah An-Nahl yang menyatakan barangsiapa yang mengucapkan kufur kerana terpaksa (hingga boleh menyebabkan kematian), sedangkan hatinya tenteram dengan iman kepada Allah, maka dia dimaafkan. (saya nyatakan mafhumnya)

Ayat ini menunjukkan bahawa syariat Islam itu tidak akan melangkaui daya kemampuan seorang muslim. Sangat sesuai seperti yang Allah sebut dalam surah Al-Baqarah :
"Tidaklah Allah itu akan mentaklifkan seseorang melainkan di atas kemampuannya"

--

Satu sudut yang lain, saya mahu bawa kisah Talut dan Jalut.

Allah telah menapis saf Talut hingga ke ujian terakhir. Secara ringkasnya, tentera Talut telah melalui beberapa check-point sebelum bersemuka dengan tentera Jalut.

Check-point pertama adalah pemilihan Talut sendiri sebagai ketua.
Check-point kedua adalah sebatang sungai.
Check-point ketiga adalah jumlah tentera Jalut yang melebihi tentera Talut.

Setiap check-point akan ada manusia yang tertapis. Pada akhirnya bilangan manusia yang benar-benar kuat dan tabah seramai 313, yang mampu mengalahkan tentera Jalut, dengan berkat pertolongan Allah.

--

Apa yang saya mahu nyatakan, setiap pejuang pasti akan bersemuka dengan bermacam jenis pertembungan. Ia boleh jadi pertembungan dengan pendapat ibubapa (dalam perkara-perkara ijtihadi), ia juga boleh jadi pertembungan dengan rakan, dengan kehendak nafsu, dengan tawaran duit, dengan wanita cantik, dengan godaan syaitan, ataupun bertembung dengan pistol yang dihalakan pihak musuh ke kepalanya.

Ketika pertembungan itu berlaku, ia yang akan menentukan, siapa yang akan kalahkan siapa di bumi nyata ini. Siapa yang lebih kuat itulah yang akan menang. Yang saya maksudkan dengan menang itu adalah mencapai tujuannya iaitu menundukkan pihak lawan dan mencapai hasratnya.

Saya bagi contoh ;

Ketika muslimin Mekah diseksa kaum musyrikin Quraisy, apa yang dikehendaki oleh kaum Quraisy adalah lafaz murtad. Ketika itu kebanyakan para hamba termasuk Bilal b. Rabbah RA sendiri diseksa dan mereka memilih untuk bertahan dan mahu memenangkan akidah mereka selagi mereka mampu. Bagi orang muslimin, selagi mereka tidak menyebut kalimah kufur selagi itu mereka menang (walaupun mereka tidak melawan dan tidak membunuh orang musyrikin) kerana hasrat musyrikin tidak tercapai walaupun mereka yang diseksa itu terbunuh.

Namun sekiranya semua para sahabat mengambil fiqh sebegitu, takut-takut umat yang seterusnya tidak mampu untuk memikul risalah ini kerana seolah-olah ia hanya mampu dilakukan segelintir manusia yang benar-benar kental dan kuat jiwanya.

Lalu kisah Ammar b. Yasir telah dijadikan satu bentuk pengecualian iaitu sesiapa yang tidak mampu menahan seksaan hingga boleh maut maka diberi kelonggaran, selagimana hatinya tenteram dengan iman.

Saya menyebut kisah ini tanpa sedikitpun merendahkan nilai ketinggian para sahabat yang telah memeluk Islam pada permulaan dakwah Rasulullah SAW dan kebesaran jasanya dalam dakwah baginda SAW. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya, dan kita semua meyakini perkara itu.

Bila kita lihat pengajaran kisah Talut dan Jalut, akhirnya hanya orang-orang yang benar-benar kental dan sabar saja yang mampu mengalahkan kebatilan, walaupun bilangan mereka sedikit.

Tentera Talut telah berhadapan dengan pertembungan dalaman ketika Talut dipilih bukan dari kalangan bangsawan. Mereka juga telah mengalami pertembungan fizikal ketika tidak dibenarkan meminum air dari sebatang sungai melainkan secedok sahaja. Perlu diingatkan hanya secedok sahaja yang dibenarkan. Dua cedok atau secedok setengah sudah dianggap melanggar arahan dan tidak layak untuk meneruskan perjalanan bersamanya. Paling tinggi sekali cabaran adalah apabila mereka bertembung dan bersemuka secara fizikal, mental dan spiritual ketika berhadapan dengan tentera Jalut. Dengan kehausannya, dengan sedikitnya bilangan, agaknya apa lagi yang boleh menguatkan mereka ?

