Alpha To Omega: Musim cuti, peperiksaan dan neraca kita

Thursday, January 27, 2011

Musim cuti, peperiksaan dan neraca kita


Assalamualaikum warahmatullah wa barakaatuh.

Segala puji dan syukur hanya pada Allah, musim peperiksaan bagi pelajar jurusan pengajian Islam Al-Azhar sudah pun berakhir. Bagi pelajar perubatan khususnya cawangan Tanta, peperiksaan akan bermula insyaAllah selepas cuti.

Cuti musim sejuk yang baru bermula telah memberikan ruang kosong yang cukup bagi pelajar-pelajar dirasat untuk merehatkan diri selepas berpenat lelah dalam peperiksaan. Tetapi bagi pelajar perubatan, ia merupakan tempoh yang cukup sebagai persediaan untuk peperiksaan.

Apapun jenis bentuk situasinya, sama ada persediaan untuk peperiksaan atau percutian yang menyenangkan, saya suka untuk mengajak semua agar menjadikan seluruh sudut pandang dalam hidup kita terpandu dengan panduan Islam, dan neraca Iman.

Apakah maksudnya panduan Islam dan neraca Iman ?

Pelajar yang telah menjalani peperiksaan pastinya melihat peluang cuti adalah masa untuk menghabiskan segala yang telah disimpannya (dari segi duit, masa tidur, masa bermain dan apa-apa yang boleh menenangkan perasaan).

Pelajar yang akan menjalani peperiksaan pastinya melihat peluang itu sebagai peluang keemasan bagi mengatur jadual dan perancangan untuk merebut peluang mendapat pangkat Mumtaz. Saya pernah dengar, pelajar perubatan (yang datang dengan agen) ada habit tersendiri, iaitu mereka akan bersungguh-sungguh untuk belajar all-out pada first year untuk memohon tajaan JPA dan MARA, kemudian apabila telah menerima JPA dan MARA, kesungguhan mereka secara automatiknya akan berkurang kerana bayaran yuran universiti telah dibayar.Benar atau tidak, tanyalah mereka. Elok atau tidak ? Nilailah sendiri.

Tapi, bagi pelajar yang benar timbangannya, sahih pandangannya, dia melihat dengan neraca Iman dan pertimbangan Islam. Masa cuti selepas peperiksaan bukan dilihat sebagai waktu rehat semata-mata, bahkan ia adalah waktu yang lebih bahaya berbanding waktu peperiksaan itu sendiri. Dia terkenang hadis Nabi SAW ;

“Dua nikmat yang selalu dilupai oleh kebanyakan manusia, kesihatan dan waktu lapang”

Dirinya risau bahkan gelisah kerana waktu lapang (tanpa ada aktiviti yang bermanfaat) adalah bala’ dan malapetaka besar bagi seorang muslim sejati. Dia teringat kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah kepada seseorang apabila ditanya ;

“Aku hanya mahu mendapatkan sedikit kerehatan”, lalu dia membalas :

“Pada dirimu ada kelalaian yang mencukupkanmu daripada kerehatan”. – Al-Muntalaq

Dia risau dirinya yang selalu berehat takut-takut tidak dapat menyalurkan ‘kepenatannya’ kepada saluran yang benar dan sahih apabila terkenang sunnatullah dalam surah Al-Balad ;

“Manusia itu diciptakan dalam keadaan penat”

Syed Qutb rahimahullah apabila mengulas ayat ini, beliau menegaskan bahawa tabiat manusia adalah sentiasa dalam kesibukan dan kepenatan. Cuma bezanya adalah kepada apa yang dia salurkan, sama ada kepada imannya atau kepada hawa nafsunya. Hakikatnya, diri kita sahaja yang tahu (selepas Allah) ke mana sebenarnya kita salurkan tenaga dan jiwa kita, lebih-lebih lagi waktu muda yang sangat berharga ini.

Bagi pelajar Muslim yang akan menghadapi peperiksaan selepas waktu cuti, masa cuti bukan semata-mata waktu untuk mengulangkaji pelajaran, bahkan ia adalah waktu optimum untuk meningkatkan kestabilan diri dalam interaksi dengan keseimbangan emosi, meningkatkan diri menghayati seni-seni hubungan dengan alam semulajadi, dan cuba memahami rahsia-rahsia di sebalik penciptaan Ilahi dalam menjadikan peperiksaan sebagai satu lumrah dalam hidup ini.

Tidakkah Allah menjadikan semua yang kita hadapi dalam hidup ini adalah sebuah ujian ?

“(Dialah) yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah yang paling baik amalannya ?” – Surah Al-Mulk

Allah tidak menyebut untuk menguji sebahagian daripada kamu, atau hanya sekelompok manusia sahaja, atau hanya manusia yang dalam keadaan tertentu sahaja, tapi Allah telah menjadikan keseluruhan hidup kita, tak kira waktu peperiksaan atau waktu cuti, waktu susah atau waktu senang, sebagai satu bentuk ujian Ilahi dalam mencari hamba-Nya, menilai hamba-Nya, siapakah yang paling baik amalannya ?

Kefahaman kita terhadap tasawwur/gambaran sebeginilah yang akan membentuk kita menjadi seorang muslim yang memahami hakikat perhambaan dalam hikmah penciptaan manusia. Ia menceritakan kesempurnaan ubudiyyah (penyembahan) kepada Tuhan, dan kesempurnaan uluhiyyah (ketuhanan) Allah, dalam merangka satu bentuk hidup muslim yang tulen dan sejati.

Ia mengajar kita satu bentuk kesamarataan sejagat, dalam meneroka ketinggian nilai risalah tauhid.

Apabila kita fahami beberapa hakikat ini, mungkin baru kita mampu fahami betapa tingginya nilai Islam di dalam dunia manusia, betapa besarnya faktor kefahaman Islam yang sahih dalam membina sebuah peradaban manusia yang paling hebat di dunia.

Akhirnya, waktu peperiksaan atau tidak, itu tidak masuk dalam perkiraan-Nya, yang penting di manakah kita meletakkan Dia dalam segenap masa hidup kita ? Bukankah ujian itu setiap masa ?

Selamat bercuti, dan berjuang.

Wassalam.

Diambil dari post di sini

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

bwin bet ▷ Bonuses, Promotions, Games, Banking 10bet 10bet bet365 bet365 5822Free Slots New Games by Big Fish Casino

10:29 pm  

Post a Comment

<< Home