Alpha To Omega: Tentang Hati

Sunday, August 14, 2011

Tentang Hati


Salam ramadhan.

Apa khabar ? Moga semuanya baik-baik sahaja.

Ramadhan kali ini agak berlainan rentaknya bagi saya berbanding ramadhan tahun-tahun lepas. Fasa perpindahan episod hidup pastinya berbeza dengan keadaan jiwa dalam sesuatu fasa yang mendatar. Ia perlukan kestabilan yang lebih, keazaman yang lebih, dan himmah (keinginan) yang lebih untuk melonjak melangkah anak tangga seterusnya dalam tangga-tangga perjalanan menuju Allah.

InsyaAllah keputusan peperiksaan akan terzahir dalam beberapa hari lagi. Seperti biasa jika ada peluang untuk 'mengetahui' result peperiksaan dengan lebih awal melalui cara melihat 'control' (satu istilah yg digunakan bagi pelajar-pelajar yang mahu melihat result dengan bertanyakan kepada pegawai yang menguruskan pemarkahan walaupun ia belum rasmi), saya mengambil pendekatan untuk tidak berbuat demikian .. atas sebab-sebab yang tersendiri, dan saya lakukan pendirian itu sejak dari zaman sekolah tinggi-menengah ketika mengambil STAM 2006. (Jika mahu tahu sebabnya, kita bincang secara privasi)

Perkongsian kali ini mungkin agak panjang kerana sudah lama tidak menulis, atau mungkin sebab keadaan-keadaan sekeliling yang menolak saya untuk mengetengahkan apa yang saya rasa dan apa yang difahami.

---

Agar hati itu tulus 

Sejak awal ramadhan, saya terfikir untuk meletakkan satu post khusus berkaitan Ramadhan, dan apa yang terlintas dalam benak fikiran. Namun idea yang keluar tidak bergerak ke alam blog, cuma tersebar ke telinga-telinga dan perkongsian ringan bersama para sahabat sekeliling. Namun pada pertengahan Ramadhan kali ini, ada satu tajuk yang sentiasa bermain di benak hati saya untuk dikongsi bersama.

Sesuai dengan tarikh 14 Ramadhan, juga sesuai dengan isi yang saya ingin bawa. Ia berkisar perihal hati, hati seorang mukmin.

Bagi saya, soal hati atau qalb ini merupakan satu isu yang besar, dan sangat kerap disebut oleh para ulama' silam dalam bentuk-bentuk yang berbeza. Bagaimana tidak besar sedangkan Ar-Rasul SAW sendiri telah bersabda : 

"Sekiranya ia rosak maka rosaklah badan keseluruhannya, dan sekiranya ia elok, maka eloklah keseluruhan badannya, ketahuilah ia adalah hati"

Mengenangi hakikat itu, Ibrahim AS rupanya telah lama memberi isyarat tegar dalam membentuk kefahaman kita terhadap hati. Ingatlah tatkala beliau AS berkata ;

"(Tuhanku) janganlah Engkau hina aku ketika hari dibangkitkan manusia. Hari di mana tidak ada manfaat (bagi mereka) harta dan anak pinak, kecualilah sesiapa yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera" - Surah Asy-Syuara'

Tidak hairan juga para ulama' silam banyak memulakan buku-buku kumpulan hadisnya dengan hadis Ikhlas, yang merupakan salah satu amal hati yang menjamin penerimaan amal. Ikhlas yang telah menggugah Abdullah Al-Mubarak menyebut satu kata-kata yang penuh makna tarbiyyah ;

"Boleh jadi sesuatu amalan kecil itu menjadi besar kerana niat, dan boleh jadi sesuatu amalan besar itu menjadi kecil kerana niat"

Namun persoalan ikhlas saya tak mahu rungkaikan dalam post kali ini. Saya mahu pergi lebih dalam dan mendasar, insyaAllah.

Ruangan jiwa

Bagi saya, mencari ketulusan hati adalah suatu pengalaman jiwa yang perlu dilalui oleh semua manusia yang meletakkan Allah sebagai kekasih, dan memusatkan ketergantungan diri kepada-Nya. Perasaan suka menyendiri, khulwah bersama-Nya, dan rindu kepada-Nya itu tidak akan berlaku dalam keadaan keramaian, bahkan ia perlu berlaku dalam waktu-waktu sepi dan sunyi. 

