Alpha To Omega: January 2011

Thursday, January 27, 2011

Musim cuti, peperiksaan dan neraca kita


Assalamualaikum warahmatullah wa barakaatuh.

Segala puji dan syukur hanya pada Allah, musim peperiksaan bagi pelajar jurusan pengajian Islam Al-Azhar sudah pun berakhir. Bagi pelajar perubatan khususnya cawangan Tanta, peperiksaan akan bermula insyaAllah selepas cuti.

Cuti musim sejuk yang baru bermula telah memberikan ruang kosong yang cukup bagi pelajar-pelajar dirasat untuk merehatkan diri selepas berpenat lelah dalam peperiksaan. Tetapi bagi pelajar perubatan, ia merupakan tempoh yang cukup sebagai persediaan untuk peperiksaan.

Apapun jenis bentuk situasinya, sama ada persediaan untuk peperiksaan atau percutian yang menyenangkan, saya suka untuk mengajak semua agar menjadikan seluruh sudut pandang dalam hidup kita terpandu dengan panduan Islam, dan neraca Iman.

Apakah maksudnya panduan Islam dan neraca Iman ?

Pelajar yang telah menjalani peperiksaan pastinya melihat peluang cuti adalah masa untuk menghabiskan segala yang telah disimpannya (dari segi duit, masa tidur, masa bermain dan apa-apa yang boleh menenangkan perasaan).

Pelajar yang akan menjalani peperiksaan pastinya melihat peluang itu sebagai peluang keemasan bagi mengatur jadual dan perancangan untuk merebut peluang mendapat pangkat Mumtaz. Saya pernah dengar, pelajar perubatan (yang datang dengan agen) ada habit tersendiri, iaitu mereka akan bersungguh-sungguh untuk belajar all-out pada first year untuk memohon tajaan JPA dan MARA, kemudian apabila telah menerima JPA dan MARA, kesungguhan mereka secara automatiknya akan berkurang kerana bayaran yuran universiti telah dibayar.Benar atau tidak, tanyalah mereka. Elok atau tidak ? Nilailah sendiri.

Tapi, bagi pelajar yang benar timbangannya, sahih pandangannya, dia melihat dengan neraca Iman dan pertimbangan Islam. Masa cuti selepas peperiksaan bukan dilihat sebagai waktu rehat semata-mata, bahkan ia adalah waktu yang lebih bahaya berbanding waktu peperiksaan itu sendiri. Dia terkenang hadis Nabi SAW ;

“Dua nikmat yang selalu dilupai oleh kebanyakan manusia, kesihatan dan waktu lapang”

Dirinya risau bahkan gelisah kerana waktu lapang (tanpa ada aktiviti yang bermanfaat) adalah bala’ dan malapetaka besar bagi seorang muslim sejati. Dia teringat kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah kepada seseorang apabila ditanya ;

“Aku hanya mahu mendapatkan sedikit kerehatan”, lalu dia membalas :

“Pada dirimu ada kelalaian yang mencukupkanmu daripada kerehatan”. – Al-Muntalaq

Dia risau dirinya yang selalu berehat takut-takut tidak dapat menyalurkan ‘kepenatannya’ kepada saluran yang benar dan sahih apabila terkenang sunnatullah dalam surah Al-Balad ;

“Manusia itu diciptakan dalam keadaan penat”

Syed Qutb rahimahullah apabila mengulas ayat ini, beliau menegaskan bahawa tabiat manusia adalah sentiasa dalam kesibukan dan kepenatan. Cuma bezanya adalah kepada apa yang dia salurkan, sama ada kepada imannya atau kepada hawa nafsunya. Hakikatnya, diri kita sahaja yang tahu (selepas Allah) ke mana sebenarnya kita salurkan tenaga dan jiwa kita, lebih-lebih lagi waktu muda yang sangat berharga ini.

Bagi pelajar Muslim yang akan menghadapi peperiksaan selepas waktu cuti, masa cuti bukan semata-mata waktu untuk mengulangkaji pelajaran, bahkan ia adalah waktu optimum untuk meningkatkan kestabilan diri dalam interaksi dengan keseimbangan emosi, meningkatkan diri menghayati seni-seni hubungan dengan alam semulajadi, dan cuba memahami rahsia-rahsia di sebalik penciptaan Ilahi dalam menjadikan peperiksaan sebagai satu lumrah dalam hidup ini.

