Alpha To Omega: Pandang ke langit

Friday, December 31, 2010

Pandang ke langit


Salam.

Kif hal ? Semoga semuanya sihat, alhamdulillah.

Selamat menempuh musim peperiksaan Fasa Satu. Sedang berehat sebentar selepas habiskan pembacaan kali pertama Adab & Balaghah. Selepas ini subjek Qawaid Fiqhiah menyusul. MasyaAllah. Moga Allah permudahkan untuk belajar.

Motto saya kali ini : Istisyhaduna Al-Imtiyaz (Mati Syahid Kita adalah Imtiyaz - mendapat Mumtaz)

Mereka di tanah Islam yang terjajah berjuang dan ganjaran tertinggi bagi mereka adalah Istisyhad dengan mati di medan peperangan, kita di posisi sebagai pelajar Islam, seharunya menjadikan kayu ukur Istisyhad kita pada Imtiyaznya kita dalam peperiksaan. 

Bukan apa, ia cuma sekadar iqtibas (pengambilan petunjuk) dari perjalanan mujahidin dan pejuang Islam yang berperang melawan kuffar di tanah-tanah Islam yang dizalimi dan dirampas. Ia juga salah satu cara membesarkan niat kita dalam belajar. Seperti kata-kata Abdullah b. Mubarak yang telah dinaqalkan oleh Abu Ammar dalam Ar-Raqaiq ;

"Boleh jadi amal yang kecil itu menjadi besar kerana niat, dan boleh jadi amal yang besar itu menjadi kecil kerana niat"

Baik, saya tak berniat nak terangkan panjang-panjang mengenai niat. InsyaAllah semua sudah arif lagi bijaksana. 

--

Towards the sky

Bila saya melihat ke langit, saya terasa sebuah ketenangan yang sangat mendalam. Ia adalah perasaan keterikatan ruh dengan tempat yang asalnya diciptakan. Sebuah perasaan yang menggambarkan kejernihan rohani dan kebersihan hati. Suatu gambaran indah yang melambangkan ketinggian nilai dan keutuhan sebuah keagungan. Apa pun, ia hanyalah sebahagian dari kerajaan Allah, Tuhan Pemilik Arasy.

Berbeza bila kita lihat ke tanah, ia melambangkan suatu tempat yang selalu dipijak-dipijak. Tempat yang hina. Asalnya kita ini hina, lalu kita dimuliakan daripada makhluk lain dengan roh yang Allah beri, kemudian roh itu juga boleh menjadikan manusia lebih hina daripada makhluk lain, jika kita tidak saluti ia dengan iman dan amal soleh. Itulah yang ditunjukkan dalam surah At-Tin yang banyak membetulkan persepsi kita terhadap ketinggian nilai iman dan amal soleh dalam neraca hakikat nilai manusia berbanding makhluk lain.

Saya suka untuk lihat ke langit. Ia menggambarkan sifat kesungguhan, sifat keazaman yang tinggi, semangat yang membara, harapan yang agung, dan hati yang ikhlas. 

Bagi saya, orang yang memilih untuk 'ke langit' adalah orang-orang yang benar imannya dan benar kesungguhannya dalam hidup. Orang yang pilih untuk menuju 'ke langit' akan lihat di hadapan mereka berbagai kesusahan. Ia mungkin nampak, gunung yang perlu didaki, atau tangga beribu tingkat yang perlu dilangkah, atau tali yang panjang yang perlu dipaut dan dipanjat. Ini tidak masuk lagi kiraan tekanan graviti yang kuat, kandungan oksigen yang kurang di puncak, dan juga bekalan yang sedikit.

Orang yang memilih untuk memandang tanah, mereka adalah orang-orang biasa. Di hadapan mereka ada jalan yang rata dan mendatar. Mereka tidak perlu mendaki dan tidak perlu bersusah payah melawan graviti. Mereka bahagia hidup dengan perkara-perkara kebanyakan orang lakukan, rutin harian dan remeh temeh. Untuk melawan habit mereka sendiri, sungguh jauh sekali. 

Melihat hidupan yang ada di langit, memang kita tak akan nampak banyak. Ia hanyalah berupa burung-burung atau awan-awan, bulan dan bintang, serta matahari. Berbanding dengan hidupan yang ada atas tanah, ia tak mampu ditulis dan dicatat kerana banyaknya hidupan dan berjenis-jenis bentuk benda yang ada.

Satu kesimpulan awal yang saya cuba buat, mungkin ramai yang mampu untuk 'suka' untuk pandang ke langit, namun untuk 'menuju' ke arah kehidupan yang serba susah, ia satu persoalan yang lain.

Sepanjang hidup saya, saya dapati hanya manusia-manusia yang mahukan ketinggian sahaja yang membangunkan dunia. Hanya mereka yang punyai dasar yang tinggi sahaja yang telah mengajar tamadun manusia, cara hidup mereka, yang sebenar. Hidup mereka diisi dengan penat lelah dan keringat peluh. Tangisan dan perasaan sedih yang hanya diketahui oleh teman rapat atau rakan seperjuangan, serta doa rayuan yang hanya diketahui oleh Allah, itulah yang menjadikan hidup mereka tinggi. Mereka ada misi yang rabbani.

Kata-kata mereka bukan semata-mata bersumber dari buku-buku yang berjela-jela, bukan juga dari artikel-artikel ilmiah yang terdapat dalam jurnal-jurnal dan tesis-tesis, tetapi ia adalah sebuah roh yang mengalir ke dalam jiwa pendengarnya. Ia adalah roh yang deras, menembusi hati pendengarnya dan membangkitkan perasaan dan jiwa-jiwa manusia di sekelilingnya. 

