Alpha To Omega: January 2013

Friday, January 11, 2013

Polimik Kalimah Allah dan Keredhaan Kuffar

Salam war wabt.

Moga kalian semua sihat sejahtera. Berikut adalah kritikan saya terhadap penulisan YB Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor, dalam penulisan beliau yang bertajuk ; Kalimah Allah : Mengapa Berpolimik Lagi ?

Saya akan cuba hurai sebaik mungkin, dari sudut Fiqh, Usul Fiqh dan Maqasid Syariah. Moga Allah memberikan kita hidayah-Nya dan menunjukkan kita jalan-Nya.

Tulisan beliau boleh dibaca di sini.

Khulasah penulisan Dr Dzul ;

1. Ada dua sudut perkiraan dalam MT PAS – penjagaan akidah & dakwah non Muslim.
2. Menggunakan al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber pertama untuk membuat hukum, baru kemudian merujuk kepada kaedah-kaedah seperti sad zarai’ dsb. Dengan itu beliau menggunakan dalil asal Al-Quran.
3. Disengagement dan siege mentality yang ada dalam golongan ulamak penjaga akidah.
4. Engagement dan berdakwah lebih utama, untuk elakkan pengasingan dengan non-Muslim
5. Fiqh Nusus difahami dengan Fiqh Waqi’ (perlu lihat nusus kemudian disesuaikan dengan waqi’)

---

Sebelum berkomentar, saya ingin berkongsi satu kaedah dalam disiplin ilmu syarak ; iaitu “Kata-kata orang jahil / bukan ahlinya, tidak dikira secara syarak”. Atas sebab itu ulama’ meletakkan disiplin dalam menjadi ahli ijtihad, agar manusia tidak bermudah-mudah mendakwa-dakwa dalam syarak apa yang tiada padanya. 

Antara syarat ijtihad adalah ;
  • 1.      Menghafaz Ayat-ayat dan dalil Hukum
  • 2.      Fasih berbahasa Arab
  • 3.      Mengetahui ilmu fiqh dan usul fiqh
  • 4.      Mengetahui nasakh dan mansukh
  • 5.      Mengetahui sebab nuzul ayat Quran dan sebab turunnya Hadis
  • 6.      Memahami maqasid syarak
  • 7.      Dan beberapa syarat yang lain lagi.


Ini seperti yang disebutkan kebanyakan ulamak seperti Asy-Syatibi, Al-Isnawi, Al-Ghazali dan ulamak-ulamak muktabar yang lain.

Sebenarnya ini juga kebimbangan bagi para ulama’ yang telah menyatakan pendapat bahawa pintu ijtihad telah tertutup  kerana wujudnya golongan yang memandai-mandai dalam urusan agama lalu menipu manusia dengan tipu muslihat mereka.

Walaupun pendapat “pintu ijtihad telah tertutup” ini telah disangkal kuat oleh Imam As-Suyuti (911H) dalam kitabnya yang berjudul ‘Ar-Radd Ala Man Akhlada Ilal Ardh, wa Ankara bi annal Ijtihad fi Kulli Asr Fardh’, namun kerisauan itu sewajarnya dipertimbang agar agama ini tidak dipermainkan oleh orang-orang yang bukan ahlinya.

Atas sebab itu Imam Asy-Syatibi (790H) menyebut ;

“Sesuatu ijtihad itu jika ia berkaitan dengan nas-nas syarak, maka diperlukan padanya ilmu mengenai bahasa Arab, dan jika ia berkaitan dengan makna-makna syarak, maka diperlukan padanya ilmu mengenai Maqasid Syarak” – Al-Muwafaqat 4/126

Kalaulah mereka ini ahlinya, maka komentar saya dari sudut Fiqh, Usul Fiqh dan Maqasid Syarak adalah sebegini ;

