Begini caraku
Salam.
Apa khabar ? Moga-moga semua dalam keadaan baik insyaAllah. Alhamdulillah ala kullin ni'am.
p/s : Post ini agak panjang, dan berat.
--
Baru-baru ini banyak perkara yang berlaku, menyentuh sekitar persoalan jemaah dan siyasah dakwah. Alhamdulillah, Allah berikan ketenangan kepada diri untuk teruskan melangkah dan merancang kerja Islam dengan kudrat yang ada dan masa yang sangat tidak mencukupi.
Al-Wajibaat Aksaru Minal Awqaat (Kewajipan lebih banyak daripada masa) - Al-Banna
Saya hanya mahu berkongsi beberapa perkara berkaitan 2 persoalan di atas ;
1. Asas jemaah dakwah.
Jemaah dakwah diasaskan di atas satu gagasan fikrah dan manhaj amal yang tersendiri. Ia bukan diasaskan atas bentuk kebendaan atau kebajikan semata-mata atau sekelompok organisasi yang terdiri dari hanya beberapa golongan sahaja untuk kepentingan pihak tertentu.
Sekiranya ada beberapa orang menganggap jemaah dakwah adalah sebuah persatuan kebajikan semata-mata maka pandangan itu ada sedikit yang perlu diperbetulkan. Jemaah dakwah jelas manhajnya, ke mana yang nak dituju, dan apa yang dikehendaki. Ia mensasarkan pembinaan peribadi muslim yang jitu dan mengimpikan daulah Islam yang akan tertegak. Dari A ke Z.
Jalannya terbentang dan telah terlukis. Ia bukan terikut-ikut dengan rentak semasa dan bermain-main dengan isu serta berdasarkan permintaan sesiapa. Langkah-langkah telah termaktub dan jemaah dakwah telah sedia maklum apa yang dikehendakinya. Isunya sabit sejak zaman Nabi s.a.w lagi, tiada yang menolaknya melainkan iman.
Al-Banna menyebut (mafhum) ;
"Kami mengetahui sepenuhnya dengan jelas apa yang kami mahukan. Kami mahukan pertamanya adalah individu muslim, kemudian keluarga muslim yang terbentuk daripada individu tersebut. Daripada keluarga-keluarga muslim, akan terbentuknya mujtama' (masyarakat) muslim" - risalah Ila Syabab
2. Cara jemaah dakwah berkembang
Perkara ini sangat berkaitan dengan fikrah taghyiir (perubahan) yang kita fahami. Fikrah kita adalah tabanni.. dan bukan qafzi. Dengan kata lain kita memahami bahawa dakwah ini akan berkembang dengan cara membina (tarbiyyah) dan bukan melompat ke atas dan mengambil kerusi pemerintahan lalu barulah melakukan perubahan.
Penjelasan saya ;
- dakwah Rasulullah tidak terbina atas asas lompat melompat kemudian mengubah dari atas
- kebiasaannya orang yang cepat naik akan cepat jatuh
- kebiasaannya orang yang tidak faham fikrah taghyiir akan fikir nak cepat dapat daulah dan tergesa-gesa.
Saya suka untuk mengatakan bahawa dakwah kita adalah dakwah fitrah, perkembangannya adalah perkembangan yang selari dengan fitrah. Ia perlukan masa untuk berkembang, dan perlukan manhaj yang jelas serta caranya juga adalah cara fitrah.
Apakah maksud cara fitrah ? Ia adalah seperti kita fahami tuntutan keperluan alam semulajadi. Bagaimana bayi boleh membesar .. pokok boleh tumbuh sehingga menjulang tinggi dan contoh-contoh semulajadi yang lain.
Bayi yang berumur 1 bulan, kemampuannya sangat berbeza dengan bayi yang berumur 3 tahun. Dan sangat berbeza dengan kanak-kanak yang berumur 6 tahun. Serta lagilah jauh bezanya dengan orang tua yang sudah berumur 60 tahun.
