Alpha To Omega: In Categorizing People

Saturday, July 31, 2010

In Categorizing People


Salam.

Apa khabar ? Moga-moga sihat, insyaAllah.

----

How You See People

Manusia itu terlalu mulia jika ingin dibezakan dengan keturunan dan nasab, maka dengan itu Allah jadikan anak Nuh a.s tidak ikut serta bersama bapanya.

Manusia juga terlalu mulia jika mahu dikategorikan dengan harta benda, maka dengan itu Allah pilih Bilal b. Rabbah memeluk Islam terlebih dahulu berbanding beberapa sahabat yang kaya-raya.

Manusia juga terlalu mulia jika mahu dibeza-bezakan dari segi akal dan kecerdikan, maka sebab itu Allah pilih untuk meredhai para sahabat yang belum lagi nampak Islam itu gemilang, belum lagi ada ilmu tauhid, ilmu fiqh, ilmu hadis dan lain-lain, berbanding kita yang sudah terima ilmu yang bermacam-macam.

Kebiasaannya manusia melihat dan menilai mengikut apa yang zahirnya yang dirasakan itu mulia. Biasanya mereka akan nampak orang kaya lebih mulia daripada orang miskin, orang cerdik pandai lebih mulia daripada orang yang kurang cerdik, orang yang kuat dan gagah perkasa lebih mulia daripada orang yang sakit dan lemah.

Jika mizan atau timbangan kita menilai sesuatu perkara atas asas-asas yang saya sebutkan tadi, maka berjayalah jahiliyyah dalam mengkategorikan dan memecah-mecahkan saf muslimin. Ini kerana jiwa manusia cenderung untuk bersama dengan orang-orang yang dianggap sebagai mulia, seperti kuat, gagah, kaya, cerdik dan sebagainya. 

Kes ini jelas Allah rakamkan dalam surah Al-Fajr ;

"Adapun manusia itu jika Tuhannya mahu mengujinya, lalu dimuliakannya dan diberikan nikmat padanya, nescaya dia akan berkata : Tuhanku telah memuliakanku !"

"Adapun sekiranya Tuhannya menyempitkan rezekinya, nescaya dia akan berkata pula : Tuhanku telah menghinakanku !"

Ia jelas menunjukkan kayu ukur seorang manusia yang biasa, terhadap apa yang zahir untuk mengukur sesebuah kemuliaan. Kayu ukur itu sebenarnya adalah hawa nafsu yang hanya sukakan syahwat dan kesenangan sementara. Manusia yang berbeza-beza tidak akan mampu bersatupadu di atas asas yang berubah-ubah itu.

Islam datang, untuk menyelesaikan masalah manusia, dan memberi keamanan sejagat kepada dunia, seluruhnya. Ia datang menyelesaikan masalah manusia, pada mula-mula sekali dengan meletakkan mizan dan kayu ukur yang benar dan tepat, agar manusia boleh membuat keputusan yang tepat dan benar dalam segala perkara. 

Islam meletakkan wahyu dan iman sebagai kayu ukur yang tak pernah berubah, dan ia adalah asas kepada satu-satunya perubahan yang kekal dan mengufuk. Jika kita mahu membuat satu bangunan yang tinggi dan menjulang ke langit, sudah pasti tapaknya perlukan bahan binaan yang sangat kuat, dan tahan lama. 

Akidah dan iman merupakan satu asas yang tak pernah berubah dari zaman permulaan wahyu hingga hari akhirat. Dengannyalah Islam berkembang maju, dengannya dakwah tersebar ke seluruh pelusuk alam. Hanya dengan asas ini, Islam mampu bergerak, mampu mendapat pertolongan Allah, mampu menakluk dunia dan membawa seluruh manusia kepada Tuhannya.

"Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah orang yang paling bertaqwa" - Surah Al-Hujuraat

----

Saya tidak mahu mengulas terlalu panjang dalam bab ini, cumanya saya mahu agar pembaca memastikan agar mizan yang digunapakai dalam melihat sesuatu perkara menepati aspek-aspek yang Islam letak.

Dengan mizan iman, kita tak rasa tukang sapu sampah itu lebih hina daripada CEO Petronas, kita tak rasa pekerja tandas itu lebih hina daripada bos-bos syarikat, kita tak rasa orang baru dalam dakwah itu lebih hina daripada orang lama, kita tak rasa jemaah yang lewat timbul itu lebih hina daripada jemaah yang sudah lama timbul, dan macam-macam lagi.

Kenapa ?

Ini kerana mizan kita benar, iaitu iman. Iman itu letaknya pada jiwa-jiwa yang tidak dapat dilihat melainkan dengan amal yang dibuahkan olehnya. Pencuci tandas yang menepati waktu kerjanya dan menepati janjinya lebih baik daripada CEO yang melengah-lengahkan kerja dan tidak menepati janji. Tukang sapu sampah yang menjaga solat itu lebih baik daripada bos syarikat yang meninggalkan solat, dan begitulah yang lain-lain.

Rasulullah s.a.w dalam memperbaiki mizan manusia itu telah menyebut dalam hadis :

"Bukanlah orang yang kaya itu orang yang banyak harta, tetapi orang yang kaya adalah orang yang kaya jiwanya (berjiwa besar)"

"Bukanlah orang yang kuat itu orang yang gagah perkasa, tetapi orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan marah"

Banyak lagi hadis-hadis yang boleh dicari sendiri.