1. Bila berlaku pertembungan antara dua aliran tadi, yang lebih tepat pandangannya di Malaysia adalah aliran yang ingin menjaga dan mempertahan akidah umat Islam.
  • 1.      Kerana menjaga akidah umat Islam adalah daf’ mafsadah, dan berdakwah kepada non-Muslim adalah jalb maslhahah. Kaedah Fiqh menyatakan bahawa “Menolak mudharat lebih utama berbanding mendatangkan maslahat”.
  • 2.      Memelihara akidah merupakan Maqasid (Tujuan) Utama dalam segala Maqasid yang lain. Ini disebut sendiri oleh Imam Al-Juwaini dalam Al-Burhan.
  • 3.      Kaedah Sadd Adz-Dzarai’e yang bermaksud menutup pintu kepada keburukan, sekiranya keburukan itu jelas dan hakiki. Kaedah ini berasas dari kaedah “An-Nadzru fi Ma-alaatil Af’al Mu’tabarun Syar’an” (Melihat kepada penghujung sesuatu perbuatan adalah muktabar dari sudut syarak) – Al-Muwafaqat : 4/194
  • 4.      Kalaupun dikira pertembungan antara dua maslahat (dakwah dan akidah), maslahah lebih besar adalah memelihara akidah umat Islam dengan kaedah “Mengambil Maslahah yang lebih besar dengan menolak maslahah yang kecil”.
  • 5.      Maslahah Mursalah (yang tidak disebut secara spesifik dalam nas). Isu larangan penggunaan kalimah Allah boleh dimasukkan dalam bab ini. Ini seperti yang disebut oleh Al-Ghazali bahawa ; “Setiap maslahah yang merujuk kepada penjagaan maqasid syarak, yang diketahui ianya memang dikehendaki dalam Al-Quran, As-Sunnah dan Al-Ijma’, maka ia tidak terkeluar daripada usul ini (Al-Quran, Sunnah, Ijmak), namun ia bukanlah dinamakan Qiyas, tetapi disebut sebagai Maslahah Mursalah” – Imam Al-Ghazali, Al-Mustashfa : 1/311


2. Kaedah fiqh yang sumber asalnya adalah nas al-quran dan sunnah, juga dikira sebagai nas yang qot’ie. Ini jelas difahami oleh sesiapa yang belajar Qawaid Fiqhiyyah, di mana terdapat perbincangan ulamak mengenai sejauhmana kaedah fiqh dikira sebagai hujjah.

Ulama’ bersepakat bahawa mana-mana kaedah Fiqh yang mana sumbernya adalah nas syarak, maka ia adala hujjah, kerana berhujjah dengan kaedah tersebut secara realitinya adalah berhujjah dengan sumbernya.
Oleh itu, mana-mana kaedah yang asasnya adalah dalil-dalil syarak, maka kedudukannya mengikut dalil tersebut. Contohnya kaedah Adh-Dhoror Yuzaal, ia adalah kaedah yang terpakai sekali bersama dengan dalil-dalil Al-Quran dan Sunnah yang muktabar.

3. Adapun kaedah Sadd Adz-Dzara’ie adalah salah satu kaedah  yang terpakai sekali dengan Al-Quran dan As-Sunnah, dengan dalil Allah mengharamkan perkara yang membawa kepada haram. Contoh ; La Taqrabuz Zina – berzina itu salah, mendekatinya pun salah kerana ia adalah jalan kepadanya.

Contoh yang lain pula adalah arahan menundukkan pandangan dalam surah An-Nur ayat 30 ; “Katakanlah (wahai Muhamamd) kepada orang mukminin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka”
Maka kaedah Sadd Adz-Dzara’ie juga terpakai dengan syarat ia membawa kepada mafsadah yang jelas dan hakiki, dan ia memang berlaku secara kebiasaannya.

Pemberian kebenaran menggunakan kalimah Allah di Malaysia, terpakai padanya kaedah Sadd Adz-Dzara’ie, kerana mafsadah yang terhasil adalah JELAS dan HAKIKI iaitu memelihara agama. Apa yang menunjukkan ia membawa kepada mafsadah secara kebiasaannya, boleh kita lihat di negara jiran di Indonesia di mana penggunaan kalimah Allah berleluasa oleh non-Muslim.

Adapun mahu membawa hukum ini kepada HARUS maka perlu ada MASLAHAT yang LEBIH KUAT daripada mafsadah itu tadi. Ini kerana ‘Apa yang diharamkan dengan Sadd Adz-Dzara’ie, boleh jadi HARUS sekiranya ada maslahat yang RAJIH’

Contoh yang boleh diberi adalah, pada asalnya WAJIB menundukkan pandangan, namun ia boleh menjadi HARUS sekiranya yang dipandang itu adalah untuk tujuan berkahwin (bertunang), maka ia adalah keharusan yang sabit dengan hadis Nabi SAW.

4. Engagement jika diistilahkan dalam Bahasa Arab untuk kita masukkan ia dalam hukum fiqh, sama ada ia  adalah At-Ta’amul, ataupun At-Tahaaluf. Ta’amul ertinya adalah pergaulan dalam hidup bersama, kalau tahaaluf pula ertinya adalah sama-sama berjanji pada beberapa perkara tertentu.