Tika inilah Allah merakamkan ayat keramat :

“Berkatalah orang yang meyakini mereka itu akan bertemu Allah ; Berapa banyakkah (kisah) golongan yang lebih sedikit memenangi golongan yang lebih banyak dengan izin Allah ?”

Ya, akhirnya keyakinan mereka kepada Allah itulah yang mahu Allah uji, pada akhirnya. Ini kerana hanya mereka yang benar-benar berjuang, tahu hujung pangkal perjuangan, tahu tugas sebenar seorang pemikul risalah. Allah menuntut mereka untuk berperang, bukan menuntut mereka untuk menang. Allah menuntut mereka untuk bersabar bukan menuntut mereka untuk memastikan natijah itu keluar. Sebab itu kita lihat, tapisan Allah dalam tentera Talut ini merupakan salah satu fiqh terbesar yang perlu difahami oleh para duat dan pemikul risalah Islam ini.

Perasaan fana’ (hilang/larut) dalam keasyikan jihad dan dakwah ini digambarkan dalam surah At-Taubah :

“Katakanlah (wahai Muhammad) sekiranya ayah-ayah kamu, anak-anak kamu, saudara-mara kamu, isteri-isteri kamu, dan harta-harta yang kamu perolehi, dan perniagaan yang kamu takut kerugiannya, semua itu lebih kamu cintai/sukai/sanggup dahulukan berbanding Allah dan Rasul-Nya serta Jihad di jalan-Nya, maka ketika itu tunggulah Allah mendatangkan urusan-Nya, dan Allah pasti tidak memberi petunjuk kepada orang fasiq”

--

Saya ingin membaca dengan nada lain satu ayat Allah SWT dalam surah Al-Ahzab :

“Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah (risalah Islam) ke atas langit-langit dan bumi serta gunung-ganang lalu mereka enggan untuk memikulnya serta mereka khuatir tidak dapat laksanakan amanah itu, lalu manusia memikulnya. Sesungguhnya manusia itu sangatlah zalim dan bodoh”

Mungkin nada celaan Allah terhadap manusia itu seolah-olah nampak sebagai merendahkan martabat manusia. Bahkan tidak sekali kerana Allah sendiri telah memuliakannya dalam ayat-ayat lain seperti dalam surah At-Tiin yang biasa kita baca :

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan, kemudian Kami kembalikan mereka kepada serendah-rendah golongan yang rendah, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, mereka itu beroleh ganjaran yang tidak putus-putus”

Dan juga surah Al-Isra’ :

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan Bani Adam dan Kami telah membawa mereka di atas darat dan laut dan Kami telah memberikan kurniaan yang baik-baik dan Kami telah memberi kelebihan kepada mereka ke atas banyak ciptaan-ciptaan Kami satu kelebihan yang nyata”

Jadi nada yang saya mahu guna ;

“Sekiranya gunung yang kukuh, langit yang luas, dan bumi yang padu dengan segala isinya itu sendiri tidak mampu memikul risalah ini .. dan Allah telah menjadikan kita sebagai golongan yang memikul amanat risalah ini, bukankah itu bermakna kita punyai kekuatan yang lebih besar daripada gunung, langit dan bumi ?

Maka nak atau tidak, sekiranya kemampuan jiwa dan akidah kita belum mampu setara itu atau lebih hebat dari itu, sebenarnya kita masih belum layak memikul risalah ini dan memenangkan agama Allah ini”

Kesimpulan yang saya ingin bawa ini mudah saja difahami, tarbiyyah yang kita lalui, sekiranya tidak membentuk kita untuk menjadikan jiwa kita, pegangan kita, dan akidah kita setajam pedang, sekeras batu dan sekukuh gunung, maka ia sebenarnya masih merupakan satu jalan yang masih jauh untuk memenangkan risalah ini.

"Adakah kamu menyangka akan masuk ke syurga sedangkan kamu masih belum ditimpa (ujian) seperti umat sebelum kamu, mereka telah ditimpa kemelaratan dan keperitan serta digoncang (keyakinan mereka) sehingga berkatalah Ar-Rasul dan orang yang beriman, bilakah pertolongan Allah (datang) ? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat" - surah Al-Baqarah, ayat 214

Wallahua'lam.

2 Comments:

Blogger Perantau said...

This comment has been removed by the author.

12:17 pm  
Blogger Perantau said...

ya Allah berilah kami kekuatan untuk memikul dakwahmu!

12:18 pm  

Post a Comment

<< Home