Tidakkah Allah menjadikan semua yang kita hadapi dalam hidup ini adalah sebuah ujian ?

“(Dialah) yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah yang paling baik amalannya ?” – Surah Al-Mulk

Allah tidak menyebut untuk menguji sebahagian daripada kamu, atau hanya sekelompok manusia sahaja, atau hanya manusia yang dalam keadaan tertentu sahaja, tapi Allah telah menjadikan keseluruhan hidup kita, tak kira waktu peperiksaan atau waktu cuti, waktu susah atau waktu senang, sebagai satu bentuk ujian Ilahi dalam mencari hamba-Nya, menilai hamba-Nya, siapakah yang paling baik amalannya ?

Kefahaman kita terhadap tasawwur/gambaran sebeginilah yang akan membentuk kita menjadi seorang muslim yang memahami hakikat perhambaan dalam hikmah penciptaan manusia. Ia menceritakan kesempurnaan ubudiyyah (penyembahan) kepada Tuhan, dan kesempurnaan uluhiyyah (ketuhanan) Allah, dalam merangka satu bentuk hidup muslim yang tulen dan sejati.

Ia mengajar kita satu bentuk kesamarataan sejagat, dalam meneroka ketinggian nilai risalah tauhid.

Apabila kita fahami beberapa hakikat ini, mungkin baru kita mampu fahami betapa tingginya nilai Islam di dalam dunia manusia, betapa besarnya faktor kefahaman Islam yang sahih dalam membina sebuah peradaban manusia yang paling hebat di dunia.

Akhirnya, waktu peperiksaan atau tidak, itu tidak masuk dalam perkiraan-Nya, yang penting di manakah kita meletakkan Dia dalam segenap masa hidup kita ? Bukankah ujian itu setiap masa ?

Selamat bercuti, dan berjuang.

Wassalam.

Diambil dari post di sini

Saturday, January 22, 2011

Senyum pada dunia


Salam.

Alhamdulillah, exam sudah habis. Kertas terakhir, Bahas Qawaid Fiqh, secara terus terang ia tidak dapat dijawap dengan baik. 

--

Bagi saya,

Ketenangan yang sering  kita sebutkan sebenarnya bukan suatu perkataan yang mampu difahami.

Bagi saya ia adalah satu kepercayaan. Percaya, bahawa di sana ada satu kuasa yang tidak akan menzalimi kita. Percaya, bahawa di sana ada satu kudrat yang tidak tertandingi sesiapa di dunia, termasuk segala asbab dan musabbabnya. Percaya, bahawa diri kita selamanya sengsara jika bergantung kepada selain-Nya. Percaya, dan yakin.

Ya, ia adalah akidah. Saya rasa Allah mahu ajar saya erti ini, dalam peperiksaan pada kali ini.

Kadang-kadang, bila kita rasa kita mampu jangka apa yang akan berlaku dan apa yang akan kita pasti lakukan, maka tatkala itulah Allah menjadikannya 180 darjah. 

Lalu kita betulkan hipotesis kita yang tersilap, dan tempuhi dunia dengan formula carian sendiri yang baru dengan penuh yakin dan mendabik dada. Lantas pada ketika itu Allah pula dengan penuh perancangan-Nya yang penuh bijaksana, menerbalikkan formula hidup kita, sekali lagi.

Lantas kita mengambil sikap hati-hati dan waspada, dan kita memohon agar diberi petunjuk pada setiap ketika, dan kita merasakan doa kita dimakbulkan pada setiap kali cubaan, lantas pada akhirnya rupanya kita yang tersilap jalan.

Pada penghujungnya, bila kita menyedari beberapa hakikat ini, mungkin pada ketika itu baru kita jelas, bahawa benarlah ketentuan-Nya, tertahkik kalam-Nya yang menyatakan kita adalah hamba dan Dialah Pencipta.