Hidup bersama dengan masyarakat majmuk, dasarnya adalah ayat surah Al-Mumtahanah ayat 8 ;
“Allah tidak menghalang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu dalam agama, dan tidak menghalau kamu dari negeri kamu, sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil”.

Tujuan ayat tersebut memang adalah untuk menunjukkan tingginya rahmat Islam sehingga MEMBENARKAN dan MENGGALAKKAN untuk berbuat baik kepada orang kafir yang TIDAK MEMUSUHI umat Islam. Ia tidak melibatkan untung rugi kekuasaan Islam, tetapi ia adalah isu akhlak dan komunikasi harian serta membentuk masyarakat awam yang harmoni.

Namun bagi prinsip tahaluf, kerana ia melibatkan politik, untung rugi, kuasa dan polisi-polisi (apatah lagi jika ia melibatkan prinsip akidah), maka prinsip ‘co-exist’  (hidup bersama) dalam ayat 8 tadi bukanlah dasar yang terpakai.

Bahkan kalau kita perhatikan ayat seterusnya dalam surah yang sama ;

“Sesungguhnya Allah melarang kamu untuk melantik dan berkawan dengan orang kafir yang memerangi kamu dalam agama, dan menghalau kamu keluar dari negara kamu, serta berkonspirasi untuk mengusirmu, sesiapa yang melantik mereka dan bersahabat dengan mereka maka sesungguhnya dia termasuk dalam golongan orang yang zalim”

Oleh itu dalam hal ini, dalil-dalil yang terpakai bukanlah dalil berlembut dengan orang kafir, tetapi adalah ayat yang menyuruh untuk bertegas dalam pertahankan prinsip dan keuntungan umat Islam ;

1.      Al-Maidah ; ayat 54 – mereka itu (pembela agama Allah) berlembut dengan orang muslim dan berkeras dengan orang kafir
2.      Al-Fath ; ayat 29 – dan orang-orang yang bersama dia (Nabi SAW) adalah sangat bertegas dengan orang kafir dan berkasih sayang sesama mereka
3.      Al-Nisa’ ; ayat 141 – dan Allah tidak akan memberikan jalan kepada orang kafir untuk mengalahkan / menguasai orang beriman
4.      Al-Kafirun 1-4 ; - katakanlah (wahai Muhammad) ; Hai orang kafir, aku tidak menyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak menyembah apa yang aku sembah, dan tidaklah aku menyembah apa yang kamu sembah, serta kamu tidak pula menyembah apa yang aku sembah. Bagimu agamamu, dan bagiku agamaku.  
5.      Al-Qalam ; ayat 9 - mereka berharap agar kamu bersikap lunak, maka mereka boleh bersikap lunak

Ini kerana tujuan dalam Siyasah Syariah adalah meninggikan kalimah Allah, dan menjaga kekuasaan di tangan umat Islam seperti yang disebut oleh Imam Al-Juwaini dalam Al-Ghiyathi.

“Sesungguhnya semua pemimpin itu mengambil tampuk kekuasaan mereka untuk menjadi wasilah untuk menegakkan agama” – Al-Ghiyathi

Jadinya dalam bab ini orang Islam dan orang kafir (sekiranya dalam negara yang diistilahkan dengan negara Islam), maka ia tidak boleh dalam martabat yang sama. Bahkan Islam perlu dominan bagi memastikan maslahat untuk Islam lebih besar dari maslahat untuk golongan kafir.

Saya kira maksud kedua lebih tepat digunakan dalam perihal ini, kerana ia melibatkan polisi dan undang-undang negara, bukan semata-mata tatacara kehidupan awam. Maka ia kembali kepada hukum bertahaluf dengan kumpulan orang kafir iaitu hukum asalnya tidak boleh atas hadis Nabi SAW yang melarang meminta pertolongan orang kafir, tanpa dharurat yang dibenarkan, dan mematuhi syarat-syarat yang cukup ketat.

Jika mahu dikaitkan dengan Hilf Al-Fudhul yang melibatkan perkara-perkara nilai sejagat seperti keadilan dan menolak kezaliman, kes pembenaran penggunaan kalimah Allah ini langsung tidak sama dengan kisah Hilf Fudhul. Di manakah kezaliman atau menuntut keadilan dalam isu pembenaran penggunaan kalimah Allah ini ?

