Alpha To Omega: Soalan cepu emas

Saturday, July 17, 2010

Soalan cepu emas


Salam.

Apa khabar ? InsyaAllah baik, alhamdulillah.

--

Sila bayangkan situasi ini ;

Jika anda merupakan seorang murid kepada seorang guru. Guru anda mendidik anda dengan sepenuh belaian kasih sayang dan keseriusan dalam membentuk jatidiri Islam pada diri anda. Duit guru anda habis kerana kerenah anda yang pelbagai. Masa guru anda habis kerana masalah-masalah anda yang anda ceritakan padanya, lantas beliau sudi menjadi pendengar setia.

Guru anda serius mendidik anda dan memandu anda sehingga anda mampu menangis di malam hari mengenangkan dosa-dosa anda dan memikirkan perihal umat anda yang sedang tenat, sedangkan dulunya anda menangis kerana ditinggalkan kekasih anda. Jatidiri anda berdarah dagingkan dakwah dan tarbiyyah, sedangkan dulunya ia penuh dengan karat jahiliyyah. Jiwa anda jiwa daie yang tak boleh duduk diam, sedangkan dulunya anda suka duduk rumah dan lepak-lepak tak buat apa-apa pun yang bermanfaat. Pandangan anda adalah pandangan manusia tarbawi yang sentiasa optimis dan mahu memperbaiki dan mengislah umat, sedangkan dulunya pandangan anda sangat pesimis dan anda hanya mengatakan kepada umat yang sedang tenat ini ; TIADA HARAPAN BAGIMU. 

Dalam buku peribadi anda tersenarai puluhan bahkan mungkin ratusan nama-nama mad'u yang anda plan untuk mengajak mereka ke arah Islam yang anda faham, sedangkan dulunya terdapat nombor-nombor telefon kenalan perempuan yang anda biasa hubungi. Dalam komputer riba anda terdapat berbagai video-video Islam yang boleh menyedarkan umat, sedangkan dulunya ia sarat dengan video-video inggeris yang tak habis-habis seasonnya. Dalam kehidupan seharian anda ada zikir matsurat, ada wirid Quran, ada ziarah sahabat, ada telefon keluarga, ada sedekah dan ada bermacam-macam lagi perkara baik, sedangkan dulunya ia sarat dengan membuang masa pada perkara yang tidak berfaedah.

Diri anda terbentuk sebegitu rupa kerana didikan guru anda yang ikhlas dan benar-benar serius untuk menjadikan anda individu muslim sejati. Dalam didikannya tidak langsung diselitkan berbagai ajaran sesat dan akidah yang salah, bahkan sarat dengan kisah-kisah sirah yang cukup mendidik dan menyentuh jiwa anda sehinggakan anda mampu merasakan anda hidup dalam zaman Nabi s.a.w, kerana beliau mengaitkan satu-persatu peristiwa dalam hidup anda dengan sirah Nabi s.a.w yang telah lama berlalu sejak 1400 tahun yang lepas. 

Tsiqah anda terbina terhadap guru anda selama ini, kerana amalnya, belanjanya, luangan waktunya, smsnya, telefonnya, taujihatnya, nasihatnya, dan bermacam-macam lagi yang membuatkan anda tersentuh hati kerana uslub pendidikan guru anda benar-benar mengikut acuan fitrah anda. Akhirnya, anda cinta pada guru anda kerana dia telah menyelamatkan anda daripada api neraka, dan menunjukkan pada anda jalan orang yang serius berjuang. Proses cinta anda pada guru anda memakan masa bertahun-tahun lamanya, dan anda hanya hargainya bila anda berpisah dengan masa-masa TARBIYAH bersamanya satu ketika dahulu.

Tiba-tiba ;

Ada orang datang, dan mengatakan anda telah menerima ajaran yang salah dari seorang guru yang salah. Anda telah sesat kerana ajaran guru itu sesat. Orang itu memberikan bukti-bukti yang kiranya kukuh untuk membuktikan kesalahan guru anda. Orang itu menyatakan bahawa anda tidak boleh berjuang di atas jalan yang telah ditunjukkan guru anda kerana kumpulan guru anda tidak benar dan boleh menyesatkan manusia yang lain. 

Sesi itu berlaku hanya kira-kira 1 jam mungkin, atau 5 jam mungkin, atau mungkin berhari-hari. Orang itu tak membelanjakan wang mereka yang banyak untuk mendidik anda (bahkan mungkin tidak pernah mendidik anda pun), tidak meluangkan bertahun-tahun waktu hidup mereka untuk menasihati dan memerhati perangai anda, orang itu langsung tidak pernah kenal perjalanan hidup anda atau kisah silam anda. Orang itu mungkin orang asing bagi diri anda.

Apa anda buat ?

Kalau saya, saya senyum saja. Waraskah saya kalau saya terima bulat-bulat apa yang diberitahu ? Siapa yang lebih saya percaya dan tsiqah ? Setara mana usahanya agar saya lebih tsiqah padanya berbanding usaha guru saya yang bertahun-tahun lamanya itu, siapakah dia pada saya dalam perjalanan hidup saya sendiri secara peribadi ?  Wajarkah imej guru anda yang begitu anda percaya dengan kebaikannya dan hati budinya, yang telah tertanam sejak bertahun-tahun lamanya, digantikan dengan imejnya yang buruk dan sesat hanya dengan kata-kata panas sejam dua daripada orang yang kurang dikenali ?

