Alpha To Omega: July 2010

Saturday, July 31, 2010

In Categorizing People


Salam.

Apa khabar ? Moga-moga sihat, insyaAllah.

----

How You See People

Manusia itu terlalu mulia jika ingin dibezakan dengan keturunan dan nasab, maka dengan itu Allah jadikan anak Nuh a.s tidak ikut serta bersama bapanya.

Manusia juga terlalu mulia jika mahu dikategorikan dengan harta benda, maka dengan itu Allah pilih Bilal b. Rabbah memeluk Islam terlebih dahulu berbanding beberapa sahabat yang kaya-raya.

Manusia juga terlalu mulia jika mahu dibeza-bezakan dari segi akal dan kecerdikan, maka sebab itu Allah pilih untuk meredhai para sahabat yang belum lagi nampak Islam itu gemilang, belum lagi ada ilmu tauhid, ilmu fiqh, ilmu hadis dan lain-lain, berbanding kita yang sudah terima ilmu yang bermacam-macam.

Kebiasaannya manusia melihat dan menilai mengikut apa yang zahirnya yang dirasakan itu mulia. Biasanya mereka akan nampak orang kaya lebih mulia daripada orang miskin, orang cerdik pandai lebih mulia daripada orang yang kurang cerdik, orang yang kuat dan gagah perkasa lebih mulia daripada orang yang sakit dan lemah.

Jika mizan atau timbangan kita menilai sesuatu perkara atas asas-asas yang saya sebutkan tadi, maka berjayalah jahiliyyah dalam mengkategorikan dan memecah-mecahkan saf muslimin. Ini kerana jiwa manusia cenderung untuk bersama dengan orang-orang yang dianggap sebagai mulia, seperti kuat, gagah, kaya, cerdik dan sebagainya. 

Kes ini jelas Allah rakamkan dalam surah Al-Fajr ;

"Adapun manusia itu jika Tuhannya mahu mengujinya, lalu dimuliakannya dan diberikan nikmat padanya, nescaya dia akan berkata : Tuhanku telah memuliakanku !"

"Adapun sekiranya Tuhannya menyempitkan rezekinya, nescaya dia akan berkata pula : Tuhanku telah menghinakanku !"

Ia jelas menunjukkan kayu ukur seorang manusia yang biasa, terhadap apa yang zahir untuk mengukur sesebuah kemuliaan. Kayu ukur itu sebenarnya adalah hawa nafsu yang hanya sukakan syahwat dan kesenangan sementara. Manusia yang berbeza-beza tidak akan mampu bersatupadu di atas asas yang berubah-ubah itu.

Islam datang, untuk menyelesaikan masalah manusia, dan memberi keamanan sejagat kepada dunia, seluruhnya. Ia datang menyelesaikan masalah manusia, pada mula-mula sekali dengan meletakkan mizan dan kayu ukur yang benar dan tepat, agar manusia boleh membuat keputusan yang tepat dan benar dalam segala perkara. 

Islam meletakkan wahyu dan iman sebagai kayu ukur yang tak pernah berubah, dan ia adalah asas kepada satu-satunya perubahan yang kekal dan mengufuk. Jika kita mahu membuat satu bangunan yang tinggi dan menjulang ke langit, sudah pasti tapaknya perlukan bahan binaan yang sangat kuat, dan tahan lama. 

Akidah dan iman merupakan satu asas yang tak pernah berubah dari zaman permulaan wahyu hingga hari akhirat. Dengannyalah Islam berkembang maju, dengannya dakwah tersebar ke seluruh pelusuk alam. Hanya dengan asas ini, Islam mampu bergerak, mampu mendapat pertolongan Allah, mampu menakluk dunia dan membawa seluruh manusia kepada Tuhannya.

"Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah orang yang paling bertaqwa" - Surah Al-Hujuraat

----

Saya tidak mahu mengulas terlalu panjang dalam bab ini, cumanya saya mahu agar pembaca memastikan agar mizan yang digunapakai dalam melihat sesuatu perkara menepati aspek-aspek yang Islam letak.

Dengan mizan iman, kita tak rasa tukang sapu sampah itu lebih hina daripada CEO Petronas, kita tak rasa pekerja tandas itu lebih hina daripada bos-bos syarikat, kita tak rasa orang baru dalam dakwah itu lebih hina daripada orang lama, kita tak rasa jemaah yang lewat timbul itu lebih hina daripada jemaah yang sudah lama timbul, dan macam-macam lagi.

Kenapa ?

Ini kerana mizan kita benar, iaitu iman. Iman itu letaknya pada jiwa-jiwa yang tidak dapat dilihat melainkan dengan amal yang dibuahkan olehnya. Pencuci tandas yang menepati waktu kerjanya dan menepati janjinya lebih baik daripada CEO yang melengah-lengahkan kerja dan tidak menepati janji. Tukang sapu sampah yang menjaga solat itu lebih baik daripada bos syarikat yang meninggalkan solat, dan begitulah yang lain-lain.

Rasulullah s.a.w dalam memperbaiki mizan manusia itu telah menyebut dalam hadis :

"Bukanlah orang yang kaya itu orang yang banyak harta, tetapi orang yang kaya adalah orang yang kaya jiwanya (berjiwa besar)"

"Bukanlah orang yang kuat itu orang yang gagah perkasa, tetapi orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan marah"

Banyak lagi hadis-hadis yang boleh dicari sendiri.