Engagement yang berlaku hingga melibatkan kebenaran penggunaan kalimah Allah, lebih-lebih lagi dalam bentuk terbitan makalah, bible atau apa bentuknya, bukanlah perkara dharurat, dan ‘penjagaan hati orang kafir’ tidak termasuk dalam ‘masyaqqah’ muktabar hingga boleh menggunakan hukum rukhsah, apatah lagi dikira sebagai dharurah yang boleh menghalalkan benda yang haram.

5. Kalaupun kita mahu katakan bahawa ENGAGEMENT itu adalah satu MASLAHAT DAKWAH yang lebih besar, maka kita harus ukur sejauhmana SYARAK mengiktiraf ia sebagai maslahat. Oleh itu ulama’ meletakkan DHAWABIT dalam menentukan sesuatu maslahat itu mengikut syarak ataupun tidak ;
  • 1.      Satu maslahat yang hakiki, bukan andaian
  • 2.      Maslahat itu adalah maslahat umum, bukan maslahat golongan tertentu
  • 3.      Maslahat itu tidak bercanggah dengan maslahat lain yang lebih kuat
  • 4.      Maslahat itu bertepatan dengan maqasid syarak


Jadi jika kita ukur Engagement yang disebut-sebut dalam artikel Dr Dzul tadi, adakah semua paling kurang 4 ciri ini tercapai ?

Yang pertama ; Benarkah ENGAGEMENT sebegitu rupa yang memasukkan manusia itu kepada Islam atau ia adalah muslihat orang kafir untuk mengelirukan orang Islam. Adakah ia satu perkara yang hakiki ? Sudah berapa ramai orang kafir mahu mengenali Islam hanya semata-mata mereka menggunakan kalimah Allah sebagai rujukan Tuhan ?

Yang kedua ; Berapa ramaikah orang Islam yang mendapat manfaat daripada maslahat (kalau dikira maslahat pun) ini ? Atau semuanya pada keuntungan undi orang kafir lalu kita membuat perhitungan sebegini ? Ia lebih mencurigakan kerana YANG MEMINTA perkara ini (orang Kristian) adalah golongan yang TAK MASUK LANGSUNG dalam perkiraan membuat hukum, atau menentukan mana satu maslahat atau mudharat.

Yang ketiga ; Secara jelas dan terang ia telah melanggar maslahat lain yang lebih kuat, iaitu sekatan terhadap dakyah Kristianisasi kepada golongan selepas ini. Berapa banyak lagi bukti-bukti yang HAKIKI yang kita peroleh, lebih-lebih lagi melihatkan jiran sebelah iaitu Indonesia yang mana perkataan Allah digunapakai sesuka hati oleh golongan kafir.

Yang keempat ; Maslahat ini tiada dalam syarak, bukan mu’amalat, bukan juga ‘ibadat ataupun jinayaat, maka bagaimana pula ingin dikaitkan dengan MAQASID SYARAK. Bahkan ia bertentangan dengan Maqasid Syarak yang pertama dalam Islam iaitu Memelihara Agama.

6. Siasah Syariah yang disalah erti. Al-Qardhawi ada menulis buku yang mudah difahami dalam memahami ruang lingkup siasah syariah ini, ataupun lebih mudah disebut sebagai politik berasaskan syarak.  
Beliau dalam kitabnya itu telah mensyarahkan usul ke-6 daripada 20 Usul yang ditulis oleh Imam Hasan Al-Banna. Ia berbunyi begini ;

“Dan pandangan pemerintah atau naibnya, terhadap apa yang tiada nas agama dalamnya, ataupun mempunyai banyak sisi pandang, ataupun maslahah mursalah, adalah terpakai (dari sudut syarak) selagimana ia tidak berlawanan dengan kaedah syarak”

Jadinya, sekiranya kita mahu sebut isu ini adalah isu perbezaan pandangan, maka yang dikira adalah pandangan pemerintah (ataupun disebut sebagai yang berautoriti). Sekiranya kita mahu kata ia adalah maslahah mursalah, ia juga adalah terpakai kerana pihak pemerintah mengharamkan penggunaan tersebut untuk menjaga maslahat agama. Ia tidak boleh dikira sebagai bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah kerana isunya bukan pada ‘boleh sebut atau tak boleh sebut’ tapi isunya adalah penjagaan akidah umat Islam daripada dakyah-dakyah dan kekeliruan yang timbul oleh orang kafir.

