Alpha To Omega: Orang bujang pun masuk syurga

Thursday, September 15, 2011

Orang bujang pun masuk syurga


Salam.

Apa khabar semua ? Moga semua dalam keadaan sihat wal afiat insyaAllah.

Hari ini (Khamis) insyaAllah merupakan hari terakhir untuk saya bergelar diri sebagai seorang yang tidak berkahwin @ bujang.

Moga-moga Allah memberkati segala doa, pertolongan, usaha dan nasihat semua orang yang membantu saya mendirikan masjid perjuangan di dalam medan amal islami yang luas ini, terutamanya ibu saya tercinta Endok Sempo bte Mohd Tahir dan ayah saya Mohd Esa bin Ibrahim, serta semua ahli keluarga terdekat dan jauh, semua murabbi yang telah mendidik dan mengasuh saya sejak kecil dan para sahabat dan kawan-kawan serta kenalan yang mengenali. 

Moga Allah membalas jasa semuanya dengan sebaik-baik ganjaran. Ameen.

--

Menempuhi fasa kehidupan

Melalui kehidupan diri sendiri adalah suatu perkara yang sangat memberikan kepuasan pada jiwa. Jiwa akan lebih kental dan berani, mempunyai jatidiri yang tinggi dan kecekalan kerana segala keputusan itu adalah dari hasil analisa dan pemikirannya. 

Mungkin sebab itulah manusia dikurniakan ikhtiar, sebagai rahmat Allah kepada manusia agar diberikan rasa 'puas' dalam hidup ini, serta sebagai medan ujian bagi melihat siapakah yang paling baik amalannya.

Bagi saya, kematangan itu dikira bukan berdasarkan berapa lama seseorang itu hidup, atau berapa tinggi seseorang itu mendapat sijil pelajaran atau berapa banyak ilmu yang seseorang itu peroleh. Kematangan itu (bagi saya) adalah salah satu bentuk kebijaksanaan atau disebut hikmah. Hikmah yang disebut oleh Allah sebagai kebaikan yang banyak ;

"Dialah yang memberikan 'hikmah' kepada sesiapa yang Dia mahu, dan sesiapa yang diberikan 'hikmah' maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Tetapi tiada siapapun yang mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang berakal" - surah Al-Baqarah

Sulaiman AS telah Allah berikan 'hikmah' pada usia yang muda ketika menyelesaikan masalah penternak kambing dan pemilik kebun. Daud AS juga telah diberikan hikmah, Nabi SAW juga telah diberikan hikmah selain diturunkan padanya Al-Quran.

Bagi saya, kebijaksanaan itu boleh diukur dengan cara kita mencari punca-punca keseimbangan dalam setiap fasa hidup yang kita lalui. Ini kerana setiap yang mulia itu seimbang, setiap yang hebat itu seimbang.

Umat Islam itu adalah umat yang pertengahan kerana keseimbangannya dalam segenap aspek hidup manusia. Ia layak menjadi risalah yang menerajui dunia dan memberikan keamanan sejagat kerana keseimbangan nilai-nilai kemanusiaan yang dibawa.

Para ar-Rasul diutuskan oleh Allah kepada umat manusia agar membawa manusia mengenali erti kehidupan yang sebenar, iaitu di sana adanya Tuhan dan hari pembalasan.

Tauhid membawa manusia kepada keseimbangan diri sebagai seorang hamba yang patuh dan tunduk kepada Penciptanya, walaupun dia diberikan kudrat dan upaya serta ikhtiar bagi melakukan segala kerja mengikut kemampuannya.

Hari Akhirat memberikan keseimbangan kepada cara fikir / tasawwur manusia serta mizan mereka terhadap dunia dan kehidupan. Mengetahui bahawa kiranya kematian itu hanyalah sebagai satu fasa dalam banyaknya fasa perjalanan kehidupan seseorang, akan menjadikan seseorang itu berfikir bahawa di sana ada sebuah kemenangan hakiki, ada sebuah kebahagiaan hakiki yang tidak diperoleh di dunia dan hidupnya kini, di sana adanya pembalasan dan hisab serta di sana adanya pengakhiran sebenar.

