Alpha To Omega: catatan di hari evakuasi 2

Sunday, February 06, 2011

catatan di hari evakuasi 2


Assalamualaikum war wabt.

Apa khabar ? Alhamdulillah keadaan saya stabil. Kini di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah, atau Asrama Rumah Melayu Abbasiyah, di Kaherah. Sedang menunggu giliran untuk ke airport dan ke Jeddah. Rabbuna yusahhil.

Setakat ini, Hosni Mubarak hanya letak jawatan sebagai Presiden Parti Demokratik. Moga beliau turun dengan segera, banyak pengislahan boleh dibuat, banyak kebaikan yang boleh dibawa ... walaupun ia bukanlah satu-satunya jalan untuk menjayakan fikrah Ikhwan di bumi Mesir ini.

Sambungan catatan saya, sekadar khawatir (lintasan hati) ketika saya di Tanta, 2 Feb lalu.

---

Coretan kematian

Assalamualaikum. Moga semua sihat sejahtera. 

Alhamdulillah kini masuk hari kelima rasanya tidak ada connection internet. Harapan untuk berblog dan meng-update perkembangan semasa belum lagi tercapai.

Tadi dapat maklumat bahawa semua pelajar M’sia akan dihantar ke Jeddah, Arab Saudi dalam tempoh seminggu. Dimulai dengan pelajar di Kaherah, kemudian baru pelajar-pelajar di muhafazah (negeri) lain. Rasanya mungkin Tanta yang terakhir.

Alhamdulillah ala kulli haal.

--

Mati di bumi As-Sakeenah

Igauan, dan lintasan. Kerap kali terlintas yang saya sering dihendap malaikat maut untuk menjemput saya pada bila-bila masa. Alhamdulillah, saya telah menulis wasiat dan melangsaikan segala hutang piutang kepada semua orang, setakat yang saya ingat. Kalau anda ada hak ke atas saya yang belum saya tunaikan, sila minta segera. Jika saya sudah tiada, minta wali saya langsaikan. Maaf banyak-banyak atas kecuaian peribadi.

Kematian merupakan satu perkara yang menakutkan. Seolah-olah menuju ke satu alam ghaib yang tidak pernah kita lalui. Ia adalah alam barzakh, seperti mana kita kini di alam musyahadah (yang kita hidup sekarang), alam barzakh adalah juga satu bentuk kehidupan yang sangat jauh berbeza. Walaupun kita dibaham harimau atau dibakar hingga menjadi abu, kita tetap akan ke sana, dengan cara yang kita pun tak tahu bagaimana. Ibarat membuka satu pintu besar, menuju ke sebuah destinasi baru yang gelap, tanpa seorang teman dan kawan rapat. Diri sendiri saja, bertemankan amal soleh dunia.

Mimpi mengenai mati, sudah berapa kali. Tapi diri sendiri yang selalu tak sedar petanda Ilahi. Mungkin iman belum lagi terpasak mendasar di hati, ataupun mungkin didikan sekularis menjadikan aku hanya rasakan ia sebagai rutin har-hari, tak terasa dan tersentuh dek sanubari.

Sebelum ini aku pernah menulis mengenai manusia-manusia yang hidup matinya untuk dakwah, untuk perjuangan yang diperjuangkannya. Aku membawa contoh Syed Qutb dan Hasan Al-Banna, kerana ia antara yang hampir dengan zaman kita. Aku tak mahu mengulas bagaimana mereka mati. Aku cuma mengulas nilai mati mereka, di bumi perjuangan yang sungguh berharga.

Abu Ayyub Al-Ansori ketika berumur lebih 100 tahun (atau ada riwayat mengatakan 80 tahun) telah meninggal dunia ketika tentera Yazid b. Muawiyah menyerang Kota Konstantinopel. Kata-kata keramat beliau terpahat dalam sejarah umat hingga akhir zaman.

“Kuburkan aku di tempat yang paling hampir dengan Kota Konstantinopel, kerana aku mahu mendengar derapan kaki kuda tentera yang diberitakan oleh Rasulullah SAW yang akan membuka kota ini”

Lalu dikuburkanlah beliau di bumi itu, ya, di bumi perjuangan, semata-mata ingin membenarkan sabda baginda SAW ;

“Pasti akan terbuka Kota Konstantinopel, sebaik-baik panglima adalah panglima (yang mengetuai peperangan) itu, dan sebaik-baik tentera adalah tentera itu”

Kisah salafussoleh sungguh hebat. Tidak terlakar di dalam pemikiran orang kebiasaan. Ingin melakar sejarah yang agung, agungkan gaya hidup kita. Agungkan pemikiran kita, agungkan jiwa kita. Ya, pastinya agungkan iman dahulu sebelum semuanya.