Pembahagian tugas pada orangnya 

Allah menjadikan kita dengan kesesuaian kita. Kita menjadi pelajar tidak bererti kita lebih mulia daripada peniaga pasar malam yang tidak mampu sambung pelajaran. Kita berjaya dalam peperiksaan tidak bererti kita lebih mulia daripada yang gagal. Penjaga tol itu tak semestinya lebih hina daripada empunya kereta Mercedes S Series. Begitulah seterusnya. 

Tetapi jika kita perhatikan ayat Allah dalam surah Az-Zukhruf :

"Dan kami tinggikan darjat sebahagian mereka dengan sebahagian yang supaya mereka boleh saling mempergunakan di antara satu sama lain, dan rahmat Tuhanmu itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan"

Dalam hadis Nabi s.a.w ;

"Setiap kamu dipermudahkan dengan apa yang diciptakan untuknya"

Allah jadikan kita semua pada tempatnya. Ketua tidak semestinya lebih mulia di sisi Allah daripada pengikutnya, ketua juga tak akan layak jadi ketua jika tiada pengikut. Watak tambahan tidak semestinya lebih hina daripada watak utama. Hakikatnya kita memang saling memerlukan. Tetapi apa yang Allah kira adalah pada iman kita dan apa yang kita dah lakukan sedaya upaya kita.

Saya hanya mahu kongsikan perkara ini saja, supaya kita boleh sama-sama hidup atas bumi ini dengan mizan dan timbangan yang betul. 

Akhirnya ..

Saya mahu bawa pembaca ke dunia baru yang indah. Dunia yang dipenuhi husnuzzon dan senyuman manis kepada semua. Dunia yang penuh lapang dada dan mudah bergaul dengan semua manusia. Dunia yang dipenuhi dengan penuh kasih sayang dan rahmat kepada manusia. Dunia yang tiada pandangan-pandangan yang jelik dan ejekan-ejekan kepada golongan bawahan. Dunia yang tiada rasa bongkak, ujub dan takabbur. Dunia yang aman damai, indah dan sejahtera. Dunia inilah yang pernah didiami oleh para sahabat dan tabien suatu ketika dahulu. Dunia persamaan manusia. Ia adalah dunia yang mahu dibawa oleh Islam itu sendiri, dan juga telah dibuktikan wujud suatu ketika dahulu .. 

Dunia yang akan membentuk tamadun manusia yang teragung berasaskan iman, yang akan diasaskan oleh kita bersama, atau generasi-generasi selepas kita.

Aku berharap agar aku menjadi dari kalangan mereka. Ayuh pegang tanganku .. kita berlari menuju kegemilangan itu.

p/s : Doakan diriku.

Tuesday, July 20, 2010

The unexpected ; a right sign


Salam.

Apa khabar ? Sihat insyaAllah.

Setelah beberapa hari pulang dari PMPI 2010, baru saya rasa mahu postkan sedikit mengenainya. Pengalaman yang baik dan menarik, bersama peserta-peserta yang ceria dan bersemangat. Tahniah kepada AJK dan peserta atas usaha yang sangat positif. 

Tahniah kepada kumpulan Pahlawan kerana telah memenangi anugerah Kumpulan Hati Paling Bertaut, daripada saya sendiri. 

Terima kasih kepada Nasyaruddin, Aiman Farhan, Buraidah Al-Aslami, Firdaus Mokhtar, Syairawi, Izhar, dan Hanif Khairuddin atas semangat dan keceriaan semasa program. Allah telah menjumpakan kita, dengan hikmah-Nya, dan kemahuan-Nya. Alhamdulillah.

Untuk PMPI kali ini, saya telah belajar erti kebersamaan, dan keserasian. Ya, ia bermula dari sifat positif dan kepercayaan kepada ahli kumpulan, kemudian barulah taat dan tsiqah menyusul. Indahnya hidup ini, jika ia berjalan mengikut fitrah insaniah.

Kulit semakin gelap, badan semakin menurun, itu mungkin satu perubahan biasa pada saya menjelang musim panas yang bertempoh kira-kira 4 bulan ini. Ya, saya memang suka musim panas, lebih-lebih lagi di Mesir. 

---

The unexpected, it means you're in the right track.

Dalam hidup-hidup seharian, kita memang selalunya merancang perkara-perkara yang akan kita buat dan kebiasaannya ada benda-benda yang melambatkan atau merencatkan perjalanan perancangan kita. 

Satu perkara yang saya rasa kita patut selalu letak adalah 'perancangan Allah mengatasi segalanya dan kemahuan-Nya menentukan segalanya'.

Perkara kedua, 'Allah telah menciptakan dunia penuh dengan ketetapan-ketetapannya dan asbab musababnya'.

Allah telah berkata bahawa Dia menciptakan dunia bukan saja-saja dan bukan main-main. Dia jugalah yang telah berkata bahawa kehidupan dunia adalah sebuah permainan. Dia telah menciptakan sebuah permainan untuk menjadikan seseorang itu memahami maksud di sebalik permainan tersebut dan bukan untuk manusia itu 'layan' permainan itu sehingga asyik. Bahkan ia sebagai alat permainan untuk menguji sejauh mana keupayaan seseorang dalam kehidupan dunia yang penuh dengan tipudaya itu.