Ia telah membuatkan saya tersenyum bila keluar dewan peperiksaan tadi. Tersenyum melihat kekerdilan diri cuba mentakwil kudrat Ilahi. Tersenyum melihat kedangkalan jiwa yang cuba meneka perancangan-Nya. Tersenyum melihat diri sendiri, kerana terlalu lemah untuk mengetahui apa di sebalik rahsia alam sejagat ini.

Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Al-Ghazali ;

"Sesungguhnya penghujung makrifatullah (ilmu mengenali Allah) adalah, engkau mengetahui hakikat bahawa engkau sekali-kali tidak mampu mengenali-Nya" - Al-Maqsid Al-Asna fi Syarhi Asma'illahil Husna

Akhirnya,

saya terpesona, 

lalu tersenyum melihat dunia.

22 Jan 2011

Thursday, January 06, 2011

Hidup untuk sebuah fikrah


Salam kepada semua.
Apa khabar ? Moga semua sihat wal afiat.

Sebelum terlambat, Selamat Tahun Baru 2011. Moga tahun ini lebih bermakna, dan moga-moga ia lebih membina.

p/s : post kali ini agak panjang, dan berat.

Allah beri kita kemampuan untuk hidup bertahun-tahun. Menghadapi pertukaran tahun, bersilih ganti. Setidaknya ia adalah medan untuk kita bermuhasabah kembali, nilai hidup kita, nilai tahun kita yang telah lalu, nilai 'kerja' kita tahun lalu, dan yang paling penting sekali, berapakah agaknya nilai kita di sisi Allah ?

Macam mana nak kira ?

Lihatlah diri kita, di mana kita berada dan sejauhmana kesan yang kita beri kepada umat Islam di sekeliling. Makin besar kesannya (yang positif dan membina), makin besarlah nilainya harga diri kita di sisi Allah. Sebab itulah kita melihat Rasulullah SAW sebagai seorang yang sangat sibuk.

Impian yang besar perlukan orang yang berjiwa besar untuk fahami, pikul dan tanggung.

Jangan salahkan gunung yang tinggi, tapi salahkanlah diri yang kurang motivasi. Jangan salahkan laut yang dalam, tapi salahkanlah diri yang hanya pandai tenggelam. Jangan salahkan kesusahan jalan yang panjang, tapi salahkanlah diri yang tidak cukup bekalan.

Normalkan diri seperti bayi, tidak pernah merajuk jika tidak disuap nasi. Hanya menunggu makanan daripada sang ibu yang memahami keperluan diri.

Jangan jadi macam kebanyakan remaja kini, tidak diberi hajat peribadi satu bulan merajuk tak mahu tengok muka ayah lagi. Jika mahu membesar cepat dengan normal, bina diri dan jatidiri, persis seperti tumbesaran seorang bayi. Cuma perlu dipandu dengan ta'lim (pengajaran) yang rabbani.

--

Fikrah yang hidup dan menghidupkan

Saya memilih untuk memulakan post tahun 2011 ini untuk membentangkan satu perkara yang agak besar dan agak berat. Ia menjadikan hidup saya bermakna, berharga, tinggi nilainya, besar ertinya dan jauh ufuknya. 

Ia cumalah hasil kurniaan Allah, dan pemerhatian serta pengalaman dan pembacaan dari buku-buku yang menanam fikrah / pemikiran itu secara beansur-ansur dan tetap. Saya akan cuba terjemahkan dengan gaya bahasa yang santai dan mesra, bagi ia lebih difahami dan dirasai oleh semua peringkat kecuali peringkat sekolah rendah dan tadika.

Ia adalah sekitar ideologi, ataupun lebih mesra dikenali sebagai pemikiran / fikrah yang saya fahami, yakini dan pegangi.

“Aku bukanlah seorang yang beriman/percaya dengan hikayat prinsip yang hebat tanpa adanya rijal yang perjuangkannya. Apa makna prinsip tanpa akidah/pegangan yang kuat dan daya tolakan (yang boleh menolak manusia untuk perjuangkannya) ? Bagaimana pegangan yang membakar boleh wujud tanpa ia tertanam dalam hati manusia ?