Begitulah kefahaman kita terhadap dakwah yang rabbani, ia akan berkembang sesuai dengan kemampuannya, dan secara beransur-ansur hinggalah ia mampu berdiri tegak. Seperti dalam surah Al-Fath
"Perumpamaan (generasi mukmin yang mengikut Muhammad s.a.w) itu adalah seperti biji benih yang bercambah mengeluarkan tunasnya, kemudian tunasnya semakin kuat lalu menjadi besar dan tegak lurus di atas batangnya" - Surah Al-Fath
Saya melihat ada beberapa orang yang merasakan dakwahnya telah berkembang apabila mereka dapat senarai nama untuk disusun usrahnya sedangkan nama itu beliau tidak pernah pun kenal siapa mereka dan adakah mereka ini bersedia untuk ditarbiyyah.
Ini adalah apa yang berlaku di sekolah-sekolah, bahkan mungkin juga ada yang berlaku di universiti, mereka menyusun nama-nama dan meletak naqib ... hanya susun-susun secara rawak dan kemudian baru jalankan usrah. Saya tidak mengatakan cara ini salah, tetapi ia tidak akan menjamin hasil tarbiyyah yang jitu sekiranya penapisan dan pemilihan tidak dilakukan dengan kemas. Masuknya orang-orang yang lemah jatidiri ke dalam saf hanya akan melemahkan jemaah dakwah itu sendiri.
Ia bukanlah 'usrah'sepertimana yang sepatutnya difahami. Ia mungkin sekadar smart-circle atau halaqah yang boleh menambahkan iman (insyaAllah) dan beri sedikit kefahaman dan kesedaran Islam.
Perkara tsawabit yang wajib diimani oleh semua ahli jemaah adalah pentingnya penapisan manusia dan pemilihan yang ketat untuk memastikan dakwah yang mereka bawa ini murni dan bersih suci, sebelum memasukkan manusia ke dalam saf.
Atas sebab itu, antara ciri-ciri IM mereka tidak mendekati pengaruh orang-orang kenamaan. Ini kerana sekiranya manusia pergi kepada mereka atas sebab orang-orang besar ini, maka seolah-olah jemaah dakwah yang mulia ini menempel pada mereka. Sedangkan perkara itu adalah perkara yang tidak selayaknya, kerana dakwah adalah mulia dan lebih mulia daripada duit-duit orang kenamaan dan populariti mereka.
Dakwah ini akan berkembang dengan caranya tersendiri dan kekuatannya tersendiri, tanpa perlu bergantung kepada pengaruh-pengaruh orang besar atau duit-duit orang kenamaan untuk berkembang pesat. Duit mungkin boleh beli macam-macam, tapi selamanya ia takkan mampu membeli rijal.
Sekiranya jemaah dakwah mampu menghimpunkan ratusan manusia sedangkan kemampuan tarbiyyahnya hanya cukup untuk belasan manusia, maka perkiraan itu silap sama sekali. Bahkan ia akan membawa jemaah dakwah kepada suatu malapetaka yang lebih besar.
Persoalan : Adakah kita memilih-milih manusia ??
Biasanya ini antara syubhat yang dilontarkan untuk menampakkan sisi buruk bagi sesebuah jemaah.
Saya hanya mahu bagi perumpamaan dengan syarikat Microsoft. Sebuah produk yang mantap dan dikenali dunia. Namun berapa ramai yang boleh jadi pekerja dalam syarikat Microsoft ? Pastinya ada interview yang ketat untuk menjaga kualiti produk tersebut. Namun, adakah produk Microsoft tidak boleh dibeli oleh semua orang ?? Jawapannya sudah pasti tidak. Kita semua layak dan boleh (mampu) untuk beli produk Microsoft.
Samalah seperti sebuah jemaah dakwah. Kita memilih siapa yang akan bersama kita yang akan pikul beban dakwah yang sangat berat ini, untuk kemaslahatan dakwah dan jemaah. Tetapi ia tidak bermaksud kita memilih manusia-manusia yang akan terima dakwah kita. Dakwah kita untuk seluruh alam. Siapa kita untuk menghadkan dakwah ini kepada sesetengah golongan sahaja ?
---
Tiada apa yang boleh menggerakkan dakwah ini melainkan Iman yang jitu dan mekar subur dalam jiwa-jiwa rijal yang memahami dakwah ini. Segala perkara teknikal selepas itu akan jadi mudah jika ada rijal yang faham.
