Alpha To Omega: Ideologi Langit untuk Bumi

Tuesday, March 08, 2011

Ideologi Langit untuk Bumi


Salam.

Kif hal ? Apa khabar ? Moga semua sihat sentiasa.
Alhamdulillah, hampir sebulan lebih saya sudah berada di Malaysia.
InsyaAllah ke Mesir dalam masa terdekat, tarikh yang dijadualkan adalah 19 Mac. Mungkin akan ada perubahan-perubahan tertentu. Wallahul musta'an.

Sudah lebih sebulan tak mencoret beberapa perkongsian di blog. Mungkin kerana facebook. InsyaAllah, cuba imbangi kedua-duanya. Berikan komitmen sesuai dengan saiznya.

p/s : Post ini agak berat. Mungkin kena baca 2-3 kali baru faham. Kalau tak faham boleh comment dan saya cuba terangkan.

Membumikan Ideologi Langit

Saya pernah sebut sebelum ini mengenai jenis-jenis perjuangan dalam hidup manusia. Seseorang itu sanggup berkorban jiwa dan raga hanya kerana mahukan pangkat dan jawatan atau wanita. Seorang yang lain pula sanggup berkorban segalanya hanya kerana mahu untuk tidur bertilamkan harta dan wang. Seorang lagi pula sanggup mengorbankan masa mudanya hanya kerana melayan nafsu mudanya yang tak akan habis.

Pastinya, orang yang paling besar adalah orang yang memperjuangkan prinsip/ideologi yang diyakininya betul dan mempertahankan identiti mereka, untuk wujud di bumi ini. Saya belum masukkan lagi nilai-nilai 'akidah' dalam pengkategorian ini. Ia adalah satu permulaan bagi kita mengkelaskan sendiri, di mana kedudukan kita, di alam manusia ini.

Saya berpandangan, bahawa kelas manusia teratas (tanpa mengira aspek akidah) adalah manusia yang hidup untuk perjuangkan ideologi yang beliau yakini. Dengan mendalamnya keimanan seseorang terhadap sesebuah ideologi itu, maka segalanya akan sanggup dikorbankan bagi menjayakan/meninggikan kedudukan ideologinya di muka bumi ini.

Saya juga berpandangan, bahawa kelas manusia terbawah adalah mereka yang hidup untuk diri sendiri, kepentingan diri sendiri, tanpa sebarang agenda dan misi yang besar untuk diperjuangkan dalam hidupnya. Ia mungkin berkisar mencari kasih sayang seorang wanita, mencari sebanyak mungkin duit dan harta atau ingin popular di mata manusia.

Manusia kelas pertengahan pula adalah mereka yang hidup untuk orang lain, suka tengok orang lain bahagia, suka tolong orang lain dan suka bantu orang lain. Tak kisah diri rasa susah, yang penting orang lain senang. Ya, mereka adalah orang yang baik semestinya.

Orang kelas teratas boleh jadi jahat boleh jadi baik (dari aspek luaran). Orang kelas terbawah adalah orang yang memikirkan kepentingan peribadi sahaja, maka sila kategorikan sendiri dia baik atau jahat.

Kalau nak ikut bilangan pula, ia seperti piramid. Yang paling atas adalah yang paling sikit, dan yang paling bawah adalah yang paling banyak. Biasanya yang paling atas adalah pemimpin, dan di bawahnya sesuai untuk jadi pengikut.

--

Islam yang saya fahami adalah Islam yang agung, yang hanya mampu dipimpin oleh orang-orang yang agung. Islam itu agung kerana ia adalah sesuatu agama yang Allah pilih untuk dipraktikkan dalam hidup manusia.

"Celupan Allah, dan siapakah lagi yang lebih baik celupannya berbanding Dia ?" - Surah Al-Baqarah

"Sesungguhnya Deen di sisi Allah adalah Islam" - Surah Ali Imran

Islam adalah sesuatu yang sangat suci, datang dari Pencipta alam ini. Bila ia suci, tidak bermakna ia tidak layak untuk dipraktikkan di atas muka bumi ini. Bahkan ia adalah agama untuk manusia. Sebab itu Allah utuskan rasul di kalangan manusia, untuk mengajar manusia cara hidup mereka sebenar yang diredhai Pencipta mereka.

Islam yang saya fahami juga adalah sebuah akidah yang perlu dipertahankan dan diperjuangkan. Kata kunci "Tiada tuhan selain Allah" itu menjelaskan segala makna yang terkandung dalam perjuangan akidah ini. Ia juga adalah mesej yang jelas dalam surah Al-Fath :

"Dialah yang mengutuskan rasul-Nya dengan hidayah dan deen yang benar, untuk memenangkan deen itu (Islam) di atas segala agama yang lain, dan cukuplah Allah sebagai saksi" - Surah Al-Fath

Seorang muslim perlu memahami hakikat agama ini, supaya akidah Islam yang difahami tidak terseleweng dan hanya menganggap Islam adalah agama adat istiadat dan hukum-hakam yang digunakan ketika perkahwinan dan kematian.