Perkara ketiga, 'Allah berada pada sangkaan hamba-Nya', ia jelas disebut dalam hadis qudsi menerusi lisan Nabi s.a.w

-- keluar topik sekejap --

Selama lebih kurang hampir 3 tahun saya berada di bumi Mesir ini, banyak sangat perkara yang saya belajar. Jika mahu dikongsi, mungkin tidak cukup dalam hanya sebuah post atau sebuah blog peribadi. Saya mahu kongsi dengan perasaan, kebersamaan, hidup, dan keseriusan. Bukan sekadar penulisan yang pendek dan perumpamaan yang mungkin kurang tepat. Sebab itu saya lebih suka berjumpa untuk menyampaikan sesuatu, bukan sekadar menulis dan memberi komen dari jarak jauh. 

Itu mungkin merupakan salah satu bukti bahawa apa yang saya dapat di Mesir ini benar-benar menjadikan saya yakin bahawa saya kini punyai risalah atau saya boleh panggil ia sebagai penyelamat yang boleh menyelamatkan umat di mana-mana, khususnya di Malaysia yang tercinta. Saya mahu berjumpa dengan anda ! Bukan saja mahu, bahkan suka dan menanti-nanti pertemuan itu.

-- masuk topik balik --

Ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan, mungkin pada kali ini berkenaan perkara-perkara yang tidak disangka-sangka. 

Dalam pengamatan saya, bila kita mulakan hidup kita untuk serius dalam perkara yang serius, maka di situ akan mulalah ujian yang Allah akan hadirkan, khusus untuk orang-orang yang serius. Sebagai contoh mudah, bila kita mula bertekad untuk membuang karat-karat jahiliyyah yang ada dalam diri kita, kita akan dapati halangan-halangan dan cabaran-cabaran itu lebih besar berbanding bila kita belum bertekad untuk itu. Ini kerana apabila Allah telah menjanjikan dalam surah Al-Ankabut ;

"Dan barangsiapa yang bersungguh-sungguh di atas jalan Kami, akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami"

Ibnu Qayyim telah menyebutkan bahawa semakin banyak seseorang itu bersungguh-sungguh, maka semakin banyak petunjuk yang dia akan dapat. Dalam kes kita membuang karat-karat jahiliyyah, pintu hidayah pertama yang terbuka adalah bila kita memasang tekad untuk benar-benar tinggalkan perkara itu. 

Selepas itu, kita akan mula diuji, sama ada kita terus dengan niat yang baik itu, atau hanya sekadar semangat tahi ayam. Jika kita berjaya pada peringkat seterusnya, kita akan terus lagi diuji oleh Allah, sehingga kita berjumpa-Nya, dalam keadaan hati yang sejahtera.

Jika kita perhatikan, dalam kes ini, saya boleh ibaratkan, seorang remaja yang punyai karat-karat jahiliyyah yang penuh dalam hatinya yang kotor. Kemudian dia mahu berubah dan kembali pada Tuhannya dengan hati yang pasrah. Dalam keadaan ini, dia pasti akan menyental hatinya yang kotor itu dengan segala apa ubat kotoran yang sesuai pada kadarnya.

Allah s.w.t sangat penyayang dan sangat memahami tabiat hidup manusia. Dalam akhir ayat tadi ;

" Dan barangsiapa yang bersungguh-sungguh di atas jalan Kami, pasti Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat kebaikan " - Al-Ankabut : 69

Sebelum Allah tunjukkan lagi hidayah pada mereka yang bersungguh-sungguh tadi, Allah telah menjanjikan bahawa kebersamaan-Nya terjamin dengan mereka. Bagi saya ia cukup-cukup menarik untuk ditadabbur dan diperhatikan. Saya cuba bayangkan seorang remaja tadi yang kusut kepala memikirkan segala cabaran-cabaran yang dihadapi, sudah pasti jiwanya terubat jika dia memahami bahawa Allah sedang bersamanya ketika itu.

Allah bersamanya ketika dia mula-mula memasang niat, Allah sentiasa ada di situ. Kalau kita hadapi masalah yang besar, lantas ada orang sudi bersama kita mendengar, itupun sudah cukup besar bagi kita. Tapi sebelum kita hadapi lagi, Allah sudah tawarkan kebersamaannya kepada kita .. yang mahukan kebaikan itu.

Mungkin contoh yang saya bagi sudah terlalu biasa, tapi saya mahu mengambil satu sudut yang lain dalam kisah-kisah yang akan saya bawakan ;

Kisah hijrah Rasulullah s.a.w. Ketika di Gua Tsur, Rasulullah s.a.w tidak pernah menyangka bahawa orang kafir akan juga dapat menjejaki baginda bersama Abu Bakar r.a. 

Kisah perang Badar, Rasulullah s.a.w dan para sahabat tidak pernah menyangka bahawa mereka akan bertemu dengan pasukan Abu Jahal (yang penuh persiapan perang), sedangkan dalam perancangan mereka hanya ingin menyekat kafilah dagangan Abu Sufyan.

Kisah pembelahan laut oleh Musa a.s. Tak pernah langsung terlintas dalam benak pemikiran dan perancangan Musa a.s bahawa beliau dan kaumnya (Bani Israel) akan melintasi Laut Merah itu, ketika mereka dikejar Firaun dan konco-konconya.

Kisah Abu Bakar r.a ketika menghadapi golongan yang tidak mahu bayar zakat. Ia merupakan suatu kisah mengejut dan sangat kritikal, yang tidak pernah dihadapi oleh umat Islam sebelum itu. Ia perlukan suatu ijtihad yang sangat tepat dalam membuat keputusan.

