Alpha To Omega: January 2010

Wednesday, January 13, 2010

Memories to seek


Salam.
Kif hal ? Moga-moga dalam rahmat Allah.

Hari ini dua orang sahabat karib saya, yang banyak memberi tunjuk ajar, teladan, berkongsi pengalaman, berkongsi maklumat, mendidik, menasihat dan sebagainya, telah pulang ke Malaysia (Back for Good).
Ust Musab Norkefli dan Ust Salman Abd Rahman.

Dengan tempoh masak selama yang bertahun-tahun Mesir, saya doakan agar mereka berdua dapat terus istiqamah dan thabat meneruskan langkah dalam mengharungi jalan perjuangan yang panjang dan masih jauh, walaupun sudah jelas lagi bersuluh jalan dan matlamatnya.

Perkongsian ini agak panjang. Sila komen jika ada apa-apa.

--

Memory that means

Bila kita ditinggalkan orang yang selalu duduk dengan kita, atau kawan rapat, atau siapa-siapa saja yang pernah berdamping dengan kita, kebiasaannya kita akan rasa kehilangan sesuatu. Suatu yang tidak terkata dan tersebutkan. Biasanya kita akan sayu sebentar, atau lebih rapat lagi orang itu pasti kita akan menangis.

Kita kemudian akan teringatkan kenangan-kenangan manis atau pahit bersama dengannya. Dan kebiasaannya yang pahit itu yang akan selalu diingat kerana waktu susah itu banyak mendidik, sudah pasti terlekat dalam diri.

Memori atau kenangan ini merupakan suatu yang sukar nak hilang. Tak kira zaman silam yang gelap atau terang benderang. Ia sukar dibuang dan dilupakan, tak kira baik atau buruk.

Dalam masa yang sama, ia merupakan aset peribadi yang mahal dan sangat berharga dalam diri seseorang. Tidak perlu buang jika ia berharga. Kenapa mencari kenangan yang gelap jika tahu tidak mudah untuk dibuang ?

Jika kita ada datuk nenek yang pernah hidup zaman tokoh-tokoh Islam zaman sebelum kita, tidak kiralah Hasan Al-Banna, atau Malaysia, Tok Janggut, Tok Kenali dan sebagainya, sudah pasti kita akan mendengar cerita-cerita mereka mengenai hidup mereka bersamanya. Ia adalah memori yang sangat berharga. Ya, bahkan ia tidak perlu dibuang atau dilupakan malah dicatat mungkin dalam catatan atau diari peribadi untuk disimpan sebagai, sebuah memori manis yang berharga.

Ini kerana memori itu sendiri adalah tempoh atau masa hidup manusia. Yang diingatinya hanyalah segelintir memori manis kerana pertemuannya yang sungguh bermakna, atau tarikh perkahwinannya, atau hari di mana mereka mendapat cahaya mata buat kali pertama.

Nabi s.a.w telah mengambil isu ini dalam aspek yang sangat mendalam. Baginda malah mengkategorikan jenis-jenis sahabat yang pernah 'bersama' baginda s.a.w. Ada jenis 'Ahli Badar', ada jenis 'Golongan Awal memeluk Islam', ada jenis 'Ahli Baiatul Ridhwan', ada 'Bai'atul Aqabah' dan sebagainya. Setiap golongan atau kategori itu ada tahapnya di sisi baginda s.a.w.

Para sahabat r.a punyai kenangan yang sangat indah gilang gemilang, maka memori mengenai mereka terpahat, dengan dakwat dalam beratus-ratus jilid kisah dan cerita mengenai kehebatan, kemuliaan, kecintaan pada Nabi s.a.w dan sebagainya. Malah dengan memori kisah mereka itu, dapat mencipta berjuta-juta 'rijal' yang mencipta 'memori' mereka, walaupun terkadang umur tak sampai 50 tahun, atau mungkin 30 tahun.