“Extraordinary times demand extraordinary measures”

Aku pula ? Oh jauh sekali jika mahu dibandingkan dengan para sahabat RA, ataupun pejuang Islam yang sudah mewakafkan diri kepada jalan Allah.

Aku bercita-cita untuk mati di bumi yang penuh barakah.

Ketika aku di sekolah menengah, aku pernah berdoa agar aku dimatikan di bumi Palestin. Aku mahu mati sebagai syuhada’. Aku mahu pergi ke sana dan membebaskan kiblat pertama umat Islam. Aku mahu ke sana dan mengembalikan kegemilangan umat Islam. Aku mahu ke sana dan membiarkan generasi anak cucuku merasai keagungan Islam, dan sejarahnya yang gemilang.

Aku serik, diriku sejak kecil hidup dalam negara yang kurang Islamik. Walaupun keluargaku –alhamdulillah- keluarga yang mengamalkan nilai-nilai islam yang sempurna, namun suasana di Malaysia langsung membuatkanku risau memikirkan suasana anak bangsa dan generasi yang mendatang. Tidak perlu ku tunggu puluhan tahun, lihat saja Malaysiaku hari ini. Tanpa banyak cakap dan kalimah, kita boleh menilai sendiri.

Mesir.

Kali pertama aku jejaki tanahnya pada 30 Ogos 2007. Bumi yang paling banyak mengajarku, erti-erti dalam hidup ini. (Mungkin aku tak layak ungkapkan ia kerana umurku yang setahun jagung, namun aku mahu ungkapkan juga agar manusia tahu nilainya di sisi seorang budak hingusan). Mungkin kerana keberkatan para anbiya’ yang pernah duduk di Mesir suatu ketika dahulu, mungkin juga kerana keberkatan para ulama’ nya yang masih hidup hingga kini, atau mungkin juga kerana keberkatan para auliya’ nya yang juga seringkali disebut-sebut hingga kini.

Namun bagiku, berkat itu aku tak mahu komen.

Mungkin yang aku mahu ungkapkan, di bumi ini … telah mengajarku satu erti yang sangat tinggi nilainya. Itulah dia … sebuah ketenangan.

Iman itu tenang. Islam itu tenang. Jihad itu tenang. Dakwah itu tenang.

Ya, kerana yakin itulah yang menenangkan. Tapi tenangnya di mana ?

Bagiku, ia adalah pada ciri-ciri tarbiyyah yang Islam pakejkan. Islam yang aku fahami, yakini, imani.

Tarbiyyah yang mengajar kita untuk berundur selepas terlajak. Mara ke hadapan selepas beku dan kaku. Sejuk selepas panas. Kering selepas basah. Dan begitulah seterusnya, mungkin kurang difahami .. tapi ia dapat difahami dengan satu kalimah sahaja, iaitu ‘manusia’.

Interaksi kita sebenarnya adalah dengan jiwa manusia. Berbolak balik, sentiasa tidak stabil, perlukan perubahan, perlukan sokongan, anjakan dan perlukan momentum untuk bergerak.

Sebenarnya erti yang dalam itu Allah telah lama sebut dalam Al-Quran, bahkan Allah telah menyalurkannya pada tempat yang paling layak untuknya. Tempat kembalinya, dan maksud di sebalik penciptaannya, iaitu ubudiyyah kepada Sang Pencipta.  Selepas Allah menyebut nikmat-nikmat syurga dalam surah Al-Mutaffifin, Allah menyambung dengan satu seruan manusiawi ;

“Dan kerana itu, maka hendaklah berlumba-lumba orang yang berlumba-lumba”

Jiwa yang bergolak dan berkocak, perlukan halatuju yang pasti dan jelas. Jika tidak ia ibarat seseorang yang berlari menuju gaung yang dalam. Erti itu juga Allah telah sebutkan dalam surah Al-Maarij ;

“Sesungguhnya manusia diciptakan dalam keadaan keluh kesah. Apabila ditimpa keburukan dia merungut, dan apabila ditimpa kebaikan dia kedekut”

Namun Allah bukan sahaja menyebut hakikat jiwa manusia, bahkan Allah juga menyebut hakikat ‘tarbawiyyatul Islam’ (ciri-ciri pendidikan yang ada dalam Islam) yang akan membentuk jiwa manusia dengan bentukan yang ‘benar’ dan ‘tulen’. Allah lantas membuat pengecualian ;

“Kecuali orang-orang yang menunaikan solat. Mereka yang kerapkali menunaikan solatnya. Mereka orang yang pada harta mereka ada hak-hak tertentu, bagi orang-orang yang meminta dan golongan yang miskin.”