Atas sebab itu, mencari keseimbangan dalam hidup ini adalah suatu yang dhoruri bahkan ia adalah tuntutan Islam itu sendiri. Namun, saya tak nafikan ia adalah antara perkara yang paling susah, kerana jiwa manusia itu diciptakan dalam keadaan keluh kesah dan merungut.

Bagi saya, melalui proses pendidikan dan perubahan diri itu bukan sebuah aliran atau flow yang semulajadi. Ia adalah suatu mindset dan perlukan penghalaan (taujih) dan perjalanan mujahadah diri yang tersendiri.

Manusia pasti akan bertambah umurnya, pasti akan bertambah pengalamannya, pasti akan berubah fasa-fasa dalam hidupnya .. namun sebenarnya proses perubahan diri itu tidak pasti, hanya mungkin-mungkin saja boleh berlaku.

Sebab itu kita melihat betapa adilnya Allah SWT apabila meletakkan nilai ukuran 'mulia' itu di sisi-Nya adalah taqwa yang dapat dikongsi oleh semua lapisan masyarakat dan semua jenis makhluk yang digelar manusia. Ini adalah kerana taqwa itu di dalam hati ;

"At-Taqwa Ha Huna (Taqwa itu di sini - lantas baginda SAW menuding ke dadanya 3 kali)"

Ya, ia adalah perubahan hati, kemuliaan hati, keseimbangan hati .. bukannya perubahan fasa hidup sebelum bujang kemudian berkahwin, bukan juga sebelum beranak kemudian mempunyai anak ramai, bukan ketika punyai harta yang banyak dan duit yang bertambah-tambah, dan bukan juga ketika Ramadhan dan bulan-bulan sempena untuk beramal.

Ia adalah hatimu. Ia adalah jiwamu, bagaimana kamu mendidiknya. Hanya dengan ia .. kita bertemu Tuhan.

Dahulunya ketika zaman-zaman awal bujang sebelum berurusan untuk melangsungkan perkahwinan, perasaan bujang itu kadang-kadang menjadikan diri berasa keseorangan dan kesepian. Lantas ia membawa diri mencari teman yang sentiasa bersama, dan akhirnya mendapati ia dalam sedutan surah At-Taubah ;

"Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita"

Serta surah Al-Baqarah ;

"Maka ingatlah Aku, nescara Aku akan mengingatimu" 

Dan surah Qaaf ;

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia itu, dan Kami mengetahui apa yang dibisik-bisik oleh jiwanya .. dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat leher"

Namun di situlah ujiannya, di situlah percubaannya, bagaimana diri kita meletakkan nilai dan menggunakan neraca sebenar untuk memberi keseimbangan pada hari-hari yang kita lalui.

Saya pernah menulis post yang lebih kurang serupa agar pembaca dapat menilai dengan adil dan seimbang iaitu dalam post ini  . Ia hanya sekadar sudut pandangan peribadi dan tidak memihak kepada mana-mana pendirian sesebuah organisasi. 

Menanti takdir terbaik adalah dengan usaha yang dilakukan dengan cara yang terbaik. Ia berlaku dengan optimis dan sangka baik dengan Pencipta takdir dan Penyusun alam semesta. Apabila mengetahui hakikat-hakikat sebegitu maka tidak hairan kiranya kita melihat Sulaiman AS ketika sahaja diletakkan mahligai Balqis di hadapan matanya secara langsung berkata ;

"Ini adalah kurniaan Tuhanku, untuk menguji sama ada aku bersyukur atau kufur. Adapun sesiapa yang bersyukur maka sebenarnya syukurnya itu adalah untuk kebaikan dirinya sendiri. Barangsiapa yang kufur maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia" - surah An-Naml

Ia adalah suatu tasawwur / sudut pandang yang membina dan sentiasa seimbang. Dalam keadaan punyai singgahsana yang hebat dan teknologi yang canggih, Sulaiman AS mampu untuk tunduk dengan nilai-nilai ketuhanan lantas menafikan segala perasaan bongkak dan tinggi diri, kerana beliau memahami hakikat hidup ini adalah ujian. 