Dengan riwayat hidup mereka bersama Nabi s.a.w dan akhlak mereka sendiri, akhirnya berjaya menjadi antara 'kamus' rujukan, bagi orang yang mahu hidup seperti mereka. Ya Allah jadikan aku di kalangan mereka.

Cuba kita buat satu perkara yang sangat bermakna, sudah pasti ia akan diingati sampai bila-bila. Cukuplah kita ingatinya dan hargainya tanpa memikirkan peringatan daripada orang lain, cukup jadi bukti kita hidup kerana Allah di hadapan Allah nanti.

Bandingkan pula jika kita hanya duduk leka lalai tidur dan buat apa-apa yang kurang diingati. Umur akan bertambah, ajal makin dekat, duit juga pasti akan berkurang kerana kita juga perlu makan dan minum. Akhirnya jika kita mati tanpa perkara-perkara yang boleh membentuk sebuah 'memori terindah' (maksud saya perkara syarie) maka dengan hidup apa yang akan kita bawa bertemu Allah nanti ?

Dengan pengamatan yang bagi saya agak mendalam ini, baru kita dapat memahami maksud tersirat kata-kata Imam Hasan Al-Banna ; "Waktu itu adalah kehidupan".

Umur hidupnya tak sampai 45 tahun, tapi mampu untuk mencetus idea pemikiran yang digunapakai di seluruh dunia hingga kini. Memorinya terpahat dalam buku Muzakkirat Dakwah wad Da'iyah (Memori Dakwah dan Daie) yang menjadi antara bahan yang sangat bermanfaat untuk mencontohi peribadi beliau sebagai seorang daie murabbi yang komprehensif.

Waktu sewaktu kita hidup, adalah hidup kita sendiri. Jika kita tidak mencipta memori yang agung, serta tidak berusaha ke arah itu, maka matilah kita dalam kebiasaan orang-orang awam yang makan minum pergi kerja balik rumah tidur lalu mati.

Tapi jika kita berjuang mencari dan mencipta sebanyak mungkin memori yang indah dan bermanfaat serta boleh menjadi bahan rujukan generasi selepas ini.

Bayangkan alangkah indahnya tika kita bertemu para sahabat r.a dan anbiya' di syurga nanti - Ya Allah jadikan aku di kalangan mereka - kita akan punyai banyak kisah untuk bersembang, banyak sangat memori-memori indah kita tika hidup di dunia untuk dikongsi ... di syurga nanti.

Tika itu, Rasulullah s.a.w akan tersenyum, jika kita berkata ;
"Wahai Kekasihku, dulu aku juga pernah terkena musibah seperti itu" , ketika Rasulullah s.a.w bercerita kisahnya di Taif.

Nabi Nuh a.s pasti akan menepuk belakang dada kita, jika kita berkata ;
"Wahai Dzul Azmi Nuh a.s, anakku tidak dapat mengikuti aku ke syurga walaupun sudah berhempas pulas aku mengajaknya kepada Islam" lantas kita bersedih,
Namun tika itu Nuh a.s akan menjawab ;
"Aku juga merasai kepedihan perasaanmu wahai Si Fulan bin Si Fulan".

Khalilullah Ibrahim a.s pasti akan memeluk kita tika kita bercerita ;
"Aku dulunya diperangi ayahku, kemudian aku dibuang negara, kemudian aku berhijrah ke negara tu dan negara ini dan macam-macam lagi"
Lalu Ibrahim a.s membisik di telinga kita ;
"Sabarlah wahai kekasihku, sesungguhnya, aku benar-benar telah merasai pengorbananmu di jalan dakwah ini"

Akhirnya tika itu, Allah s.w.t akan berkata ;

"Wahai hamba-Ku, ketahuilah bahawa semua itu telah Ku tahu, Ku lihat, Ku perhatikan, Ku rancang, Ku aturkan, lantas Aku jadikan kalian sebagai orang yang layak diletakkan di situ, lantas Aku jadikan kalian hidup penuh azam dan sabar, akhirnya tidak ada tempat yang layak bagi kalian melainkan Syurga-Ku yang dipenuhi segala nikmat yang kalian mahukan"

Ya Allah, jadikan aku di kalangan mereka.

