Alpha To Omega: Busyrayat Ramadhaniah

Thursday, August 12, 2010

Busyrayat Ramadhaniah


Salam.

Ramadhan Kareem. Wallahu akram.

Hari ini hari ke-2 Ramadhan. Masih belum terlambat, untuk merancang, melaksanakan perancangan, atau memuhasabah perancangan. Masih belum terlambat, untuk kita menjadi di antara orang-orang yang dilepaskan dari api neraka. Masih belum terlambat, untuk mencari Lailatul Qadr. Masih belum terlambat, untuk kita bersedia sebelum Jibril a.s datang bertamu pada malam itu.

Ya Allah jadikan kami di kalangan mereka. Ameen.

--

Hadiah Ramadhan .. agar aku tidak dikira penderhaka pada Pencipta

Tadi saya ada terima satu panggilan telefon direct dari Malaysia daripada Adak. Berita gembira. Adak, Pakngah + Makngah, dan Poklong akan menunaikan haji tahun ini insyaAllah. Mudah-mudahan diberikan kemudahan dan kesihatan untuk ke sana, dalam keadaan selamat dan sejahtera. 

7 Ogos baru-baru ini, salah seorang rakan seperjuangan saya yang paling rapat di Tanta, saudara Mohd Fuad Zaki bin Hisham (boleh panggil Fuad, boleh panggil Zaki, jangan panggil Hisham - trademark beliau ketika bertaaruf)Moga Allah merahmati perkahwinan yang mulia ini, dan menjadi satu qudwah bait muslim kepada keluarga dan masyarakat. 

Bukankah kita sangat-sangat perlu kepada qudwah ? Untuk tunjukkan masyarakat bagaimana dakwah kita ini mampu menyelesaikan masalah umat ? Untuk tunjukkan masyarakat bahawa dakwah kita ini dakwah fitrah ? Untuk tunjukkan masyarakat bahawa kita memahami pernikahan dan perkahwinan sebegini yang diajar dan ditunjukki oleh Rasulullah s.a.w ? Untuk tunjukkan pada ibubapa bahawa rijal-rijal yang memahami dakwah sudah sampai masanya untuk berkahwin dan merancakkan lagi medan dakwah yang lebih luas ... dan panjang.

29 Julai baru-baru ini, Muawwidz Al-Ansori bin Dzulkefly, telah selamat berkahwin dengan pasangannya yang belajar di Morocco. Muawwidz merupakan salah seorang kawan lama yang sangat rapat sejak sekolah menengah. Moga-moga perkahwinan ini dapat menjadi asbab redha Allah pada kedua mempelai dan kita semua. Moga ia juga menjadi bait muslim qudwah, kepada yang belum berkahwin dan juga yang sudah berkahwin.

Barakallahu lakuma, wa baraka alaikuma wa jama'a bainakuma fi kulli kheir.

Untuk gambar, silalah tengok facebook masing-masing.

"Alamak Syamil, tak bukak facebook ke ?? Orang sekarang ini semua pakai facebook. Kita boleh tengok mad'u, boleh jumpa kawan lama, boleh tengok family dan sebagainya. Ketinggalan nanti kalau tak buka akaun fb."

Secara peribadi saya tak tahu nak jawap macam mana. Buat masa ini, biarlah Allah tolong jawapkan. Bila hati sudah tenang, dan sudah bersedia, saya akan fikirkan. Mungkin dalam ujian fb ini, anda berjaya, dan mungkin saya tidak mampu.

--

Saya gembira bila dapat berita gembira. Bila kita gembira kita senang nak buat macam-macam kerja. Kita ada booster dan semangat yang menjadikan kita laju dan cepat serta tekun dalam buat satu-satu kerja.

Sebab itu bila tiba bulan Ramadhan, sungguh banyak berita gembira (atau dalam bahasa Arab = Busyra, dijamakkan jadi Busyrayat) yang Allah beri pada kita.

Ia mungkin berupa ; syaitan diikat, atau pintu syurga dibuka kesemuanya, atau pintu neraka tertutup kesemuanya, atau ganjaran sunat seperti fardhu dan fardhu digandakan 70 kali ganda, atau setiap malam akan ada orang-orang yang dicop pelepasan dari api neraka atau terdapat padanya ganjaran yang menghapuskan segala dosa yang telah lalu atau dan atau-atau yang lain...

Dengan bermacam-macam busyrayat yang Allah bagi pada umat Muhammad s.a.w, baru kita boleh fahami, bagaimana Badar Kubra boleh berlaku, bagaimana Fathu Mekkah boleh berlaku, bagaiamana umat Islam menggali parit Khandaq (mereka gali pada bulan Ramadhan, tapi perang pada bulan Syawal), bagaimana peperangan Hittin yang dipimpin Salahuddin Al-Ayyubi boleh menawan Baitul Maqdis, bagaimana Saifuddin Qutuz mengalahkan Tatar di Ain Jalut dan macam-macam lagi peristiwa umat Islam yang sangat agung, berlaku pada bulan Ramadhan.

Tak mustahil segala keajaiban di atas boleh berlaku, ketika mana ruhaniyat (jiwa rohani dalaman) umat Islam dalam keadaan yang paling tinggi dan paling termotivasi. Subhanallah.