Memang dan sememangnya banyak lagi kisah-kisah yang boleh kita nukilkan di sini, yang berkaitan dengan 'perkara luar jangkaan'. Namun bukan saya mahu ceritakan apa keistimewaannya atau kehebatannya di penghujung. Saya hanya mahu bawa pembaca memahami konsep ujian Allah pada seseorang hamba-Nya, dalam sudut-sudut yang hanya diketahui oleh-Nya.

Dalam Gua Tsur, Allah telah menghantar labah-labah untuk buat sarang dan burung merpati untuk bersarang di situ. Lantas ia memperdayakan orang kafir sehingga menganggap tiada orang di situ.

Dalam perang Badar, Allah telah memenangkan tentera muslimin 313 itu dengan bantuan dan pertolongan-Nya dari bentuk malaikat yang beribu-ribu turun dari langit.

Dalam pembelahan laut oleh Musa a.s, Allah telah menyuruh Musa untuk mengetuk tongkatnya itu pada laut dan terbelah dua sehingga membolehkan mereka melintasi Laut Merah itu dan menenggelamkan Firaun.

Dalam kisah Abu Bakar tadi, Allah telah memberikan kemenangan kepada umat Islam, walaupun golongan yang tidak mahu bayar zakat itu tidak sedikit. 

Kesemuanya itu, menunjukkan Allah telah menolong mereka yang benar dalam menghadapi ujian-ujian tersebut. Perhatikan perilaku Rasulullah ketika di dalam gua, apakah yang dikatakan oleh baginda ?? 

"Adakah engkau mengira wahai Abu Bakar, kita ini berdua sedangkan Allah yang ketiga ??"

Dalam perang Badar, salah seorang sahabat telah berkata kepada Rasulullah ;

"Kami sekali-kali tidak akan menjadi seperti Bani Israel yang berkata kepada Musa a.s (ketika Musa a.s menyuruh mereka masuk ke Baitul Maqdis untuk membuka kota tersebut) ; Pergilah engkau bersama Tuhanmu dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami akan duduk di sini - di luar menunggu sehingga mereka yang di dalam itu keluar. Bahkan kami akan berkata "Pergilah engkau bersama Tuhanmu, sesungguhnya kami setia berperang bersamamu".

Selepas itu Allah telah memenangkan tentera Badar yang menjadi sejarah hingga ke hari ini.

Ketika Musa a.s tiba di laut dan para kaumnya telah berkata ketika Firaun telah hampir ; "Habislah kita akan ditangkap (sebab tiada jalan di depan)".

Musa a.s telah menjawap : "Bahkan tidak sekali-kali. Sesungguhnya bersamaku ada Tuhanku, Dia akan menunjukkan jalan".

Selepas itu baru Allah mewahyukan kepada Musa a.s untuk mengetuk tongkatnya ke laut, dan mereka akhirnya terselamat dan Firaun tenggelam bersama pengikutnya.

Ketika kisah Abu Bakar r.a pula, beliau telah berkata ketika Umar r.a berbincang dengannya. Umar berkata : Adakah engkau mahu memerangi mereka yang tidak mahu bayar zakat sedangkan musuh kita yang di luar itupun sudah ramai ??

Lantas Abu Bakar dengan tegas berkata : "Demi Allah, aku akan memerangi sesiapa yang memisahkan antara solat dan zakat". Dan juga dalam riwayat lain mengatakan : "Adakah agama itu akan berkurangan sedangkan aku masih hidup ???"

Kesemuanya itu berlaku dengan cantiknya, selepas peristiwa-peristiwa mengejut dan suspen. Ia boleh dikategorikan sebagai tempat-tempat yang kritikal bagi sesuatu cerita. Namun, mungkin di kalangan kita tidak mengetahui susunan Allah yang maha mengetahui, dalam menyusun sesuatu perkara.

--

Jika Allah menguji hamba-Nya dalam keadaan penuh persediaan dan penuh bekalan, maka ujian itu tidak begitu menguji kerana bekalan dan persediaan rapi telah dilakukan oleh seseorang hamba. Tetapi Allah menguji hamba-Nya dengan 'kejutan-kejutan', agar pada ketika itu, Dia mahu melihat sejauhmana ketergantungannya pada Allah benar-benar kuat, sejauhmana keimanannya benar-benar utuh, sejauhmana benarnya pengakuannya yang sebelum ini menanam tekad dan keazaman untuk menempuh jalan mujahadah yang sangat panjang ini.

Pada ketika kejutan itu berlaku, hilanglah segala asbab dan musabab, hilanglah segala daya dan kudrat, hilanglah segala perancangan dan persediaan. Yang tinggal hanyalah kebersamaan Allah yang mahu diuji, adakah kita mampu rasakan Dia bersama kita atau kita akan kecewa dengan kejutan-kejutan yang menimpa kita ? Adakah kita masih mampu optimis dan positif pada waktu yang sangat genting itu ? Adakah kita masih 'benar' waktu itu ?

Maka, saya suka sebutkan sekali lagi, bahawa sekiranya anda menerima kejutan-kejutan yang mungkin mematahkan semangat dan harapan anda, janganlah terlalu kecewa dan rasa suspen sangat, jangan sesekali berasa takut dengan apa yang berlaku, tapi takutlah pada diri anda yang mungkin tidak mampu menjadi sekental Musa, Rasulullah s.a.w, dan Abu Bakar r.a seperti peristiwa-peristiwa di atas.

Itulah bentuk ujian-ujian Allah yang sedikit kepada kita, untuk menguji kita. Tiadalah yang mampu menyelamatkan kita, meneguhkan kita, menetapkan kita, melainkan keimanan kita dan keyakinan kita pada janji Allah itu.

