Alpha To Omega: Menuju perhambaan hakiki

Friday, December 10, 2010

Menuju perhambaan hakiki


Salam kepada semua.
Kif hal ? Moga semua dalam keadaan sihat wal-afiat.

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1432H. Moga kita bersama menghayati pengertian hijrah ini, agar membentuk umat untuk menjadi umat yang ber'hijrah'.

"Tiada hijrah selepas Fathu Mekkah, kecuali Jihad dan Niat" - Hadith

Mana tahu jika kita dibangkitkan di tengah-tengah para sahabat yang dipersaudarakan Rasulullah SAW kerana niat hijrah kita yang tinggi dan jihad kita yang benar ?

Allahumma ameen.

--

Hijrah mengajar erti perhambaan

Semakin lama saya hidup, saya dapati diri semakin jahil dengan apa yang saya lalui dan apa yang saya jumpa. Secara tak langsungnya ia membawa saya ke alam yang mendebarkan dan penuh dengan kejutan. Hidup sebenarnya banyak memberi pengajaran yang bermakna kepada diri kita secara langsung atau tidak.

Apapun segala yang berlaku di dunia ini ada kanun dan peraturannya. Allah SWT tidak zalim ketika mencipta manusia, dan tidak akan zalim selama-lamanya.

"Sesungguhnya Allah tidak zalim walaupun sekecil zarah, bahkan sekiranya sebesar zarah itu adalah sebuah hasanah (kebaikan), Dia pasti akan melipatgandakan dan memberikan di sisi-Nya ganjaran yang agung" - Surah An-Nisa'

Jika kita fahami perkara ini, maka hidup yang kita lalui adalah hidup yang penuh dengan segala kesempurnaan. Kenapa ?

Sebab diri kita digantungkan hanya kepada Allah SWT semata-mata. Allah menyukai hamba-Nya yang tajarrud (bulat/total/tulus) kepada-Nya. Hidup kita mulia dan sempurna, bukan kerana diri kita yang mulia atau sempurna, tapi kerana kita bergantung kepada Yang Maha Mulia dan Yang Maha Sempurna.

"Barangsiapa yang mahukan kemuliaan, maka di sisi Allahlah segala kemuliaan" - Surah Fatir

Adapun jika kita merasa terlalu yakin untuk menempuh apa yang ada dalam hidup ini, maka ia hanya merendahkan martabat kehambaan kita di sisi Allah, kerana kita merasakan diri kita lebih dari itu. Allah SWT tidak suka hamba-Nya yang rasa serba tahu dan over-confident, kerana sifat Allah itu sangat suka untuk diminta dan diseru.

"Sesungguhnya Allah suka apabila Dia diminta" - Hadith
dalam riwayat lain, "Sesungguhnya Allah benci sekiranya Dia tidak diminta"

Hijrah bagi saya mengajar kita beberapa erti perhambaan kepada Pencipta.

Ia mengajar kita mengutamakan perkara yang Dia sukai berbanding apa yang kita sukai.
Ia mengajar kita melihat kepentingan yang Dia kata penting, bukan yang kita rasa penting.
Ia mengajar kita untuk meyakini bahawa segalanya yang Dia arahkan dan tentukan, ganjarannya pasti dan Dia pasti tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang mengikuti perintah-Nya.
Ia mengajar kita menghilangkan segala bentuk perhambaan kepada selain Allah, seperti dunia, harta, keluarga, tanah air, syahwat, yang boleh menyekat kita daripada menjadikan kita hamba Allah semata-mata.

Akhirnya, hijrah itu, sepertimana yang telah dinukilkan dalam kitab-kitab sirah yang masyhur, ingin mengajar kita erti sebenar sebuah perhambaan kepada Tuhan. Inilah yang telah dilalui oleh para sahabat, bahkan Nabi SAW sendiri.

Apa pula beza hamba Allah dan hamba manusia ?

Beza perhambaan yang kita fahami dan kita lihat secara mata kasar (hamba manusia kepada manusia) dengan perhambaan kita kepada Allah adalah, hamba kepada manusia tidak semestinya berasa tenang dengan tuannya. Ini kerana manusia itu bernafsu, dan tindakannya kadang-kadang memudaratkan si hamba itu yang tidak bersalah. Bahkan segala arahan dan paksaan si tuan itu pun langsung tidak memberikan sebarang manfaat yang berbalik kepada hamba, tapi hanyalah untuk meraikan tuannya yang sudah cukup senang lenang itu.

Tetapi perhambaan yang Allah mahu ajar kepada umat ini, adalah perhambaan kepada Tuhan segala tuan, Raja segala raja, yang menyaksikan keagungan kehebatan kerajaan-Nya. Perhambaan yang meletakkan 'sakinah' (ketenangan) kepada jiwa para hamba. Perhambaan yang menjamin ganjaran dunia dan akhirat buat hamba yang kental dan tabah mengharungi jalan yang ditunjukkannya.