Keadaan keseorangan, kesepian itu perlu hadir dalam jiwa, agar apabila cinta Kekasih itu datang menyapa lalu mengisi kekosongan, ia hadir bagaikan suatu yang dinanti dan didambakan. Ia adalah suatu bentuk interaksi jiwa yang mendalam, melebihi interaksi zahir dan proses luaran yang berlaku. 

Bila keadaan itu berlaku, maka segala tindak-tanduk luaran yang terhasil pastinya lebih menambahkan keintiman cinta terhadap-Nya. Contohnya apabila Allah SWT menyebut perihal orang mukmin dalam surah Al-Anfal ;

"Sesungguhnya orang yang beriman itu apabila mengingati Allah, pasti akan bergetar hatinya. Dan apabila dibacakan ayat-ayat (Tuhannya) pasti bertambah imannya, dan kepada Tuhannyalah mereka berserah/bertawakkal"

Saya lihat yang ingin difokuskan dalam ayat ini bukanlah pada zikrullah, dan juga bukanlah ayat-ayat yang dibacakan, tetapi ia adalah perihal keadaan hati yang tulus, bergetar, apabila perkara-perkara berkenaan Kekasihnya disebut di depannya.

Ia adalah amalan hati .. yang berinteraksi dengan perkara-perkara luaran untuk menghasilkan suatu bentuk reaksi yang sangat mendalam dan romantik yang hanya dirasai oleh pemilik hati yang hidup, yang sentiasa bercinta dengan Ar-Rahman.

"Kalaulah dikatakan kepada Majnun ; "Adakah Laila dan komunikasi dengannya itu lebih kamu sukai berbanding dunia dan segala isinya ?"

Sudah pasti dia (Majnun) akan menjawab ; "Bahkan, habuk di seliparnya lebih aku nikmati, dan lebih baik bagiku untuk mengubati segala bencana di dunia ini (yang menimpa ke atasku)"

Ia adalah perihal hati yang hanya dirasai oleh para pencinta.

Kayu ukur

Namun ia tidak sama dengan cinta manusia sejenisnya. Ia adalah cinta agung yang miliki tujuan yang agung, kerana ia adalah cinta terhadap Yang Maha Agung. 

Ia perlukan neraca, ia perlukan suatu garis panduan, untuk mengukur tahap keintiman hati hamba dengan Penciptanya. 

Bagi saya, ia adalah perasaan Khauf dan Raja', iaitu takut dan berharap terhadap Allah. Semakin dalam kita hayati kedua-dua perkara itu, semakin dekat hubungan kita dengan Pencipta. Adapun sekiranya perkara itu kita tidak endahkan, dan tidak kita terokai .. mungkin perjalanan kita hanya sekadar-sekadar yang ada sahaja.

Perasaan Khauf boleh dilihat dalam ayat Al-Quran surah Al-A'raaf ;

"Adakah mereka itu berasa aman daripada perancangan Allah ? Sesungguhnya tidaklah aman daripada perancangan Allah melainkan orang yang rugi"

Perasaan Raja' boleh dilihat dalam ayat surah Yusuf ;

"Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya tidaklah berputus asa dari rahmat Allah melainkan orang yang kafir"

Dan juga surah Al-Hijr ;

"(Ibrahim AS) Berkata ; Siapakah lagi yang berputus asa dengan rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat ?"

Pemahaman Khauf dan Raja' itu akan menjamin keseimbangan mukmin. Ia sangat-sangat diperlukan oleh para duat yang berjuang di jalan dakwah. Perjuangan memimpin umat adalah satu perjuangan yang memenatkan, dan kadangkala ia menjadi hambar dan mengeringkan. Sekiranya para duat tidak mampu menghayati makna-makna keintiman hati terhadap Allah SWT, dikhuatiri stamina dakwah tidak bertahan lama.