Bagi saya, Allah bukan mahu menguji luaran kita atau fizikal kita dari bentuk kebendaan dan persiapan jasadi, tapi Allah sebenarnya mahu menguji hati-hati kita, iman kita, jiwa kita, dan keazaman kita, kerana ia penentu segalanya. Dan kesemua itu tidak dapat diuji, melainkan pada perkara-perkara yang mengejut yang menghilangkan segala bentuk material yang kita persiapkan.

Bagi seorang remaja, ia mungkin berbentuk ejekan dan kutukan kawan-kawan ketika kita mahu berubah. Ia juga mungkin berbentuk perubahan rutin atau sebagainya yang kita rasa agak mengejut. Banyak lagi kejutan yang anda boleh senaraikan sendiri. 

"You may have not chosen the moments, but the moments have chosen you" - Spartacus

Tapi yakinlah, selepas kejutan-kejutan yang Allah bagi yang mungkin agak menggugat kita, pastinya ada kejutan yang lebih besar lagi daripada itu, iaitu kejutan kemenangan bagi orang yang benar dalam perjalanannya menuju Allah. Lihat balik kisah-kisah tadi, semuanya berakhir dengan kegemilangan yang tidak pernah disangka-sangka. 

Biasanya hero ini timbul bila keadaan-keadaan yang luar jangkaan berlaku kan ??

-- 

Post ini mungkin berkaitan dengan soalan seperti dalam shoutbox itu, dan saya mahu ia bersifat umum. Tapi saya hanya mahu cuba tanamkan sifat keyakinan dan keseriusan dahulu, kemudian baru mudah untuk pergi ke step yang seterusnya. Saya juga masih belajar dan akan terus belajar, dengan izin Allah.

Semoga Allah permudahkan kita semuanya dalam jalan menuju-Nya yang jauh, panjang, penat dan penuh liku dan duri. Sebarang komentar jika mahu dipanjangkan dan dibincangkan sangatlah digalakkan, untuk manfaat kesemuanya terutama penulis. 

Bukankah topik pembinaan diri adalah suatu topik asasi dalam hidup kita ?

Wallahua'lam.

Wassalam.

Saturday, July 17, 2010

Soalan cepu emas


Salam.

Apa khabar ? InsyaAllah baik, alhamdulillah.

--

Sila bayangkan situasi ini ;

Jika anda merupakan seorang murid kepada seorang guru. Guru anda mendidik anda dengan sepenuh belaian kasih sayang dan keseriusan dalam membentuk jatidiri Islam pada diri anda. Duit guru anda habis kerana kerenah anda yang pelbagai. Masa guru anda habis kerana masalah-masalah anda yang anda ceritakan padanya, lantas beliau sudi menjadi pendengar setia.

Guru anda serius mendidik anda dan memandu anda sehingga anda mampu menangis di malam hari mengenangkan dosa-dosa anda dan memikirkan perihal umat anda yang sedang tenat, sedangkan dulunya anda menangis kerana ditinggalkan kekasih anda. Jatidiri anda berdarah dagingkan dakwah dan tarbiyyah, sedangkan dulunya ia penuh dengan karat jahiliyyah. Jiwa anda jiwa daie yang tak boleh duduk diam, sedangkan dulunya anda suka duduk rumah dan lepak-lepak tak buat apa-apa pun yang bermanfaat. Pandangan anda adalah pandangan manusia tarbawi yang sentiasa optimis dan mahu memperbaiki dan mengislah umat, sedangkan dulunya pandangan anda sangat pesimis dan anda hanya mengatakan kepada umat yang sedang tenat ini ; TIADA HARAPAN BAGIMU. 

Dalam buku peribadi anda tersenarai puluhan bahkan mungkin ratusan nama-nama mad'u yang anda plan untuk mengajak mereka ke arah Islam yang anda faham, sedangkan dulunya terdapat nombor-nombor telefon kenalan perempuan yang anda biasa hubungi. Dalam komputer riba anda terdapat berbagai video-video Islam yang boleh menyedarkan umat, sedangkan dulunya ia sarat dengan video-video inggeris yang tak habis-habis seasonnya. Dalam kehidupan seharian anda ada zikir matsurat, ada wirid Quran, ada ziarah sahabat, ada telefon keluarga, ada sedekah dan ada bermacam-macam lagi perkara baik, sedangkan dulunya ia sarat dengan membuang masa pada perkara yang tidak berfaedah.

Diri anda terbentuk sebegitu rupa kerana didikan guru anda yang ikhlas dan benar-benar serius untuk menjadikan anda individu muslim sejati. Dalam didikannya tidak langsung diselitkan berbagai ajaran sesat dan akidah yang salah, bahkan sarat dengan kisah-kisah sirah yang cukup mendidik dan menyentuh jiwa anda sehinggakan anda mampu merasakan anda hidup dalam zaman Nabi s.a.w, kerana beliau mengaitkan satu-persatu peristiwa dalam hidup anda dengan sirah Nabi s.a.w yang telah lama berlalu sejak 1400 tahun yang lepas. 