-------

Tidakkah memori dalam hidup kita ini suatu yang sangat mahal ?
Carilah ia, binalah ia, moga kita bersama dapat bersembang mengenainya di Firdaus-Nya yang tertinggi dan termulia.
Ameen.
Wallahua'lam.

Wassalam.

p/s : Doakan saya exam 16-30 Januari 2010. Syukran.

Sunday, January 03, 2010

Be Here, Be Together


Salam.
Selamat Tahun Baru Hijri 1431.
Selamat Tahun Baru 2010.

Kif hal ? Lama tidak update. Alhamdulillah kini masih dalam recovery dari demam, tinggal batuk-batuk yang sudah dekat dua minggu. Ramai juga kawan-kawan sedang demam sekarang. Rabbuna yasyfiina jamian wa yu'aafiina.

Tahun Baru.

Azam baru saya tahun ini mudah saja.

1. Saf pertama dalam solat
2. Menghadam manhaj Ikhwan Muslimin
3. Melazimi azkar Imam Ghazali
4. Hidup 'ihsan', bersama Allah sentiasa (berplan dan detail)

Ada lagi yang lain-lain, tapi itu tak perlu cerita rasanya.
Perkongsian di bawah agak panjang. Sila komen sekiranya perlu.

--

Point of Togetherness (Makna Kebersamaan)

Sejak kebelakangan ini, saya sering mendalami erti kebersamaan.
Ia mungkin berkait rapat dengan hubungan kemanusiaan, pada kebanyakan orang.

Dalam kehidupan seharian, manusia seringkai perlu kepada teman. Teman meluah perasaan. Teman untuk bersama, buat kerja bersama, bergelak ketawa bersama. Teman yang sering bersama akan lebih diingati, berbanding teman yang jumpa sekejap pastu berlalu pergi.

Para daie mengambil kefahaman atau fiqh ini untuk menawan hati para mad'u. Mereka merasakan kepentingan mu'ayashah (hidup bersama-sama) dan mukhalatah (bergaul) bersama mad'u / objek dakwah mereka.

Manusia yang stress dan kecewa serta risau, sangat perlu kepada teman yang setia. Ia boleh jadi, seorang manusia istimewa, atau seorang kawan lama, atau juga ibubapa yang sedia mendengar rintihan anak-anak yang selalu cerita masalah sambil berlinangan air mata. Itu lumrah manusia.

Kalimah-kalimah cinta biasanya seperti "I'm with you", "I will be there if you need me" , "I'm always here", "You're in my heart" dan sebagainya. Ia sebenarnya mengambil tempat dalam hati manusia, agar memberi ketenangan dan ketenteraman yang kadang-kadang tidak malmus (dirasai dari segi luaran) tetapi ia cukup untuk memberikan suatu jenis kebahagiaan yang lebih berbanding perkara-perkara zahir.

Bahkan, ia merupakan suatu kalimah kesetiaan yang bukan semua orang boleh mampu berkata begitu, tetapi menjanjikan sebuah kebahagiaan yang tidak tergambar.

Ia bukan tidak islamik, bahkan ia dirasai sahabat ketika kematian Rasulullah s.a.w. Ketika Bilal melaungkan azan selepas beberapa tahun kewafatan baginda s.a.w, satu Madinah menangis, terkenang kebersamaan Rasulullah s.a.w tika bersama membina masjid, menggali parit, bersiap-siap ke Tabuk, bergelak ketawa, berziarah dan sebagainya.