7. Saya meragui tulisan Dr Dzul yang mengatakan tujuan dakwah dan risalah itu adalah antaranya memupuk sikap saling mempercayai antara agama. Ini boleh kita fahami daripada tulisannya ;

“Selain ia bakal menyuburkan rasa benci (larangan penggunaan kalimah Allah), ia juga akan menjadi baja kepada sikap saling tidak mempercayai di antara agama, iaitu sesuatu yang berlawanan sama sekali dengan tujuan Dakwah dan Risalah. Secara umum, ini tidak boleh dipertahankan, malah kelihatan serba songsang dengan mindset ‘Dakwah Islam’ dan ‘Islam yang Universal’”

Saya tak tahu dari mana sumbernya kenyataan ini ? Adakah dari peti undi ataupun dari kitab-kitab dakwah yang muktabar ?

Yang saya tahu ia bercanggah dengan banyak ayat Al-Quran ;
1.      Orang yahudi dan nasrani tidak akan redha sama sekali dengan kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka – surah Al-Baqarah : 120
2.      Mereka sentiasa akan memerangi kamu sehinggalah mereka mengeluarkan kamu dari agama kamu – surah Al-Baqarah : 217
3.      Dialah yang mengutuskan rasul-Nya dengan hidayah dan agama yang benar, untuk memenangkan Islam ke atas semua agama yang ada, WALAUPUN DIBENCI OLEH ORANG KAFIR – surah As-Shoff : 9

8. Saya juga ingin berkomentar dalam perenggan terakhir kata-kata Dr Dzul ;

Benar, kami perlu memenangi hati-budi orang Islam-Melayu. Benar kami juga perlu mengambil jalan sederhana untuk mendapat sokongan ‘ruang tengah’. Namun lebih benar lagi ialah perjuangan kami untuk mencari keredhaan Allah terlebih dahulu dengan medukungi Kebenaran dan Keadilan dalam setiap waktu dan keadaan, meskipun bertentangan dengan kepentingan politik kepartaian kami sendiri.”

Saya setuju bahawa kita perlu mencari keredhaan Allah terlebih dahulu sebelum keredhaan orang muslim yang lain. Saya juga suka kenyataan bahawa ia adalah bertentangan dengan kepentingan politik kepartaian sendiri. Kelihatan tulisan Dr Dzul kali ini bercanggah dengan tulisan balasnya terhadap Us Zaharuddin Muhammad mengenai politik dan dakwah sebelum ini, tapi saya menganggap mungkin Dr Dzul sudah mengubah pendiriannya.

Namun keredhaan Allah juga tidak akan tercapai dengan keredhaan orang kafir kerana Allah selamanya tidak akan redha dengan orang kafir, dan orang kafir selamanya tidak akan redha dengan agama dan suruhan Allah, berdasarkan banyak nas-nas Al-Quran, antaranya yang telah disebutkan tadi.

Jadi untuk mencapai keredhaan Allah adalah kita mengikut apa yang Allah tetapkan dalam syariat-Nya, serta mengikuti manhaj Nabi SAW dalam perjuangannya.

Ini kerana apa yang disebut oleh Asy-Syatibi ;

“Tujuan syarak dalam menetapkan syariah adalah mengeluarkan seseorang mukallaf dari tuntutan hawa nafsunya, hinggalah dia menjadi hamba Allah secara pilihan, sepertimana ia adalah hamba Allah secara terpaksa”

9. Akhir kata, Dr Dzulkefly Ahmad adalah orang yang rapat dengan keluarga saya secara peribadi, dan beliau merupakan orang yang tidak asing lagi dalam hidup saya. Bahkan anak-anak beliau merupakan antara teman rapat dalam hidup saya. Namun seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Qayyim apabila mengkritik gurunya Ibnu Taimiyyah ;

"Syeikh Ibnu Taimiyyah adalah mulia bagi kami, namun kebenaran itu lebih kami cintai"

Maka di sini saya sebut, Dr Dzulkefly adalah orang yang terhormat bagi saya, namun kebenaran lebih saya cintai dan hormati. Tulisan ini hanyalah untuk melepaskan tanggungjawab kepada masyarakat awam untuk menjelaskan beberapa prinsip-prinsip syarak yang berkaitan.

Apa yang baik datang daripada Allah, yang salah dan silap adalah dari kelemahan diri saya sendiri.

Wallahua’lam.

11 Januari 2013