Tsiqah anda terbina terhadap guru anda selama ini, kerana amalnya, belanjanya, luangan waktunya, smsnya, telefonnya, taujihatnya, nasihatnya, dan bermacam-macam lagi yang membuatkan anda tersentuh hati kerana uslub pendidikan guru anda benar-benar mengikut acuan fitrah anda. Akhirnya, anda cinta pada guru anda kerana dia telah menyelamatkan anda daripada api neraka, dan menunjukkan pada anda jalan orang yang serius berjuang. Proses cinta anda pada guru anda memakan masa bertahun-tahun lamanya, dan anda hanya hargainya bila anda berpisah dengan masa-masa TARBIYAH bersamanya satu ketika dahulu.

Tiba-tiba ;

Ada orang datang, dan mengatakan anda telah menerima ajaran yang salah dari seorang guru yang salah. Anda telah sesat kerana ajaran guru itu sesat. Orang itu memberikan bukti-bukti yang kiranya kukuh untuk membuktikan kesalahan guru anda. Orang itu menyatakan bahawa anda tidak boleh berjuang di atas jalan yang telah ditunjukkan guru anda kerana kumpulan guru anda tidak benar dan boleh menyesatkan manusia yang lain. 

Sesi itu berlaku hanya kira-kira 1 jam mungkin, atau 5 jam mungkin, atau mungkin berhari-hari. Orang itu tak membelanjakan wang mereka yang banyak untuk mendidik anda (bahkan mungkin tidak pernah mendidik anda pun), tidak meluangkan bertahun-tahun waktu hidup mereka untuk menasihati dan memerhati perangai anda, orang itu langsung tidak pernah kenal perjalanan hidup anda atau kisah silam anda. Orang itu mungkin orang asing bagi diri anda.

Apa anda buat ?

Kalau saya, saya senyum saja. Waraskah saya kalau saya terima bulat-bulat apa yang diberitahu ? Siapa yang lebih saya percaya dan tsiqah ? Setara mana usahanya agar saya lebih tsiqah padanya berbanding usaha guru saya yang bertahun-tahun lamanya itu, siapakah dia pada saya dalam perjalanan hidup saya sendiri secara peribadi ?  Wajarkah imej guru anda yang begitu anda percaya dengan kebaikannya dan hati budinya, yang telah tertanam sejak bertahun-tahun lamanya, digantikan dengan imejnya yang buruk dan sesat hanya dengan kata-kata panas sejam dua daripada orang yang kurang dikenali ?

Jawapannya sudah pasti tidak waras dan tidak wajar. Bahkan saya pada ketika itu PERLU untuk siasat dulu perkara-perkara tersebut untuk memastikan kesahihannya.

Pada ketika itu, ada dua pilihan. Pilihan pertama ; pergi bertemu dengan guru saya itu atau saya siasat. Pilihan kedua ; tak layan apa yang orang itu cakap kerana ia tak menambahkan amal saya dan iman saya. Kalau saya sekarang ini sesat atau salah, tunjukkanlah buktinya.

--

Bila kita fahami bahawa dakwah ini adalah milik Allah, maka Allah yang akan menjaganya. Kita tidak boleh risau langsung dengan kemenangan dakwah, kerana ia pasti menang. Kita perlu risau diri kita, di mana kita dalam membantu kemenangan itu.

Bila kita fahami bahawa Allah mencipta sesuatu dengan ketetapannya, maka kita mesti mengetahui apakah dia hukum alam atau sunnatullah pada setiap sesuatu itu, supaya kita boleh fahami tabiat sesuatu perkara. Bila tabiat satu-satu perkara kita fahami, maka keputusan kita tepat, perkiraan kita benar, percaturan kita sesuai dan perancangan kita teratur dan tersusun.

Tadarruj atau berperingkat merupakan suatu sunnatullah yang terlaksana di muka bumi Allah ini. Manusia terhasil daripada air mani lalu berubah menjadi janin dan menjadi bayi kemudian membesar. Pokok asalnya daripada biji benih, lantas dengan tempoh tertentu dan faktor tertentu, ia mampu bercambah dan berbunga lantas berbuah. 

Hatta Allah s.w.t sendiripun mencipta langit dan bumi dalam tempoh enam hari, bukan Dia tak boleh menciptakan sekaligus, tapi ingin menyampaikan mesej, bahawa Dia punyai ketersusunan yang sangat detail dan ilmu yang sangat luas. Ia juga menunjukkan proses berperingkat adalah salah satu ciri-ciri alam yang tidak boleh disangkal.

Jika kita memahami dakwah Allah ini dengan kefahaman yang sejahtera, maka kita perlu faham bahawa dalam dakwah ini juga ada peringkat-peringkatnya. Dalam mencapai tsiqah ada peringkatnya. Dalam memulakan dakwah ada juga peringkat-peringkatnya. Jika kita tidak mengetahui undang-undang alam atau fitrah dakwah Allah ini, maka takut-takut kita tersilap langkah dan mengundang bahaya yang lebih besar atas tindakan kita yang tergesa-gesa.

Al-Banna menyebut, barangsiapa yang mahu memetik buah sebelum masak, maka kami tidak bersamanya. Beliau juga menyebut, janganlah kamu melanggar undang-undang alam (sunnatullah), kerana ia sentiasa akan menang. Dengan pemahaman yang benar terhadap tadarrujiyatud dakwah (sifat dakwah yang berperingkat), maka langkah kita akan sentiasa tenang dan terpandu, dan tidak tergesa-gesa dalam menyampaikan maklumat pada orang yang jauh lagi jalannya untuk fahami perkara tersebut.