Satu contoh yang telah berlaku pada zaman sahabat ;

Suatu hari ada seorang lelaki berkata kepada Abdullah b. Mas'ud ; "Aku tidak suka menjadi ashabul yamin (ahli syurga), tetapi aku ingin menjadi dari kalangan Al-Muqarrabin (orang-orang yang rapat kepada Allah)".

Lantas Abdullah b. Mas'ud RA berkata ; "Tetapi di sini terdapat seorang lelaki, yang dia berharap sekiranya dia mati, dia tidak akan dibangkitkan" (beliau bermaksud dirinya) - Fawaid - Ibnu Qayyim

Kisah Abu Bakar RA berkata mahu menjadi seperti burung kerana tidak ada kerisauan menanti hari pembalasan dan kisah Umar Al-Khattab RA yang pengsan apabila terdengar ayat Al-Quran ; 

"(Pada hari kiamat nanti akan dikatakan) Dan tahanlah mereka, kerana sesungguhnya mereka akan ditanya (mengenai amanah yang telah diberikan)" - Surah As-Soffaat

Bahkan, malaikat juga punyai Khauf dan Raja' kepada Allah. Tatkala Iblis dibuang dari syurga, lantas Jibril dan Mikail berkata ; "Wahai Allah, yang dibuang itu adalah Iblis (yang dahulunya ketua kepada kami) .. Jika begitulah wahai Tuhan, selama-lamanya kami tidak akan aman daripada perancangan-Mu"

Sufyan Ats-Tsauri RA pernah dijumpai oleh para sahabatnya dalam keadaan menangis teresak-esak. Apabila ditanyakan sebabnya ; adakah kerana dosa ? atau kerana kisah-kisah silamnya ? Lalu beliau menjawab ; "Aku takut-takut aku ini mati dalam keadaan kufur"

Ia adalah suatu posisi hati yang sangat tulus. Posisi pertengahan yang menjadikan ia sangat utuh. Ia juga satu keadaan pengimbang bagi menjaga keseimbangan (tawazun) hati seorang salik (pejalan) menuju Allah. 

"Jika kamu mahu membuka pintu raja' (pengharapan) maka lihatlah apa yang Dia sediakan untukmu, dan jika kamu mahu membuka pintu khauf maka lihatlah apa yang engkau sediakan untuk Dia" - Al-Hikam

Risalah yang berat hanya untuk jiwa yang kuat

Mengetengahkan aspek hati dan ketulusannya kepada para pendakwah bukanlah satu perkara aib yang disangka setengah pihak terlalu berlebihan. Bahkan ia terkandung dalam apa yang disebut oleh Al-Banna ; "Dakwah Salafiyyah .. Hakikat Sufiyyah .. ". 

Ia juga bukanlah sekadar permainan jiwa yang menjadikan kita terlentok dan berkhayal terawang-awangan memikirkan perihal cinta yang tiada sempadan. Bahkan .. ia adalah satu unsur penting untuk membawa kita ke medan pertempuran yang sengit dan buas.

Rasulullah SAW mendapat wahyu dari langit dengan turunnya Jibril AS ketika baginda SAW telah bertapa dan beruzlah selama beberapa waktu. Wahyu hanya turun ketika jiwa Ar-Rasul SAW bersedia dengan jiwa yang kuat. 

Dalam surah Al-Muzzammil ; 

"Wahai orang yang berselimut, dirikanlah malammu kecuali sedikit (untuk berehat). Separuh daripadanya atau lebih kurang. Ataupun tambah sedikit lagi, dan bacalah Al-Quran itu dengan penuh tartil. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu kata-kata yang berat"

Kata-kata yang berat boleh dimaksudkan dengan wahyu dan risalah dakwah Islam.

Ia menjadi isyarat kepada kita, bahawa tidak ada yang mampu memikul, dan memahami, serta berpegang teguh dengan prinsip-prinsip perjuangan ini, melainkan sesiapa yang jiwanya kuat, hubungannya kental, dan hatinya kukuh dengan Allah SWT.

Ia juga menjadi isyarat bahawa sebenarnya cinta Allah di dunia bukanlah semata-mata diperoleh untuk membawa kekhusyukan sentimental peribadi semata-mata, sebaliknya ia adalah suatu persediaan hati yang kuat, bagi membawa risalah jihad untuk menakluk dunia dengan kalimah La Ilaha Illallah. 