Tidakkah kita saksikan apabila para sahabat telah meninggalkan Mekkah dan menuju ke Yatsrib, adakah mereka pernah memikirkan apa yang akan mereka makan ? di mana mereka akan tinggal ? atau apa akan jadi kepada keluarga aku di Mekkah ?

Pasti jawapannya Ya. Tetapi sekiranya mereka terlalu berkira, pasti mereka tidak akan berhijrah. Tetapi apa yang menyebabkan mereka pergi berhijrah ? Ia tidak lain hanyalah ketenangan dan keyakinannya kepada janji Allah SWT yang akan menjaga orang-orang beriman. Tidakkah kita melihat selepas hijrah, para muhajirin telah dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW dengan kaum ansar di Madinah ? Seterusnya kita lihat bagaiman peristiwa itsar yang telah direkodkan dalam surah Al-Hasyr ;

"Dan mereka yang telah tinggal di negara dan iman (yang dimaksudkan adalah sehingga mereka pergi menduduki iman itu kerana ketinggian nilai keimanan dan sifat ukhuwwah yang ditunjukkan) sebelum mereka, mencintai sesiapa yang berhijrah kepada mereka, dan mereka tidak merasakan pada hati mereka sebarang hajat terhadap apa yang telah diberikan kepada mereka (muhajirin), dan mereka mengutamakan (itsar) mereka (muhajirin) berbanding diri mereka (ansar) sendiri, dan barangsiapa yang menyelamatkan diri daripada bakhil, maka mereka itulah golongan yang berjaya" - Surah Al-Hasyr

Persoalannya, adakah mereka tahu perancangan Nabi SAW mengenai pemersaudaraan itu ?? Jawapannya tentu tidak.

Tetapi Nabi SAW telah mengatur dan menyusun segalanya untuk umatnya, demi kemaslahatan bersama. Kita juga saksikan ghanimah pada siri-siri peperangan ketika selepas hijrah hanya diberikan kepada kaum muhajirin. Inilah bukti benarnya janji Allah yang akan menjamin keselamatan dan kebahagiaan hamba-Nya yang mengikuti arahan-Nya.

"Maka Allah berikan mereka ganjaran di dunia, dan sebaik-baik ganjaran di akhirat, dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan" - Surah Ali Imran

Peristiwa yang sama juga berlaku kepada kisah Abu Bakar dan Nabi SAW di Gua Tsur, yang menguji nilai ketenangan yang ada pada Rasulullah SAW , ketika Abu Bakar berkata ; "Wahai Rasulullah, jika sekiranya salah seorang daripada mereka (kaum musyrikin) menundukkan kepala mereka, pasti mereka akan melihat kita!"

Rasulullah SAW dengan tenangnya menjawab ; "Apakah kamu menyangka kita hanya berdua ? Bahkan Allah adalah yang ketiga".

Adapun, di sana pasti ada beberapa manusia yang enggan berhijrah kerana kepentingan tertentu, akhirnya mereka tidak melangkah untuk memasuki era perhambaan hakiki yang menjamin kebahagiaan yang abadi, kerana tertipu dengan habuan dunia dan tipudaya yang sementara.

"Wahai manusia, sesungguhnya janji Allah itu benar, maka janganlah jadikan kehidupan dunia itu menipu kamu, dan janganlah penipuan itu memesongkan kamu daripada Allah" - Surah Fatir

Hamba itu sifatnya sentiasa takut, risau, bekerja sepenuh hati, mengharapkan agar Tuannya redha dan tidak marah padanya, sentiasa tekun dalam laksanakan arahan-Nya, dan bekerja tanpa penuh berkira. Inilah yang telah disebutkan oleh Syed Qutb apabila menyifatkan para duat (pendakwah) di jalan Allah ;

"Mereka adalah pekerja di sisi Allah. Melakukan apa yang ditetapkan, mengikut peraturan yang telah ditetapkan, dalam tempoh masa yang ditetapkan, dengan ganjaran yang telah ditetapkan. Mereka tidak berkira-kira dan mempertikai kerjanya, kerana mereka hanyalah pekerja"

Kita takkan mampu rasa perkara ini jika kita tidak melangkah. Kita takkan mampu hidup dengan perkara ini jika kita teragak-agak. Azam, dan tawakkal. Kita akan lihat lebih banyak lagi, bahkan lebih hebat lagi. Kemudian kita akan rasai ketenangan itu, seperti yang pernah para sahabat dan Rasulullah SAW rasai.

Akhir kata, sejarah hijrah telah mengajar kita pemahaman terhadap perhambaan dari sudut yang tinggi. Jalan hijrah di depan kita terbentang luas dengan segala petunjuk dan panduannya. Yang tinggal hanyalah diri kita, adakah sudah bersedia untuk maju ke depan mengharungi hidup perhambaan yang sebenar, ataupun kita masih belum rasa betapa hinanya menjadi hamba kepada dunia dan segala isinya?

Wallahua'lam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home