Sama sahaja, miskin atau kaya, tua atau muda, bujang atau berkahwin, punyai anak atau tidak, pemimpin atau pengikut, kedua-duanya adalah ujian bagi seorang mukmin yang memandang dengan pandangan hakikat yang dinilai oleh Allah SWT. 

Oleh itu, sebenarnya perkara yang paling kita risaukan adalah bukan apa yang kita dapat/lalui .. namun adalah bagaimana kita memandang perkara itu sebagai sebuah bentuk ujian yang dapat membina jiwa kita dan menolak kita untuk melangkah lebih jauh ke arah Pencipta ?

Apabila Pencipta kita berkata ;

"Sesungguhnya Allah itu tidak menzalimi manusia, bahkan sebenarnya merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri" - surah Yunus

Jiwa kita sepatutnya merasa sangat takut, ini kerana keadilan Allah itu terjamin dan rahmat-Nya juga terjamin ... namun yang menjerumuskan kita ke dalam lembah kezaliman itu semua berpunca dari diri kita sendiri. Segala kecelakaan itu berpunca dari diri kita, dan segala kebaikan itu berpunca dari Allah.

"Apa yang menimpa kamu dari kebaikan adalah daripada Allah, dan apa-apa yang menimpamu dari keburukan adalah daripada dirimu sendiri" - surah An-Nisa'

Ia adalah sebuah konsep yang diajar oleh Al-Quran itu sendiri, dalam menunjukkan cara-cara beradab dengan takdir susunan Allah dan cara meletakkan Allah pada tempat-Nya yang paling layak. Sebab itu olahan Ibnu Qayyim RHM dalam bab ini sangat menarik ketika beliau mengupas mengenai 'bagaimana meletakkan Allah pada tempat-Nya'.

"Titik masalahnya adalah, seorang hamba itu tidak memandang Tuhannya melainkan sangat baik, memberikan kurniaannya .. dan tidak memandang dirinya melainkan seorang yang jelik, banyak berbuat salah dan jahat" - Al-Fawaid

Ia adalah persepsi dan cara pandang kita terhadap Tuhan, Pentadbir alam semesta, Pencipta manusia yang Maha Mengetahui baik dan buruknya, Maha Mengetahui apa yang tidak pernah diketahui, Maha Mengetahui seluruh alam ghaib dan syahadah.

--

Ia adalah suatu seruan ke arah ketinggian. Ketahuilah bahawa di dunia ini terdapat padanya tangga-tangga menujunya, bagi sesiapa yang mahu melangkah dan mendaki. Ia bermula dengan roh yang membara dengan imaniyyat yang kuat dan mendalam, agar terus gagah dalam perlumbaan. 

والسابقون السابقون ..... اولئك المقربون

"Dan orang-orang yang berlumba-lumba, mereka itulah orang yang dekat (dengan Tuhan mereka)" - surah Al-Waqiah

Ia adalah perlumbaan .. bukan mencari harta, bukan mencari isteri, bukan mencari keputusan peperiksaan yang hebat-hebat, bukan mencari kedudukan dan pangkat yang tinggi, kerana semua itu bukan hadiahnya.

Oleh kerana apa yang ingin dicapai adalah darjat yang hampir kepada Tuhan,

Maka,

bagi saya,

ia adalah sebuah perlumbaan ..

mensucikan hati.

"At-Taqwa Ha Huna"

Wallahua'lam.

---

17 Syawal 1432H

15 Sept 2011


1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

MashaAllah. nicely written.

2:59 pm  

Post a Comment

<< Home