Alpha To Omega: Ramadhan Rescue

Sunday, September 05, 2010

Ramadhan Rescue


Salam.

Apa khabar ? Moga masih dalam semangat mencari Lailatul Qadr, di penghujung Ramadhan.

p/s : Post ini agak panjang.

Allahumma ballighna Lailatal Qadr. Ameen.

--

Dinihari tadi pak imam Masjid Salam telah membacakan surah Az-Zumar yang bermaksud 'golongan-golongan'.

Bila sampai pada ayat ke-8 yang berbunyi ;

"Dan apabila manusia ditimpakan kesusahan dia segera berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, atau duduk ataupun berdiri. Dan apabila dia diberi nikmat pelepasan daripada kesusahan tersebut terus dia melupakan Siapa yang telah diminta sebelum itu .."

Apabila sampai kepada ayat ini, terus terlintas hati saya mengenai tabiat jiwa manusia. Tabiat jiwa manusia yang lemah dan hina. Tabiat jiwa manusia yang memang sebegini sifatnya. Jika manusia terus menerus dalam sifat ini, ia boleh membawanya ke neraka Allah kerana murka-Nya pada dia.

Namun apakah caranya untuk mengubah diri manusia itu untuk menjadi lebih baik ? Mari kita teliti ayat seterusnya, ayat ke-9.

"Adakah sama insan (tadi itu) dengan seorang yang tekun berqunut (beribadah) pada tengah malam, dalam keadaan bersujud dan berdiri, dalam keadaan takutkan hari Akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya, katakanlah (wahai Muhammad) ; adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui ? Sesungguhnya yang mengambil peringatan hanyalah orang yang mempunyai akal"

Saya tidak berhasrat untuk memberikan khawatir (lintasan hati) terhadap keseluruhan surah ini walaupun cita-cita untuk itu memang ada, tapi hanya mahu ambil beberapa aspek penting dalam surah ini.

Dalam ayat ke-9, Allah s.w.t memberitahu bahawa semua insan tabiatnya memang yang telah disebutkan dalam ayat sebelumnya. Namun Allah juga telah berikan kita jalan penyelesaian yang sungguh indah, iaitu apabila kita bertaqarrub dengan-Nya, maka sifat-sifat kelemahan kita akan diperbaiki sehingga kita menjadikan ubudiyyah kita hanya pada Ilahi, hingga kita menjadi hamba yang Rabbani.

Di sini saya lihat kepentingan tarbiyyah (pendidikan islamik yang bersifat anjal ke arah membentuk peribadi muslim sejati). Tarbiyyah mengajar kita untuk melakukan qiyamullail kerana Rasulullah s.a.w lakukannya tanpa pernah henti serta ia adalah bekalan asasi para duat. Tarbiyyah mengajar kita merapatkan hubungan dengan Allah kerana dalam kamus kita, Allah sahaja yang berkuasa memberi hidayah dalam membuka pintu hati manusia. Hanya Allah sahaja yang berkuasa mutlak pada segalanya.

Tetapi dalam meneliti kehidupan seharian kita, kita belum ada masa yang khusus untuk betul-betul all-out dalam menekuni taqarrub pada Allah dek kerana lambakan tugas dan kerja-kerja harian.

Dengan itu Allah telah menyediakan Ramadhan sekali setahun sebagai medium yang paling sesuai untuk umat Islam secara umumnya, kembali menghayati makna ubudiyyah mereka kepada Pencipta.

Ramadhan membantu kita memahami kehebatan nilai solat pada solat terawih. Kehebatan nilai ibadah dan taqarrub kepada Allah, pada ganjaran 70 kali ganda. Kehebatan nilai kebersamaan Allah pada malam-malam yang ada padanya pelepasan api neraka. Tidakkah kita pernah bayangkan segala kitab-kitab yang diturunkan semuanya pada bulan Ramadhan ?

Intipati mesej kitab-kitab samawi terdapat dalam Al-Quran. Ringkasan keseluruhan intipati Al-Quran terdapat dalam surah Al-Fatihah. Ringkasan mesej surah Al-Fatihah terdapat dalam ayat "Iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'ien" (Hanya kepada Engkaulah kami menyembah, dan hanyasanya Engkaulah kami meminta pertolongan). 

Maka Ramadhan didatangkan, secara simple dan ringkasnya, untuk menanam mesej tajarrud total (penyerahan bulat seratus peratus) kepada Pencipta.

--

Saya cuba untuk kaitkan lagi perkara di atas dengan perkara yang lebih menarik dan mendalam. Ramadhan adalah bulan peperangan yang besar bagi umat Islam. Dalamnya ada Badar, Hittin, Ain Jalut dan sebagainya.