Jawapannya sudah pasti tidak waras dan tidak wajar. Bahkan saya pada ketika itu PERLU untuk siasat dulu perkara-perkara tersebut untuk memastikan kesahihannya.

Pada ketika itu, ada dua pilihan. Pilihan pertama ; pergi bertemu dengan guru saya itu atau saya siasat. Pilihan kedua ; tak layan apa yang orang itu cakap kerana ia tak menambahkan amal saya dan iman saya. Kalau saya sekarang ini sesat atau salah, tunjukkanlah buktinya.

--

Bila kita fahami bahawa dakwah ini adalah milik Allah, maka Allah yang akan menjaganya. Kita tidak boleh risau langsung dengan kemenangan dakwah, kerana ia pasti menang. Kita perlu risau diri kita, di mana kita dalam membantu kemenangan itu.

Bila kita fahami bahawa Allah mencipta sesuatu dengan ketetapannya, maka kita mesti mengetahui apakah dia hukum alam atau sunnatullah pada setiap sesuatu itu, supaya kita boleh fahami tabiat sesuatu perkara. Bila tabiat satu-satu perkara kita fahami, maka keputusan kita tepat, perkiraan kita benar, percaturan kita sesuai dan perancangan kita teratur dan tersusun.

Tadarruj atau berperingkat merupakan suatu sunnatullah yang terlaksana di muka bumi Allah ini. Manusia terhasil daripada air mani lalu berubah menjadi janin dan menjadi bayi kemudian membesar. Pokok asalnya daripada biji benih, lantas dengan tempoh tertentu dan faktor tertentu, ia mampu bercambah dan berbunga lantas berbuah. 

Hatta Allah s.w.t sendiripun mencipta langit dan bumi dalam tempoh enam hari, bukan Dia tak boleh menciptakan sekaligus, tapi ingin menyampaikan mesej, bahawa Dia punyai ketersusunan yang sangat detail dan ilmu yang sangat luas. Ia juga menunjukkan proses berperingkat adalah salah satu ciri-ciri alam yang tidak boleh disangkal.

Jika kita memahami dakwah Allah ini dengan kefahaman yang sejahtera, maka kita perlu faham bahawa dalam dakwah ini juga ada peringkat-peringkatnya. Dalam mencapai tsiqah ada peringkatnya. Dalam memulakan dakwah ada juga peringkat-peringkatnya. Jika kita tidak mengetahui undang-undang alam atau fitrah dakwah Allah ini, maka takut-takut kita tersilap langkah dan mengundang bahaya yang lebih besar atas tindakan kita yang tergesa-gesa.

Al-Banna menyebut, barangsiapa yang mahu memetik buah sebelum masak, maka kami tidak bersamanya. Beliau juga menyebut, janganlah kamu melanggar undang-undang alam (sunnatullah), kerana ia sentiasa akan menang. Dengan pemahaman yang benar terhadap tadarrujiyatud dakwah (sifat dakwah yang berperingkat), maka langkah kita akan sentiasa tenang dan terpandu, dan tidak tergesa-gesa dalam menyampaikan maklumat pada orang yang jauh lagi jalannya untuk fahami perkara tersebut.

Saya sayang murabbi-murabbi saya kerana mereka mengajar saya prinsip ini. Mereka tidak pernah meminta untuk disayangi atau ditsiqahi atau dipatuhi atau apa-apa pun, mereka hanya mengajar saya berpegang pada prinsip-prinsip asasi ini, agar dengannya saya mampu berjalan dengan sejahtera dan merdeka dalam membuat keputusan-keputusan yang tepat,  dalam hidup saya sendiri, bukan hidup guru saya, bukan juga hidup orang lain tadi itu, atau hidup ibubapa saya, atau hidup sesiapa pun, tapi ... ia adalah untuk hidup saya. Sayalah yang bertanggungjawap atas pemilihan saya ini.

Terima kasih guru, kerana mengajarku erti kemerdekaan pada diri dalam perhambaanku pada Ilahi.

Indah sungguh dakwah itu, jika kita fahami tabiatnya yang sungguh menarik, dengan kefahaman fitrah yang sejahtera.

Wallahua'lam.

Wassalam.

6 Comments:

Blogger Ummu Suhaib said...

This comment has been removed by the author.

10:22 am  
Blogger Ummu Suhaib said...

This comment has been removed by the author.

10:25 am  
Blogger Ummu Suhaib said...

This comment has been removed by the author.

7:19 pm  
Blogger Ummu Suhaib said...

This comment has been removed by the author.

7:19 pm  
Blogger FahmiAA~ said...

Kerana Allah dan Rasulnya lebih kami sayangi....

10:24 pm  
Blogger almuqaddasah said...

sangat menarik.

moga allah memberi kekuatan kpd kita semua.

4:09 pm  

Post a Comment

<< Home