Alpha To Omega: March 2012

Saturday, March 17, 2012

Khutbah Nikah


Salam war wabt.

Alhamdulillah hari ini satu lagi pasangan sudah selesai diijabkabulkan di Masjid Salam, Hayy Asyir di Kaherah, Mesir.

Saya telah diamanahkan untuk memberikan khutbah nikah sempena akad nikah mereka.
Di sini saya sertakan teks khutbah tersebut, moga-moga memberi manfaat kepada kedua mempelai, pembaca dan orang-orang selepas ini.

---

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستهديه ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا إنه من يهده الله فلا مضل له ومن يضلله فلا هادي له , وأشهد أن محمدا عبد الله ورسوله ، بلغ الرسالة وأدى الأمانة ونصح للأمة وكشف الله به الغمة وتركنا على المحجة البيضاء ، ليلها كنهارها لا يزيغ عنها إلا هالك أو ضال . اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين . أما بعد ،

قال الله تعالى : يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله حق تقاته ولا تموتن إلا وأنتم مسلمون

Allah SWT berfirman : Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan muslim - Ali Imran

قال الله تعالى : يا أيها الناس اتقوا ربكم الذي خلقكم من نفس واحدة وخلق منها زوجها وبث منهما رجالا كثيرا ونساء واتقوا الله الذي تساءلون به والأرحام إن الله كان عليكم رقيبا

Allah SWT berfirman : Wahai sekalian manusia, takutlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dari satu nyawa, kemudian Dia telah menjadikan daripadanya itu isterinya. Dia jugalah yang telah mengembang-biakkan daripada kedua pasangan itu kaum lelaki dan kaum wanita. Oleh itu takutlah kepada Allah, yang kamu selalu meminta pertolongan kepadanya, serta jagalah ikatan silaturahim itu. Sesungguhnya Allah maha mengawasi terhadap apa yang kamu lakukan. - An-Nisa'

وقال تعالى : يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله وقولوا قولا سديدا . يصلح لكم أعمالكم ويغفرلكم ذنوبكم ومن يطع الله ورسوله فقد فاز فوزا عظيما

Allah SWT berfirman : Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan katakanlah kata-kata yang tepat/baik. Nescaya dengan itu sudah pasti Dia akan mengelokkan amalan kamu dan menghapuskan dosa-dosa kamu. Barangsiapa yang mentaati Allah dan rasul-Nya sesungguhnya dia telah memperoleh kemenangan yang besar - Al-Ahzab

أما بعد ، فإن الله أحل النكاح وندب إليه وحرم السفاح وأوعد عليه

Amma ba'du, sesungguhnya Allah telah menghalalkan pernikahan, dan menggalakkannya, serta mengharamkan penzinaan dan memberi ancaman terhadapnya.

قال تعالى : ولا تقربوا الزنا إنه كان فاحشة وساء سبيلا

Allah SWT berfirman : Janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya ia adalah satu perbuatan keji dan seburuk-buruk jalan - Al-Isra'

قال الرسول (ص) : النكاح سنتي فمن لم يعمل بسنتي فليس مني

Rasulullah SAW bersabda : Pernikahan itu adalah sunnahku (ikutanku), barang siapa yang tak beramal dengan sunnahku maka dia bukanlah dari kalangan aku.

وقال (ص) : أيما شاب تزوج عج شيطانه قائلا يا ويلاه عصم مني

Baginda SAW bersabda lagi : Apabila ada seseorang lelaki yang berkahwin, menjeritlah syaitannya seraya berkata ; celakalah diriku, dia telah terlepas dari tipudaya aku.

وقال أيضا : تزوجوا ولا تطلقوا فإن الله لا يحب الذواقين ولا الذواقات

Baginda SAW bersabda lagi : Berkahwinlah dan janganlah kamu bercerai-berai, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berkahwin hanya semata-mata mendapat kepuasan nafsu.

وقال أيضا : تزوجوا النساء فإنهن يأتين بالمال

Baginda SAW bersabda lagi : Kahwinilah wanita-wanita, kerana sesungguhnya mereka membawa keberkatan kepada rezeki.

Imam Al-Banna apabila menyebut mengenai peranan pemuda dalam risalahnya, beliau telah menjelaskan dengan terperinci apakah tangga-tangga menuju kebangkitan Islam itu sendiri. Beliau memulakan dengan pembinaan peribadi muslim dengan 10 ciri yang lengkap, kemudian beliau susuli dengan pembinaan keluarga muslim sebagai asas pembinaan sesebuah masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai Islam.