Mereka itu tulus jiwanya. Tajarrud peribadinya. Bayangkan jika seseorang itu pergi berperang sehabisnya dan harapkan untuk mati di medan perang, apakah lagi yang dia tinggalkan untuk dunianya ? Tiada. Jiwanya kosong dek kerana cintanya pada Allah dan dakwah melebihi segalanya.

Atas sebab itu Allah ukirkan keagungan mereka dalam bentuk peperangan. Suatu kumpulan jiwa-jiwa yang penuh total menghadap Pencipta segala makhluk, pergi menghadap-Nya dengan sepenuh jiwa dan raga mereka. Mereka itu tercatat dalam sejarah umat dengan gelaran-gelaran sehingga dipanggil Ahli Badr. Sehingga tamadun umat di Sepanyol berkekalan lebih 800 tahun. Sehingga Mekkah berjaya dibebaskan daripada cengkaman taghut jahiliyyah (Fathu Makkah).

Kesemuanya itu Allah ukirkan keagungan mereka, bukan dengan nama perseorangan, tapi dengan sebuah kumpulan yang penuh keimanan dan kesungguhan.

Sebab itu dalam surah Az-Zumar, saya sungguh tersentuh apabila ia diakhiri dengan kisah golongan-golongan yang dimasukkan ke dalam neraka & syurga. Nanti umat Islam akan masuk ke syurga bersama kumpulan masing-masing. 

"Dan dibawakan pula orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka ke syurga secara berkumpulan-kumpulan. Hinggalah apabila mereka tiba di syurga dan dibuka pada mereka pintu-pintu syurga lalu penjaga syurga itu berkata ; Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah, dan masuklah ke dalamnya selama-lamanya" - surah Az-Zumar, ayat 23

Saya membayangkan batalion-batalion tentera Islam memasukinya secara berkumpulan. Alangkah indahnya ! Jiwa-jiwa mereka ibarat sebuah bulan purnama yang menyinari malam bulan purnama, masuk ke dalam syurga bersama-sama, kerana mereka dahulunya bersama-sama melawan hawa nafsu mereka, dan meninggalkan keluarga mereka serta harta benda mereka. 

--

Untuk permulaan, kita perlu jadi muslim sejati yang penuh tulus kepada Allah. Selepas kita fahami lebih dalam, kita akan tahu kepentingan untuk bersama kelompok manusia yang tulus kepada Allah untuk meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Selepas kita tekuni dan hayati makna kesemuanya ini, baru kita tahu jalan yang ada di hadapan mata kita hanyalah jalan perjuangan Nabi s.a.w iaitu Jihad. Sehinggalah sampai satu ketika, kita akan yakini bahawa sebaik-baik kematian adalah mati syahid fi sabilillah. Pada akhirnya, kita tidak akan mahu mati melainkan dengan kemuliaan mati syahid itu.

"Apa yang aku maksudkan dengan jihad adalah ; kefardhuan yang berterusan sehingga hari Kiamat. Dan maksud daripada hadith Rasulullah s.a.w : "Barangsiapa yang meninggal dunia, namun tidak pernah berperang atau bercita-cita untuk pergi berperang, maka matinya dalam keadaan jahiliyyah".

Dan peringkat pertama bagi jihad adalah ingkar dalam hati, serta peringkat tertinggi adalah berperang di jalan Allah. Di antara kedua-dua peringkat itu ada jihad lisan, pena dan tangan, serta kalimah haq di hadapan sultan yang zalim. 

Dakwah tidak akan hidup tanpa jihad. Dengan kadar mulianya dakwah itu dan luasnya ufuknya, maka jadilah besarnya nilai jihad itu di jalannya, tingginya harga yang perlu dibayar untuk menolongnya (dakwah tersebut), dan besarnya pahala bagi orang-orang yang beramal.

"Dan berjihadlah di jalan Allah, dengan sebenar-benar jihad" - Surah Al-Hajj

Maka dengan itu, barulah engkau fahami wahai saudaraku, sloganmu yang sentiasa diulang-ulang ; Al-Jihadu Sabiluna (jihad adalah jalan kami)" - Hasan Al-Banna, Risalah Ta'lim

Ramadhan mengajar kita kesemua erti itu jika kita benar-benar bersungguh. 

Tanamkanlah perasaan pergi berjihad dalam terawih dan qiyamullail. 

Siapa tahu mungkin-mungkin Allah pilih kita untuk bersama saf tentera Badar masuk ke syurga nanti ?

--

Allahumma ballighna Lailatal Qadr, 

Wa amitna ala asy-Syahadah.

Ameen.

p/s : Anda nak masuk kumpulan mana ?

1 Comments:

Anonymous hikmat said...

Qaalar rasul S.A.W; al-mujaahidu man jaahada nafsahu li to'atillah. au kama qaal.

syukran awi!

11:05 pm  

Post a Comment

<< Home