Sekali pandang, ia adalah fardhu yang telah Allah wajibkan kepada kita semua. Pandang sekali lagi, ia rupanya adalah penyelesaian kepada masalah sosial. Pandang kali ketiga, ia sebenarnya sebuah sistem pendidikan manusia, untuk menuju ke arah makna kemanusiaan yang sebenarnya. Sebuah sistem rabbani yang memberikan satu erti ketenangan yang menolak keluh-kesah, merungut, dan kedekut.

Sungguh. Itu adalah antara erti-erti yang mengajarku erti sebenar deen ini. Pandangan universal dan kesempurnaan Islam yang jitu itulah yang akhirnya akan membawa agama ini ke tempatnya semula. Setinggi-tinggi langit untuk dijunjung kalimah La Ilaha Illallah di atasnya.

“Bukanlah iman itu dengan angan-angan, juga bukan dengan perhiasan luaran, tetapi ia adalah apa yang tenteram di hati, dan dibenarkan dengan amal” - hadis

Ada setengah manusia yang duduk dalam jemaah tarbiyyah, sentiasa merungut dan meletakkan pandangan-pandangannya untuk mengislah qiyadah dan keputusan-keputusan syura jemaah. Alasannya kita perlu lebih komprehensif dan inovatif. Kita perlu selari dengan massa dan tidak ketinggalan dengan zaman semasa. Kelambatannya dalam tarbiyyah dialasankan dengan kelemahan murabbi dan suasana tarbiyyah yang kurang optimum.

Aku punya sifir lain. Ya aku memang tidak langsung menafikan cadangan bernas daripada ahli dan rungutan-rungutan yang aku dengari (walaupun aku bukanlah orang atasan). Namun kamusku mengajar untuk melihat diri sendiri, meneroka jiwa sendiri dalam memahami iradat Ilahiyyah (kemahuan ketuhanan) terhadap apa yang berlaku dalam setiap hari yang aku lalui. Bagi aku seorang rijal tidak boleh terlalu banyak merungut dan terlalu kerap membuat pembaharuan. Reformasi sana sini, tapi projek dakwah peribadi pun belum mula lagi. Bunyi kuat, amal tak buat. Borak pandai, idea pelbagai, tapi jiwa sendiri belum boleh pakai.

Mungkin agak kasar, namun ia perlu diingatkan untuk menjaga ketulenan erti setia dan taat kepada fikrah dan perjuangan yang selama ini aku lalui dan tempuhi. Seorang pengikut yang banyak merungut perlu sepatutnya memuhasabah dahulu dirinya, melihat kembali rukun taat dan mentajdid kembali baiatnya dengan Allah atas jalan hidupnya yang dia yakini. Selepas lalui proses itu, baru ia ‘layak’ untuk memberikan pandangan yang ‘layak’ dikira dan diambil serta bernilai oleh qiyadah jemaah. Kerana selagi belum lalui proses itu, ia mungkin boleh dikatakan satu pandangan atas angin yang tiada asas yang kukuh. Seolah-olah membina bangunan di atas debu-debu yang berterbangan. Nampak macam hebat, namun hakikatnya hanya membuang masa dan keringat.

Tarbiyyah itu adalah, anda merasakan bahawa diri anda sentiasa perlu meningkat, walau apapun kedudukan anda. Anda merasakan bahawa diri anda sentiasa tidak cukup. Anda tidak akan berasa puas dengan kedudukan anda di sisi Allah. Bahkan, anda sentiasa mencari-cari titik kelemahan diri sendiri, agar langkah anda menuju Allah lebih laju dan cepat.

“Dan orang-orang yang berlumba-lumba, mereka itulah orang yang hampir (dengan Allah)” – surah Al-Waqiah

Hakikatnya … kita perlu berlari, untuk lebih dekat dengan Dia.

Aku mahu … agar matiku di bumi ini, menjadi salah satu bukti penyaksianku terhadap perjuangan ini, juga bukti ketenangan sakeenah yang aku perolehi daripada tarbiyyah rabbaniyah ini. Moga Allah menyeru ku satu hari nanti dengan panggilan ;

“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Masuklah ke dalam badan hamba-Ku, dan masuklah engkau ke dalam syurga-Ku” – Al-Fajr

ASME

2 Februari 2011

1 Comments:

Blogger Meor M. Azim said...

Allaahu Akbar~! semoga aku bermula sentiasa... :D

12:15 am  

Post a Comment

<< Home