--

Baru-baru ini saya seringkali tertangkap kalimah ma'a (bersama) di dalam Al-Quran. Antaranya

"Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar"
"Allah bersama orang bertaqwa"
"Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada"

Sungguh banyak Allah tonjolkan keberadaannya. Bagi saya, ia menunjukkan pelawaan-pelawaan Allah kepada para hamba-Nya, untuk berasa tenang, tenteram, aman dan damai, dengan keberadaan Sang Maha Pengasih di sisi. Kebersamaan Allah itu kebiasaannya dikaitkan dengan orang-orang yang bersifat sabar, taqwa, pejuang dan semua yang susah-susah belaka.

Muslim akan merasa penat dengan kesabarannya. Letih dalam mencari taqwanya. Kecewa dalam kekuranghasilan dakwahnya. Dia perlu teman, perlu tempat luah perasaan, perlu orang yang sentiasa bersamanya dalam keperitan, tangisan dan kepayahan. Lantas Allah menyapa, dengan lembut, seolah-olah Dia berkata ;

"Wahai hambaku .. Aku sentiasa di sisi mu"
"Wahai hambaku yang sudah penat bersabar, menahan diri daripada larangan, Aku sentiasa nampak apa yang kau buat"

Pemahaman ini dibawa oleh Nabi s.a.w ketika di Gua Tsur, apabila Abu Bakar r.a berkata ;
Wahai Rasulullah, sekiranya salah seorang daripada mereka menundukkan kepala mereka, sudah pasti kita akan disedari dan ditangkap.

Rasulullah menjawap ;
"Apa kamu kira kita ini berdua ? Sesungguhnya Allah adalah yang ketiga"
atau dalam Surah Taubah ;
"Jangan risau, sesungguhnya Allah bersama kita"

Fitrah pejuang yang baru memulakan perjuangan akan merasa berat dan takut akan memikul amanah dakwah yang sangat berat. Ia suatu perkara biasa, namun Allah sudah pasti akan menolong. Ia dapat dilihat dalam kisah Musa a.s dalam surah Taha ;
"Mereka berdua berkata (Musa dan Harun) wahai Tuhan kami, kami takut-takut akan diancam dan diperdayakan oleh Firaun"

Lantas Allah membalas ;
"Janganlah kamu berdua takut, sesungguhnya Aku bersama kamu, Aku mendengar dan melihat"

Dalam surah Asy-Syu'ara' :
"Kami bersama kamu, turut sama mendengar"

Seolah-olah "Aku bersamamu, bermakna Aku akan membantumu, kamu buat kerja kamu, Aku akan buat bahagian Aku" ....

----

Sesungguhnya Allah itu hadir. Dan sesiapa yang merasai kehadirannya dan kebersamaannya, akan mengetahui betapa tingginya nilai sifat rahmat dan kasihnya Allah pada hamba-Nya.

Kalau orang yang selalu menyapa kita, calling-calling kita, duduk bersama kita, bersembang dengan kita pun kita sangat rasa keprihatinan mereka, apatah lagi Allah yang sentiasa bersama, melihat, mendengar, yang sentiasa memanggil-manggil kita, agar kebersamaan-Nya dirasai oleh semua makhluk, semata-mata demi kesejahteraan makhluk-Nya.

Saya akhiri tajuk ini dengan kata-kata Junaid Al-Baghdadi (seorang ahli zuhud yang tsiqah) ;
Apabila ditanya mengenai cinta Allah ;

"Seorang hamba yang berlepas dari nafsunya, sentiasa berzikir mengingati Tuhannya, menunaikan hak-hak Tuhannya, melihat kepada-Nya dengan mata hati.

Sekiranya dia berkata, maka dengan Allah, sekiranya bertutur maka mengenai Allah, sekiranya bergerak, maka kerana urusan Allah, sekiranya berhenti, maka dia bersama Allah. Maka dia itu dengan Allah, untuk Allah dan bersama Allah" - Al-Awaiq, Abu Ammar.

Wallahua'lam.