Sesungguhnya semua prinsip dan ideologi (tanpa pegangan yang punyai daya tolakan) hanyalah ibarat kalimah-kalimah kosong dan sia-sia, paling jauh pun ia hanyalah makna-makna yang mati ! Perkara yang boleh memberikannya sebuah kehidupan hanyalah kehangatan iman yang menyala daripada jiwa manusia ! Orang lain tidak akan beriman dengan prinsip dan ideologi yang tertanam di kotak berfikir yang sejuk yang tiada padanya hati yang menyala-nyala.

Berimanlah engkau pada mulanya dengan fikrahmu/ideologimu, berpeganglah sehingga mencapai tahap keyakinan yang membakar ! Tika itulah baru orang lain akan beriman dengannya ! Sekiranya tidak, maka ideologimu hanyalah semata-mata bentukan lafaz yang kosong daripada roh dan kehidupan !

Tiada erti kehidupan bagi sesebuah fikrah yang tidak disaluti dengan roh insan, dan ia takkan menjadi hidup lalu mampu untuk berjalan di atas muka bumi ini dalam bentuk manusia ! Begitulah sebaliknya, tiada makna kewujudan bagi seorang insan (dalam hal ini) yang jiwanya tidak terisi dengan ideologi/fikrah yang diyakininya dengan penuh membara dan ikhlas …

Pembezaan di antara fikrah/ideologi dan syakhsiah/peribadi adalah seperti beza roh dan jasad, ataupun makna dan lafaz. Kadang-kadang ia (penyerapan ideologi dalam jiwa manusia) merupakan satu proses yang mustahil (kerana ia tidak sesuai), dan kadang-kadang ia boleh membawa makna pelepasan hakiki dan fana’ (hanyut dalam kehangatan perasaan dan pegangan) ! Setiap fikrah yang hidup pasti akan ‘menjamah’ jiwa manusia !

Adapun sekiranya fikrah itu tidak mampu untuk menelan dan merasai ‘makanannya’ yang suci ini, maka sesungguhnya ia telah dilahirkan dalam keadaan mati, dan langsung tidak menyumbang kepada tamadun manusia untuk ke hadapan walaupun hanya sejengkal !”

- dalam kitab Afrahur Ruh (Kebahagiaan Roh) – Syed Qutb (buku ini merupakan silsilah penulisan Syed Qutb kepada adiknya, Aminah Qutb)

Syed Qutb telah dijatuhkan hukuman gantung pada tahun 1966, disebabkan tulisannya sendiri dan apa yang beliau bawa serta perjuangkan.

Menariknya Syed Qutb menulis 'Kebahagiaan Roh' ini dengan penulisan yang jitu dan padu, dalam menggambarkan kegembiraan dan kebahagiaan roh beliau sendiri, sedangkan ketika itu beliau sedang dikurung dan diseksa dalam penjara di Mesir. Ya, fikrahnya telah sebati dengan jasadnya, lalu memberikannya roh untuk hidup membawa fikrah yang asli dan tulen.

Kebahagiaan yang datang, tanpa sebarang kesenangan yang malmus (boleh disentuh) berbentuk kemewahan dunia dan kesenangan hidup. Ia datang dari jiwa, yang menjustifikasi sebuah ujian yang berat sebagai sebuah taman-taman syurga di dunia.

Hanya jiwa yang besar dan benar sahaja, mampu menukar semuanya kepada sebuah kebahagiaan yang hakiki.

"Through you, the world recognizes itself as Heaven" - quote

Fikrah/Ideologi Islam yang benar akan menghidupkan seorang muslim, untuk mempamerkan Islam yang sejati kepada umat manusia. Secara tak langsung ia memberi contoh yang benar bagi mempamerkan kehidupan seorang manusia yang paling ideal, hamba yang paling hebat, dan khalifah yang paling mulia di muka bumi ini, serta hidup yang paling agung disaksikan sejarah ketamadunan manusia. Ia sangat bertepatan dengan seruan dalam ayat surah Al-Anfal ;

"Wahai orang yang beriman, sahutlah seruan Allah dan Rasul-Nya ketika Dia menyerumu kepada apa yang menghidupkanmu"

Tanpa mahu menulis panjang dan lebar, saya akhiri ;

"Apa perjuangan dalam hidup kita ?" atau dengan gaya bahasa yang lebih mudah ; "Apa yang meng'hidup'kan kita selama ini ?"

Wallahua'lam.
Wassalam.