Saya sayang murabbi-murabbi saya kerana mereka mengajar saya prinsip ini. Mereka tidak pernah meminta untuk disayangi atau ditsiqahi atau dipatuhi atau apa-apa pun, mereka hanya mengajar saya berpegang pada prinsip-prinsip asasi ini, agar dengannya saya mampu berjalan dengan sejahtera dan merdeka dalam membuat keputusan-keputusan yang tepat,  dalam hidup saya sendiri, bukan hidup guru saya, bukan juga hidup orang lain tadi itu, atau hidup ibubapa saya, atau hidup sesiapa pun, tapi ... ia adalah untuk hidup saya. Sayalah yang bertanggungjawap atas pemilihan saya ini.

Terima kasih guru, kerana mengajarku erti kemerdekaan pada diri dalam perhambaanku pada Ilahi.

Indah sungguh dakwah itu, jika kita fahami tabiatnya yang sungguh menarik, dengan kefahaman fitrah yang sejahtera.

Wallahua'lam.

Wassalam.

Saturday, July 03, 2010

Feel things right


Salam.

Keif hal ? Bikheir InsyaAllah.

Terima kasih kepada semua yang sempat ucapkan selamat hari lahir. Moga Allah membalas pahala orang-orang yang jujur dan ikhlas dalam berukhuwwah.

Yang tak sempat, tak apa. Saya berpegang kepada kaedah "Adamul Wijdan la Yastalzimul 'Adam" - tidak menjumpai tidak semestinya bererti ia memang tiada. InsyaAllah teruskan mendoakan di luar pengetahuan saya. Terima kasih dan jazakumullahu khairan.

--

Post kali ini saya buat ringkas dan santai. Namun ia bagi saya banyak menyelesaikan masalah-masalah (secara maknawi) dalam kehidupan seharian kita. 

See it right in the first place

Bila orang tanya : Apa yang menggembirakan anda ?

Apa yang terlintas di fikiran kita ? Kawan ? Makanan ? Keseronokan ?

Saya mahu jawap : Allah.

Bila orang tanya : Apa yang menakutkan anda ?

Apa yang terlintas ? Musuh ? Syaitan ? Neraka ? Bala bencana atau apa-apa musibah ?

Saya mahu jawap : Diri sendiri.

--

Hikmah di sebalik jawapan ? Saya tak mahu ulas panjang. Adik saya kata saya suka tulis panjang-panjang. Maka saya mahu raikan juga pembaca yang suka baca pendek-pendek.

Dalam soalan pertama, saya mahu jawap Allah kerana Dialah pemberi segala kegembiraan, Dialah yang Maha Adil, Dialah yang Maha Menjaga, dan Dia tidak pernah menzalimi sesiapa. Maka tiada yang dapat memberi kegembiraan melainkan Allah, Tuhan Penjaga Dakwah.

"Sesungguhnya Allah tidak akan zalim walau sebesar zarah. Bahkan sekiranya ada sebesar zarah itu berbentuk kebaikan, maka Dia akan melipatgandakannya dan memberikan dari sisi-Nya ganjaran yang sangat besar" - Surah An-Nisa'

Untuk soalan kedua, saya jawap diri saya sendiri kerana yang menjadikan manusia itu sedih dan dukacita hanyalah diri mereka sendiri. Berapa banyak ayat Al-Quran menyebut mafhumnya ;

"Apa-apa yang menimpa kamu daripada kebaikan maka ia adalah daripada Allah. Dan apa-apa yang menimpa kamu daripada keburukan maka ia adalah daripada dirimu sendiri"

"Sesungguhnya Allah tidak sesekali menzalimi manusia, sedangkan merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri."

Dalam Tahzib Al-Aqidah At-Tohawiyah (yang dikarang oleh Abd Mun'im Solih Al-Aliyy Al-Izzy a.k.a Abu Ammar) mentakwil 'daripada dirimu sendiri' (sedangkan kedua-duanya adalah secara hakikatnya daripada Allah), bermaksud : daripada sebab kesalahan dirimu, maka Allah turunkan keburukan padamu.

--

Saya mahu ambil kata-kata dua orang ulama' yang saya kagumi, Ibnu Qayyim Al-Jauziyah dan Ibnu Athoillah As-Sakandari, berkenaan dua perkara ini.

Ibnu Qayyim menyebut dalam Fawaidnya (saya beri secara ringkas) ;

"Manusia ketika mengadu mengenai sesuatu perkara ada tiga golongan. Golongan pertama, mereka mengadu masalah Allah kepada sesama manusia. Golongan kedua, mereka mengadu masalah manusia kepada Allah. Golongan ketiga, mereka mengadu masalah diri mereka sendiri kepada Allah"

Mungkin pembaca tertanya-tanya, apa maksud masalah Allah ? Maksud masalah Allah di sini adalah segala bala bencana yg ditimpa kepadanya, berbentuk musibah dan kekecewaan. Martabat pertama adalah martabat kebanyakan manusia. Mereka bila ditimpa masalah, mereka akan mengadu pada teman-teman, dan sesiapa yang mereka mahu. 

Golongan kedua adalah golongan yang lebih tinggi martabatnya. Mereka mengadukan masalah yang berlaku ke atas mereka, kepada Allah. Lantas mereka menyebut satu persatu masalah si fulan bin fulan, di dalam tahajjud dan tangisannya kepada Allah.