Ia adalah lebih dari itu. Ia adalah sebuah jalan perjuangan yang panjang, dalam memberikan dunia ini kepada Tuannya, dengan memberikan hak pentadbiran alam ini kepada Allah SWT. Dengan menjadikan Islam sebagai peneraju dunia, mengatasi agama-agama lain.

---

Dua aspek utama yang telah saya sebutkan secara ringkas tadi mungkin dapat memberikan gambaran umum terhadap dua perkara yang saya ringkaskan sebagai :

1. Manusia mempunyai tahap jatidiri/jiwa tersendiri tanpa menilai mengikut kefahaman agama.
2. Islam adalah suatu fikrah dan akidah yang diperjuangkan, bukan sekadar hukum-hakam zahir yang digunakan pada sekali dua.

Saya mahu rungkaikan point ketiga, iaitu, sesiapa yang berada di kelas pertengahan dan kelas bawahan, biasanya akan mengikut/terikut/terjebak dalam agenda kelas teratas.

Ini kerana tabiat orang teratas adalah merancang, menyusun strategi, punyai agenda tersendiri, dan tidak terpengaruh dengan harta dan pangkat serta wanita. Mereka beriman dengan prinsip, dan sanggup gadaikan apa saja untuk prinsip/ideologi itu.

Hasil yang kita dapat lihat mungkin menyedihkan, iaitu orang-orang Islam yang baik-baik tadi itu, sekiranya tidak memahami selok-belok dan taktik orang bukan Islam, pasti akan terjebak dalam agenda dan perancangan pihak kafir/bukan Islam. Dalam masa yang sama, ia menguntungkan projek pihak kafir tanpa perlu menjadi murtad. Dalam masa yang sama juga, ia merugikan projek Islam, walaupun dia adalah seorang yang muslim yang menganut Islam.

Apabila kita memahami bahawa tabiat agama ini adalah sebuah ideologi yang perlu diperjuangkan dan dipertahankan, kita kini dalam keadaan yang sangat tenat apabila umat Islam sendiri tidak memahami mereka dipergunakan dan diperkotak-katikkan oleh musuh, kerana mereka tidak mampu berfikir dengan prinsip Islam yang sebenar dan seronok dengan umpan-umpan pihak musuh.

--

Saya memahami dengan nada lain, dalam ayat Allah SWT dalam Surah An-Nisa' :

"Janganlah engkau berasa penat dalam mencari-cari kaum (membunuh musuh), sekiranya kamu luka parah, sesungguhnya mereka pun sama telah luka parah seperti kamu, (cumanya) kamu berharap kepada Allah sedangkan mereka tidak"

Dan dari awal Surah Muhammad yang juga disebutkan sebagai surah Al-Qital (peperangan) hingga ke ayat 14 (sila baca dari awal surah supaya faham) :

"Adakah orang yang teguh di atas kejelasan (bukti) daripada Tuhannya, sama seperti orang yang dipercantikkan amalannya (sedangkan ia buruk) dan mereka mengikuti hawa nafsu mereka"

Saya terpegun seolah-olah kali pertama membaca ayat ini. Ia menggambarkan satu pertempuran sengit yang maha dahsyat, sama-sama kuat, sama-sama hebat, sama-sama korban, dan sama-sama penat.

Ia adalah peperangan dua pihak yang sama-sama berjiwa besar dan memperjuangkan prinsipnya. Antara hak dan batil.

Pihak yang hak akan menang hanya kerana mereka itu perjuangkan perkara yang betul dan punyai akidah yang benar dan sahih ! Mereka itulah yang Allah akan tolong dan mengalahkan orang kafir.

---

Oleh itu, biar saya pendekkan dan simpulkan di sini. Umat Islam perlu bangkit memahami jatidiri mereka, dan menaikkan taraf jiwa mereka hingga menjadi golongan manusia kategori teratas, agar tidak terjebak dalam perancangan dan agenda pihak kuffar.

Islam adalah sebuah akidah yang perlu diperjuangkan oleh umatnya. Menguatkan Islam bererti menguatkan umatnya. Tiada Islam tanpa manusia yang menganutnya. Ia bukanlah sebuah patung sakti yang boleh menjadi hebat dengan sendirinya dan kuat dengan kuasa saktinya. Umatnya perlu dididik menjadi umat yang kuat, yang boleh mengalahkan umat lain dan meninggikan kalimah Islam di atas muka bumi.

Kita perlu memahami agama ini, dalam konteks ini, pada masa ini, kerana ketahuilah sesungguhnya kita dalam peperangan ideologi yang sangat dahsyat.

"Wahai Nabi, cukuplah bagimu Allah, dan orang-orang yang bersamamu dari kalangan mukminin" - Surah Al-Anfal

Wallahua'lam.
Wsalam

1 Comments:

Anonymous Bilal Jailani said...

Aslm Ust Syamil.

Ana tak pasti ana faham atau tidak.
Apa nak buat ya? Mungkin kena jumpa face to face sebelum fly. Arjuk.

4:32 pm  

Post a Comment

<< Home