--

Bila kita renung sejarah, kita dapat tahu betapa hebatnya kegemilangan umat Islam, suatu ketika dahulu. Tapi bila kita tengok diri kita, dengan bermacam-macam dosa yang tak habis pen untuk ditulis ... rupanya di mana kekurangannya ?

Rupanya pada iman kita yang telah terbius untuk tidur. Iman kita tidak bergetar dengan kehadiran Ramadhan kali ini. Iman kita tidak mampu menolak kita untuk menghayati bacaan Al-Quran. Iman kita belum mampu menitiskan air mata kita pada solat tahajjud dan solat taubat. Iman kita tidak mampu menolak kita iltizam dengan terawih dan sedekah. Iman kita belum boleh untuk menolak kita mencapai tahap puasa Khusus Al-Khusus (iaitu menjaga lintasan hati daripada perkara mungkar).

Kita tidak sedarpun Allah memberi berita gembira pada kita untuk kita berubah ? Untuk kita menjadi lebih baik ? Untuk kita sedari peranan sebenar kita sebagai seorang hamba dan khalifah ?

Kita tidak hargai sedikitpun berita gembira Allah ini ... 

"Sesungguhnya Allah menghulurkan tangannya pada waktu malam untuk menerima taubat pesalah pada waktu siang, dan Dia menghulurkan tangannya pada waktu siang untuk menerima taubat pesalah pada waktu malam" - Hadith

Menghulur dan menerima sangat berbeza. Menghulur ini meminta dan memulakan. Menerima ini hanya menunggu dan kaku. Allah seolah-olah mencari-cari dan menanti-nanti, mana satukah hamba-Nya yang nak kembali ??

Masakan tidak cukup kita rasakan betapa Allah benar-benar mahukan kita kembali ??

Seorang raja tidak perlu memberikan banyak hadiah-hadiah dan kurniaan daripadanya, sekiranya dia tahu rakyatnya sudah cukup berpada dengan satu kurniaan, untuk menyahut seruannya.

Tetapi sekiranya raja itu ada menawarkan beberapa kurniaan untuk dipilih atau diambil kesemuanya, apa maksudnya itu ? Maksudnya, raja itu sangat prihatin dan serius, untuk rakyatnya betul-betul menyahut seruannya, sehingga beliau memberi pilihan yang sangat banyak ..  asalkan rakyatnya mahu ikut seruannya. Ia juga menandakan rakyatnya sangat memilih dan sombong untuk terima satu-satu hadiah tersebut, sampaikan raja perlu sediakan banyak sangat pilihan.

"Ha .. pilihlah mana satu yang kau mahu (asalkan engkau mahu mengikut seruanku)" 

Tapi apa agaknya reaksi raja itu .. kalau seorang rakyatnya pun (yang memang komfem lagi miskin dan papa kedana dan memang memerlukan hadiah daripada raja tersebut) tidak mahu menyahut seruannya dan tidak mengendahkan hadiah-hadiah raja itu serta meninggalkan istananya dalam keadaan sombong ? Mungkin-mungkin dia dipenggal atau dibuang negara.

Itu cuma raja yang berupa manusia. Cuba bayangkan raja segala raja, Tuhan Semesta Alam. Pastinya lebih dahsyat lagi. Tidak hairanlah Rasulullah s.a.w pernah menyebut ;

"Celaka dan rugilah, sesiapa yang berlalu padanya Ramadhan, tapi tidak diampunkan dosanya"

---

p/s : Bila buat post ini baru faham kenapa kita selalu cakap Ramadhan Kareem (pemurah) dan Wallahu Akram (maha pemurah@mulia). Ramadhan sudah cukup bawa banyak hadiah, tetapi hakikatnya hadiah yang Allah sediakan berjuta-juta kali lagi banyak.

Ambillah, kutiplah, carilah, seberapa banyak hadiah Allah pada bulan ini untuk kita iltizam menjadi hamba-Nya yang sebenar-benarnya, hidup dengan sebenar-benar kehidupan yang layak untuk-Nya. Allah sudah sediakan segalanya pada bulan ini. Jika kita tak suka hadiah A, kita boleh pilih hadiah B, jika itu pun tak suka .. kita ada hadiah C.. jika itu pun tak suka.. hadiah D ..... 

Persoalannya .. siapakah kita untuk begitu memilih di hadapan Pencipta kita yang tak pernah berkira-kira dengan kita dalam memberikan nikmat-Nya ?

Tak malu ?

Aku malu pada-Mu, ya Allah.

--

Rinduku terubat dengan kehadiran hadiah Ramadhan ini,

Walaupun tak mampu mencipta peristiwa sehebat Qutuz dan Al-Ayyubi,

Paling tidak ia suatu peluang agar aku mencipta salah satu daripada sejarah diri,

Iaitu titik di mana aku menjadi seorang insan yang sejati,

Yang fahami erti sebenar perhambaan pada Ilahi.

--

Ahlan wa sahlan .. Ya Ramadhan

1 Comments:

Blogger kasihsyahadah (hamba dhaif) said...

barakallahu fiika ya akhi..
wa ballaghaka aqsha ma tatamannaahu..
la tansaanaa ya akhi min solihi dua'ikum..jazakallah.

11:14 am  

Post a Comment

<< Home