Golongan ketiga adalah golongan yang paling tinggi martabatnya. Mereka mengadukan masalah diri mereka sendiri kepada Allah. Ini kerana mereka meyakini bahawa segala yang buruk adalah datang daripada sebab diri mereka sendiri (boleh rujuk dalil di atas). Lantas segala kesalahan dan kekecewaan yang menimpa mereka, mereka tidak memalitkannya pada orang lain, bahkan pada dirinya sendiri. Lantas mereka mengadu kecuaian mereka, dan kesilapan mereka, kepada Allah.

Mengenai contoh golongan ketiga ini, kita boleh lihat kisah Nabi s.a.w selepas berdakwah di Taif. Apa yang Nabi s.a.w adukan pada Allah ?

"Ya Allah, sesungguhnya aku mengadu pada-Mu lemahnya kekuatanku, sedikitnya helahku, dan hinanya aku di sisi manusia. Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah, dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapa yang akan Engkau tinggalkanku padanya ? Adakah kepada orang yang jauh daripadaku lantas menyerangku dan menghancurkanku ? Ataupun kepada orang dekat yang Engkau berikan padanya urusanku ?? Selagimana Engkau tidak marah padaku, tidak akan sekali-kali aku berpaling .."

Kalau kita lihat dalam doa baginda s.a.w, langsung tak terdapat kata-kata seperti "penduduk Taif telah melempar batu padaku, sehingga badanku berdarah .. aku telah dihalau.. " atau apa jenis bentuk aduan-aduan. Tapi tidak sekali-kali, bahkan baginda hanya mengadu kelemahannya semata-mata. Subhanallah.

Tunggulah saya di kolammu wahai kekasih Allah !

--

Ibnu Athoillah As-Sakandari dalam Al-Hikam pula menyebut :

"Jika engkau mahu buka pintu raja' (pengharapan kepada Allah) maka lihatlah apa yang Allah sediakan untukmu. Jika engkau mahu bukan pintu khauf (ketakutan pada Allah) maka lihatlah apa yang telah engkau lakukan pada-Nya".

Secara mudahnya, jika kita melihat apa yang Allah sediakan dari bentuk syurga dan nikmat-Nya, dari bentuk pintu taubat yang terbuka dan rahmat-Nya, maka pengharapan kita akan bertambah-tambah dan kita sangat-sangat inginkan perkara tersebut.

Tetapi jika kita melihat diri kita sendiri, dari segi kesilapan dan dosa yang banyak, maka itu akan menimbulkan rasa takut yang sangat dahsyat, sehingga kita rasa hampir mustahil untuk kita ke syurga.

Seorang mukmin yang benar adalah seorang yang mengimbangi di antara kedua-duanya, Al-Khouf dan Ar-Raja'. Mereka seimbang pada keduanya.

--

1 Julai merupakan hari pertengahan tahun. Cubalah kira. Kalau tidak tepat-tepat di tengah-tengah pun pasti beza dua atau tiga hari. Saya bukan mahu menilik atau menyatakan fadhilat-fadhilat tarikh seperti ahli nujum atau pakar horoskop. Tapi cuma tertarik dengan tarikh tersebut yang rasanya memberi banyak teguran pada diri saya setiap sempena hari kelahiran.

Ia menegur saya untuk menjadi seorang mukmin yang seimbang. Islam mengajar kita bahawa sebaik-baik perkara adalah pada pertengahannya. Islam mengajar kita kena seimbang antara khauf dan raja'. Islam juga mengajar kita agar keseimbangan amalan dakwie perlu selari dengan amal fardie dan tarbawi. 

"Dan demikianlah Kami telah menjadikan kamu satu umat pertengahan" - Surah Al-Baqarah

Ada tafsiran yang mengatakan maksud umat pertengahan itu adalah umat yang adil. Tidak memberat-beratkan dan tidak meringan-ringankan.

--

Kesimpulan yang saya ingin bawakan di sini, adalah jika kita ingin hidup bahagia, aman tenteram dan harmoni, maka sebenarnya penyelesaian masalah yang diajarkan oleh Islam itu sangat praktikal dan waqiey (realiti).

Dengan memandang kesalahan pada diri, kita jadi husnuzzon dengan orang lain. Dengan memandang kebaikan semuanya pada Allah, kita jadi husnuzzon dalam semua perkara. Dalam membentuk kedua-dua perkara itu, Islam mengajar kita untuk menjadi mukmin yang seimbang dan tawazun dalam semua perkara.

Seimbang dan adil tidak bermakna 50-50, tetapi ia bermaksud memberikan suatu pada haknya yang sepatutnya. Memberikan hak badan, hak saudara, hak ukhuwwah, hak ahli bait, hak keluarga, hak akal dan berbagai hak lagi, semuanya perlu diberikan pada kadar yang sesuai.

Indah tak dunia yang dipenuhi dengan husnuzzon dan kasih sayang ?

Maka baru dengan ini baru kita boleh fahami hadis Nabi s.a.w :

"Sesungguhnya Allah itu Maha Cantik, dan sukakan kecantikan"

Selamat memandang dunia dalam perspektif yang penuh kecantikan dan keindahan.

p/s : Orang kata pada saya ; umur dah 23 ni .. bila nak dirikan masjid ? Saya jawap : Sebelum kita fikir nak dirikan masjid, saya nak fikir untuk bebaskan masjid dulu.

(Qabla an nabniya masjidan, Lazim an nuharrira masjidan)

Al-Aqsa sudah lama menunggu di sana. Darah-darah syuhada' dah lama memberikan harumannya pada kita. Tak rasa rindu ? Ataupun .. tak rasa malu ?

Wallahua'lam. Wassalam. 

p.p/s : Maaf, terpanjang pula.