Saya sangat meng-idola-kan insan-insan seperti mereka. Saya suka dengan orang yang penat, orang yang tak cukup masa, dan orang yang tak sempat memikirkan perkara-perkara kecil. Saya suka lihat gelagat mereka, kerana sekali mereka bergerak, seribu makna terpapar dan tergambar mengesani manusia. Sekali mereka bercakap, sejuta roh mampu tergugah.

Salah seorang yang sangat saya minati telah berkata ketika menceritakan mengenai seorang idola saya (Hasan Al-Banna) dalam mengenangi kematiannya ;

"Sesungguhnya perkataan-perkataan kita hanyalah umpama anak patung, sehinggalah apabila kita mati kerananya, pada ketika itu akan tertiup roh pada anak patung tersebut, dan ia akan hidup" - Dirasat Islamiah, Syed Qutb

Selepas itu, Syed Qutb pula digantung, lalu membuktikan kenyataannya sendiri. Benar sekali, tulisan-tulisannya telah menghidupkan berapa banyak jiwa para duat, telah membetulkan berapa banyak tasawwur Islami yang salah, dan telah membangkitkan berapa banyak roh-roh umat yang telah mati. 

Benarlah kata-kata Allah ;

"Jangan sekali-kali kamu menyangka orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup tetapi kamu tidak menyedarinya" - surah Al-Baqarah

Dalam tarbiyyah (pembentukan jatidiri), saya lebih cenderung untuk memilih mazhab yang keras. Keputusan yang keras dan jitu. Namun ia tidak bermaksud jumud dan kaku, tapi ia menjamin ketulenan dakwah dan keasliannya. Ia sekadar mengambil qudwah daripada Syeikh Abd Qadir Al-Kailani tatkala beliau berkata ;

"Janganlah engkau takut daripada kekerasan kata-kataku, ketahuilah sesungguhnya tiada apa yang mendidikku melainkan ketegasanku dengan agama Allah ini" - dinukilkan oleh Abu Ammar dalam Al-Awaiq

Ia juga adalah keseriusan yang ditunjukkan oleh Al-Banna tatkala beliau berkata ;

"Sesungguhnya medan peperangan kita adalah peperangan tarbiyyah (membina manusia)"

Bahkan, ia juga telah ditunjukkan sendiri oleh Al-Quran tatkala Talut telah menolak tenteranya yang telah meminum air lebih dari secedok tangan untuk bersamanya melawan tentera Jalut. Hasilnya, mereka memperoleh kemenangan yang besar diikuti keagungan Islam yang diterajui Nabi Daud A.S sebagai seorang raja di Palestin.

Saya teringat peristiwa ketika adik kepada Asy-Syahid Syed Qutb memintanya untuk menandatangani surat pengakuan untuk menarik balik penulisan-penulisan beliau yang sensitif dan menyentuh isu kerajaan, namun beliau dengan lantang menyebut ;

"Sesungguhnya jari yang menuding kalimah La Ilaha Illallah (ketika tasyahhud) tidak mampu untuk menyokong kezaliman"

Saya juga sering teringat bait-bait syair yang dikarangnya ketika dalam penjara (bertajuk Akhi Anta Hurr - Saudaraku Engkau ini Merdeka) ;

"Saudaraku, engkau bebas daripada jeriji besi,

Saudaraku, engkau bebas daripada gari-gari itu,

Sekiranya engkau berpegang teguh dengan Allah,

Pasti engkau tidak akan diperdayakan oleh tipu daya hamba"


dan antara rangkap yang menggugah jiwa ;

"Saudaraku, sekiranya kami mati kami akan bertemu dengan kekasih-kekasih kami,

Dan taman Tuhanku tersedia untuk kami,

Serta burung-burungnya terbang di sekeliling kami,

Maka bergembiralah bagi kami untuk tinggal di negeri abadi ini"


dan pada rangkap terakhir ;

"Aku tahu akan diseksa tapi tak mengapa kerana ia adalah untuk Tuhan dan agama,

Dan aku akan terus berjalan di atas jalanku dengan keyakinan ini,

Maka ia (jalan ini) sama ada menuju sebuah kemenangan ke atas semua manusia,

Ataupun ia menuju kepada Allah, bersama orang-orang yang kekal (di dalam syurga)"

Semoga Allah merahmati roh Syed Qutb, dan para mujahidin yang berjuang menegakkan risalah Islam. 

--

Begitulah yang saya ingin coretkan. Sebuah bentuk kehidupan yang jauh daripada kesenangan dan perkara-perkara kecil. Jauh sekali daripada mengejar dunia dan harta benda.

Ia tidak lain hanyalah sebuah siri-siri kehidupan, yang mengajar kita erti sebenar sebuah ketinggian.

Hidup kita pula bagaimana ?

Wallahua'lam.

2 Comments:

Anonymous fuad zaki said...

MANTAP, UST SYAMIL kita tu..=)
bila rindu suara enta, ana tgk video yang enta bagi.he..
cumanya mil..bagus juga la pandang tanah2 ni. bila ana tgk tanah, teringat akan kematian..
dari tanah kita dijadikan, di dalam tanah juga kita dikebumikan..
Allahummaakhtim lana bi husnil khotimah..amin..

4:17 pm  
Blogger Syamil Esa said...

Salam us Fuad.
Syukran atas peringatan yang baik.

Ya memang kita kena selalu melihat tempat kita akan kembali dan kita diciptakan pun dari tanah. Allah jadikan tanah untuk dipijak dan supaya kita sentiasa muhasabah kelemahan diri sendiri.

Teringat juga masa ziarah kubur bersama ikhwah Tanta di Kafr Isom.

10:50 pm  

Post a Comment

<< Home