Sekiranya rijal dakwah mengharapkan dakwah ini akan tertegak hanya dengan usaha-usaha dari pihak luar (selain mereka) maka pemahaman ini cukup salah dan bertentangan dengan kefahaman dakwah Rasulullah s.a.w. Dakwah itu adalah turun padang, pergi muayasyah, bersembang menyelesaikan masalah, mengatur perancangan yang rapi dan jitu, pergi ke hulu ke hilir untuk sebarkan kefahaman Islam, follow-up yang kerap dan bermacam-macam lagi.
Tidakkah kita pernah baca surah Yasin ;
"Dan telah datang dari hujung kota, seorang lelaki dengan tergesa-gesa. Dia berkata "Wahai kaumku ikutilah para utusan Allah itu" - surah Yasin
Lelaki itu ;
- faham mas'uliah (tanggungjawap dakwah) itu terpikul atas bahunya (bukan bahu orang lain) lantas pergi menuju kaumnya (walaupun beliau bukanlah nabi atau rasul)
- faham dakwah itu hanya berkembang dengan rijal, lalu dia yang pergi kepada kaumnya, bukannya semata-mata berdoa dan tidak beramal
- faham dakwah itu adalah penat lelah, lalu dia pergi dengan cepat dan segera
- faham dakwah itu adalah menyelematkan manusia, lalu dia sanggup pergi walaupun dari hujung kota untuk selamatkan kaumnya
Jangan sekali-kali daie menganggap dirinya boleh duduk rehat tidur sebanyaknya, lalu dia boleh masuk syurga dengan aman dan damai. Tidakkah kita pernah baca ;
"Adakah kamu menyangka kamu akan masuk syurga sedangkan belum lagi datang cubaan-cubaan kepada kamu sepertimana yang berlaku kepada kaum sebelum kamu ? Mereka telah ditimpa kesusahan dan keperitan serta tergoncang keyakinan mereka, sehingalah Rasul dan orang yang beriman berkata ; bilakah pertolongan Allah itu sampai ? Ketahuilah (pada ketika itu) bahawa pertolongan Allah itu dekat" - surah Al-Baqarah
"Adakah kamu menyangka kamu akan masuk syurga sedangkan Allah belum lagi mengetahui (kamu belum lagi diuji) siapa yang benar-benar bermujahadah di kalangan kamu dan orang-orang yang sabar" - surah Ali Imran
---
Saya akhiri dengan kata-kata Al-Banna dalam Risalah Muktamar Kelima :
"Aku mahu berterus terang kepada kamu, kerana tidak ada manfaat buat kami melainkan dengan terus terang. Sesungguhnya medan percakapan berlainan dengan medan khayalan. Dan medan amal berlainan dengan kata-kata, dan medan jihad berlainan dengan medan amal. Medan jihad yang benar pula berlainan dengan medan jihad yang salah.
Kebanyakan manusia mudah untuk berkhayal, tetapi bukanlah semua khayalan itu mampu diterbitkan dengan kata-kata, dan daripada kebanyakan mereka yang berkata-kata, sedikit sahaja daripada mereka yang tetap tsabat atas landasan amal, kemudian kebanyakan mereka yang beramal pula (daripada yang sedikit tadi), hanya sedikit daripada mereka yang mampu memikul beban jihad yang perit dan amal yang keras. Mereka itulah para mujahidin, dan mereka itulah sofwah (manusia-manusia yang suci) yang sedikit sahaja penolongnya. Mereka itu pula, kadang-kadang boleh tersalah jalan dan tidak mencapai tujuan sekiranya tidak mendapat pertolongan Allah, dan sesungguhnya pada kisah Talut ada penerangan dengan apa yang aku cakapkan ini.
Maka sediakanlah dirimu, sediakanlah ia dengan tarbiyyah yang sahih, dan pemilihan yang ketat, dan ujilah ia dengan amal, amal yang kuat dan tidak disukai oleh nafsu, yang susah dan perit hadapinya, dan pisahkanlah dirimu daripada syahawat, kebiasaannya dan rutinnya"
---
Sebarang pertanyaan atau perbincangan, silakan.
Wallahua'lam.