Bahkan, tidaklah memahami erti cinta itu .. erti ketulusan jiwa itu .. erti keharmonian bertemankan Pencipta itu .. melainkan apabila sang hamba itu berada di tengah medan perjuangan, berluka-luka dan menangis hanya semata-mata menegakkan kemahuan Kekasihnya di tengah-tengah manusia yang masih di dalam kegelapan kesesatan. 

Tidakkah kita melihat contoh para Anbiya' AS dan Ulul-Azmi yang merupakan golongan manusia yang teratas yang paling rapat dengan Allah ? Bagaimanakah cara hidup mereka ? 

Tidakkah kehidupan mereka yang bergelumang dengan masyarakat dan bersabar dengan kerenah mereka itu suatu isyarat bahawa golongan-golongan yang rapat dengan Allah dan terpilih oleh Allah, berada di medan yang bagaimana bentuknya ??

Ingatlah tatkala Ar-Rasul SAW berdoa kepada Allah ;

"Ya Allah aku mengadu pada-Mu lemahnya kekuatanku, dan sedikitnya helahku, serta hinanya aku di sisi manusia. Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah, dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapa akan Engkau berikanku ? Adakah kepada orang jauh yang akan menyerangku ? Atau kepada orang dekat yang Engkau berikannya urusanku ? Selagimana Engkau tidak murka padaku .. aku tidak kisah"

Doa dengan penuh airmata dan pasrah itu berlaku selepas Ar-Rasul SAW dan Zaid b. Haritsah berlumuran darah akibat dibaling batu oleh penduduk Taif .. selepas berjalan kaki 4 hari 3 malam dari Mekkah yang jauhnya lebih kurang 100km...

Cukuplah sejarah hidup mereka sebagai gambaran hakiki .. pembuktian ketulusan hati mereka terhadap perjuangan cinta mereka kepada-Nya.

Hanya untuk Dia

Akhirnya, setelah dinyatakan beberapa noktah penting mengenai perihal hati, bagi saya, perjalanan hati adalah satu-satunya jalan untuk kita menuju Allah. Seperti yang disebut oleh Ibnu Jauzi ; "Jalan menuju Allah bukanlah dengan jauhnya perjalanan kaki, namun ia adalah perjalanan hati"

Hanya orang yang berjuang sahaja yang memahami tuntutan sebenar hati yang tulus. Dalam masa yang sama, setiap orang yang berjuang seharusnya menyedari segala gerak geri dan perilakunya itu, sekiranya tidak membawa kepada hati yang tulus dan sejahtera .. tetap tidak akan ke mana-mana kedudukannya di sisi Allah.

Ketulusan hati itu mungkin boleh dimasukkan dalam bab Ikhlas, cuma saya mahu ia difahami dengan lebih mendalam, kerana ikhlas itu kebanyakan orang akan nampak ia wujud sekiranya beramal, dan jika tidak ada amal (seperti statik) maka persoalan itu tidak timbul. 

Ia lebih daripada amal, bahkan ia adalah ahwal (keadaan-keadaan) jiwa yang tertakluk kepada semua keadaan. Ia adalah apabila .. hati kita sentiasa berfikir tentang Pencipta, mencari segala petunjuk dan hidayah dalam segala yang dilalui dan dirasai, dan tidak ada apa yang lebih diutamakan melainkan Dia datang pada tempat pertama.

Ibnu Athaillah As-Sakandari berkata ;

"Sepertimana Dia (Allah) tidak menyukai amal yang dikongsi-kongsi (tidak ikhlas), seperti itulah Dia tidak menyukai hati yang dikongsi-kongsi. 

Amal yang dikongsi tidak diterima, dan hati yang dikongsi tidak akan menghadap-Nya" - Al-Hikam

Setelah melihat contoh generasi terdahulu,

Saya sentiasa terfikir,

Di manakah kedudukan kita yang selalu rasa yakin masuk syurga dan tak rasa pun neraka itu terpahat padanya nama kita ?

Agaknya ..

Neraka pun jijik tengok kita.

---

"Illa man atallaha bi qalbin saleem" - surah Asy-Syuara'

Wallahua'lam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home