Dalam risalah Dakwah di Era Baru, Al-Banna menyebut ;

“Sesungguhnya Islam telah menetapkan peraturan dan kaedah untuk membina institusi keluarga yang utuh, lalu ia memandu manusia untuk membuat pemilihan isteri yang baik. Ia telah menerangkan cara yang paling afdhal untuk memulakan keluarga, serta menetapkan hak dan kewajipan antara kedua lelaki dan perempuan. Ia telah mewajibkan bagi kedua belah pihak meraikan hasil dari perkahwinan, sehinggalah ia matang dan berkembang tanpa disia-siakan dan dicuaikan. Ia telah memberi jalan penyelesaian yang paling baik di dalam menyelesaikan permasalahan rumahtangga, sehingga ia mencari jalan tengah dalam setiap perkara, tidak berlebihan dan tidak berkurangan” -

Oleh kerana ketinggian nilai perkahwinan di sisi Islam, maka Allah SWT telah mensyariatkan hukum hakam perkahwinan dengan detail bagi menjaga sistem kekeluargaan Islam untuk menjamin keutuhan sesebuah masyarakat.

Rasulullah SAW bersabda : Kahwinilah wanita yang penyayang dan boleh beranak ramai, kerana sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya umatku.

Ini dapat difahami bahawa pernikahan itu adalah pertama-tamanya urusan agama, sebelum ia menjadi urusan dunia. Ia juga difahami bahawa maksud pernikahan itu bukanlah kerana zatnya, tetapi adalah kerana perkara lain yang menjadikan ia sebagai jalan menujunya, iaitu pembinaan sebuah umat yang mengamalkan nilai-nilai Islam dan meneruskan perjuangan risalah.

Demikianlah yang telah disebut oleh Imam Tahir ibn Asyur bahawa rahsia di sebalik pensyariatan hukum-hukum kekeluargaan yang begitu detail adalah kerana semata-mata ingin menjaga institusi kekeluargaan yang merupakan batu asas untuk membina sebuah hadharah / tamadun yang hebat.

Dalam memahami peranan keluarga Muslim sebagai langkah kedua, Ust Mustafa Masyhur telah memberikan beberapa gambaran asasi yang perlu dipraktik oleh sesebuah keluarga dakwah. Beliau menyebut dalam kitabnya Tariq Dakwah bahawa peranan sesebuah keluarga muslim yang memikul dakwah itu adalah :

1. Sebagai salah satu risalah, di dalam membina generasi yang mengamalkan Islam sepenuhnya dari setiap sudut kehidupan

2. Sebagai markas dakwah dan qudwah kepada keluarga lain, memandu keluarga lain dan membimbing mereka

Demikianlah dua pesanan ringkas yang disebut, seraya membenarkan apa yang telah dilakukan oleh para sahabat dan tabiin. Terbinanya komuniti kekeluargaan yang kuat boleh menghasilkan tokoh-tokoh Islam yang terkemuka. Setiap tokoh yang hebat itu pasti terbina dari sebuah keluarga yang agung dan besar pengorbanannya.

Kisah Isa AS terbina dari seorang ibu suci yang menjaga kehormatan dirinya dan berkhidmat di Baitul Maqdis, kisah keagungan Rasulullah terbina dari kecekalan jiwa Aminah dan nasab kepahlawanan Abdul Muttalib yang mengalir dalam darah Abdullah, kisah Umar Abd Aziz terbina dari susur galur pemilihan menantu yang baik oleh Umar Al-Khattab, kisah Muhammad Al-Fateh bermula dengan seorang ibu yang setiap hari memberi inspirasi pembukaan kota konstantinopel dan begitu jugalah setiap tokoh-tokoh terkemuka seperti Al-Banna yang dididik oleh ayahnya yang juga seorang ahli hadis, Syed Qutb yang dididik dengan keluarga yang cintakan Al-Quran, dan selain mereka, kebanyakannya terhasil dari manbak soleh yang membentuk keperibadian unggul yang mencipta sejarah.

Demikianlah besarnya nilai sebuah institusi keluarga yang utuh, yang menatijahkan lahirnya generasi pahlawan dan mujaddid yang meletakkan Islam sebagai risalah tertinggi dalam hidup mereka.

فإن الأمور كلها بيد الله يقضي فيها ما يشاء ويحكم ما يريد ، لا مؤخر لما قدم ولا مقدم لما أخر ولا يجتمع اثنان إلا بقضاء وقدر وكتاب من الله سبق .

أقول قولي هذا وأتغفر الله لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات ولسائر إنه هو التواب الرحيم

--------------------

Demikianlah khutbah nikah ringkas yang disampaikan pada pagi tadi di Masjid Salam. Moga kedua mempelai meneruskan kehidupan sebagai hamba Allah yang lebih tinggi darjat dan martabatnya, dengan berlalunya fasa kehidupan, dan bertambahnya tanggungjawab dan amanah.

Ingatlah pesan Nabi SAW : At-Taqwa ha huna.

Wassalam.