Pembahagian tugas pada orangnya 

Allah menjadikan kita dengan kesesuaian kita. Kita menjadi pelajar tidak bererti kita lebih mulia daripada peniaga pasar malam yang tidak mampu sambung pelajaran. Kita berjaya dalam peperiksaan tidak bererti kita lebih mulia daripada yang gagal. Penjaga tol itu tak semestinya lebih hina daripada empunya kereta Mercedes S Series. Begitulah seterusnya. 

Tetapi jika kita perhatikan ayat Allah dalam surah Az-Zukhruf :

"Dan kami tinggikan darjat sebahagian mereka dengan sebahagian yang supaya mereka boleh saling mempergunakan di antara satu sama lain, dan rahmat Tuhanmu itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan"

Dalam hadis Nabi s.a.w ;

"Setiap kamu dipermudahkan dengan apa yang diciptakan untuknya"

Allah jadikan kita semua pada tempatnya. Ketua tidak semestinya lebih mulia di sisi Allah daripada pengikutnya, ketua juga tak akan layak jadi ketua jika tiada pengikut. Watak tambahan tidak semestinya lebih hina daripada watak utama. Hakikatnya kita memang saling memerlukan. Tetapi apa yang Allah kira adalah pada iman kita dan apa yang kita dah lakukan sedaya upaya kita.

Saya hanya mahu kongsikan perkara ini saja, supaya kita boleh sama-sama hidup atas bumi ini dengan mizan dan timbangan yang betul. 

Akhirnya ..

Saya mahu bawa pembaca ke dunia baru yang indah. Dunia yang dipenuhi husnuzzon dan senyuman manis kepada semua. Dunia yang penuh lapang dada dan mudah bergaul dengan semua manusia. Dunia yang dipenuhi dengan penuh kasih sayang dan rahmat kepada manusia. Dunia yang tiada pandangan-pandangan yang jelik dan ejekan-ejekan kepada golongan bawahan. Dunia yang tiada rasa bongkak, ujub dan takabbur. Dunia yang aman damai, indah dan sejahtera. Dunia inilah yang pernah didiami oleh para sahabat dan tabien suatu ketika dahulu. Dunia persamaan manusia. Ia adalah dunia yang mahu dibawa oleh Islam itu sendiri, dan juga telah dibuktikan wujud suatu ketika dahulu .. 

Dunia yang akan membentuk tamadun manusia yang teragung berasaskan iman, yang akan diasaskan oleh kita bersama, atau generasi-generasi selepas kita.

Aku berharap agar aku menjadi dari kalangan mereka. Ayuh pegang tanganku .. kita berlari menuju kegemilangan itu.

p/s : Doakan diriku.

3 Comments:

Anonymous Anonymous said...

setelah membaca article ini, saya amat bersetuju dengan dunia yang ust perjuangkan kerana itulah dunia yang saya juga impikan.. dunia yang tidak menilai seseorng individu berdasarkan kekuatan atau kelemahan tetapi menerima seseorang individu dengan seadanaya.. dan yang membezakan kemuliaan diantara mereka adlh taqwa dan iman.
tetapi setelah lama berfikir, saya merasakan dunia yang saya impikan itu agak mustahil untuk dibina setelah saya berpijak pada realiti kehidupan kerana adanya pengaruh, nafsu,dan bisikan syaitan. apa pendapat ust, adakah dunia sebegini hanya wujud pada kata2 atau inilah dunia yang patut kita perjuangkan?

12:40 am  
Blogger Syamil Esa said...

salam kepada anonymous.

ahli falsafah terdahulu telah menyebut, "Mimpi semalam adalah realiti hari ini, mimpi hari ini adalah realiti pada esok hari". Ia juga telah dinukilkan oleh Imam Al-Banna dalam risalah "Kepada apa kita menyeru manusia".

saya merasakan ia tidak mustahil, bahkan ia pasti berlaku. ia sebenarnya adalah terjemahan kepada dunia yang diperintah oleh Islam. Apabila kalimah La Ilaha Illallah merupakan kalimah tertinggi di dunia ini. itulah isi kandungan perjuangan saya.

saya yakin lebih daripada 200%. mungkin persoalannya adalah pada 'bagaimana untuk ke situ ?'.

bagi perkara ini, saya simpulkan, mulakan untuk memperbaiki diri anda, dan mengajak orang lain. mulakan dari diri, kemudian bentuklah keluarga muslim yang memahami perjuangan ini, kemudian masyarakat, negara, empayar Islam sehinggalah Islam meluas tersebar ke seluruh dunia dan menjadi TUAN dan RUJUKAN kepada dunia.

itulah ciri-ciri Islam yang kurang dihayati oleh sebahagian umatnya, iaitu HARAKAH (bergerak) dan tersebar.

untuk detail, saya lebih suka untuk berbincang secara private dan berjumpa. email : as_lxix@yahoo.com

p/s : jika anda memahami jalan ini dengan jelas, pasti keraguan terhadap hakikat ini hilang.

wsalam war wabt

3:29 pm  
Anonymous Anonymous said...

salam ust,

your words full with inspiration.. keep it up! somehow my doubt seems lessen.. sama2 kita perjuangankan kalimah La Ilaha Illallah untuk membina dunia yang indah.

10:33 pm  

Post a Comment

<< Home