Agar umatku bangkit
Salam.
Kif hal ? Moga semuanya sihat sejahtera.
p/s : Post ini panjang.
Kecelaruan Aliran Pemikiran
Sedang mengharungi hari-hari peperiksaan terakhir untuk BA Al-Azhar, isu-isu yang bermain di kepala asyik ligat memikirkan solusi dan pencerahan. Saya kira ini satu yang positif, di sebalik berjuang dalam peperiksaan untuk cemerlang, kita juga sewajibnya memikirkan apakah pendirian-pendirian yang sepatutnya kita pegang dan kemukakan kepada masyarakat awam, dengan status sebagai pejuang kebangkitan Islam, ketika berdiri di medan politik semasa, di Malaysia.
Secara umumnya, saya tak berniat untuk menulis panjang dengan penuh fakta yang berjela-jela dari buku-buku yang dikaji dan sebagainya. Ia lebih kepada ulasan dari sudut pemikiran yang saya fahami, daripada intipati Islam yang saya yakini.
Masa dulu ketika baru mengenal dakwah dan bersemangat untuk berjuang, saya fikir sifir perjuangan kita mudah. Mudah nak perkenalkan, dan mudah nak masyarakat faham. Bila begitu kita bersemangat kerana jalannya cerah terang benderang. Namun bila kita turun ke medan, baru kita tahu sebenarnya kita telah masuk ke dalam sebuah lautan yang dalam. Ia adalah medan pertembungan ideologi dan aliran pemikiran.
Pendek kata, ia adalah medan peperangan. Siapa yang lemah akan dimakan, siapa yang kuat akan bertahan. Undang-undang rimba yang kita kira ia sudah tidak 'valid' pada zaman teknologi maklumat kini, sebenarnya dipakai dalam kanun alam manusia, cuma berlainan bentuk dan warna.
Sesiapa yang merasakan dia ingin perjuangkan keadilan dan menolak kezaliman 'semata-mata', maka percayalah bahawa dia memainkan peranan besar dalam menggerakkan ideologi manusia yang lain. Dia akan menjadi boneka kepada permainan liberal yang merancang peperangan ideologi terhadap umat Islam sejak dahulu lagi.
Mereka berani menggerakkan umat ini walaupun umat ini Islam, tetapi pemikiran umat (terutama golongan remaja) pada hari ini rata-ratanya tidak jauh berbeza antara yang 'faham Islam' dengan yang berpemikiran liberal.
Pejuang Islam, harus menyedari dan memahami, bahawa projek kebangkitan umat Islam tidak akan lengkap tanpa masyarakat yang sedar, faham, cakna, hidup jiwanya, dan faham apa yang diperjuangkannya. Kebangkitan yang bernada juz'ieyat seperti 'menolak kezaliman' dan 'menegakkan keadilan' adalah slogan yang diterima umum kerana setiap agama melarang kezaliman dan menuntut untuk berlaku adil.
Umat Islam perlu sedar bahawa agenda perjuangan kita lebih besar daripada 'menegakkan keadilan', ia adalah menegakkan agama "Iqamatud Din". Adapun sebenarnya projek-projek tampalan ini ingin menegakkan ideologi 'kebebasan mutlak' mereka yang terang benderang berlawanan dengan idealisme perjuangan Islam itu sendiri.
"Dia telah mensyariatkan daripada Deen itu apa yang telah diwasiatkan kepada Nuh, dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), serta Ibrahim, Musa dan Isa, iaitu hendaklah kamu semua menegakkan agama dan janganlah berpecahbelah dalam urusan itu, sungguh begitu besar perkara itu bagi orang musyrikin (sukar untuk menerimanya) terhadap apa yang kamu seru mereka terhadapnya. Allahlah yang memilih daripada rasul-rasul-Nya siapa yang Dia mahu, dan Dia jugalah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang bertaubat (kembali)" - Surah Al-Syura
Mencari formula kebangkitan umat Islam sebenarnya tidak semudah mencari sebab untuk memberontak kerana kezaliman, rasuah, penyelewengan dan korupsi pemerintah. Sifir kita harus sungguh mendalam dan berbeza dengan sifir orang biasa. Membina sebuah tamadun yang gemilang berbeza sifirnya dengan membina sebuah rumah yang usang.
Kita harus menggali sejarah silam untuk membangunkan masa depan yang gemilang. Benarlah kata Imam Malik RHM ;
"Tidak akan bangkit/hebat umat ini, melainkan dengan cara orang terdahulu bangkit/menjadi hebat"
Maslahat yang hanya difahami golongan beramal
Saya sangat meyakini apa yang disebut oleh Al-Izz bin Abd Salam RHM dalam kitabnya "Qawaidul Ahkam fi Masolihil Anam" bahawa maslahat itu terbahagi kepada tiga :
1. Maslahat yang diketahui oleh orang bodoh dan orang pandai.
2. Maslahat yang hanya diketahui oleh orang pandai.
3. Maslahat yang hanya diketahui oleh para awliya' (orang yang rapat dengan Allah).
Sultanul Ulama' (gelaran kepada syeikh Al-Izz) membawa satu dalil daripada surah Al-Ankabut ayat 69 ; "Dan sesiapa yang berjuang kerana Kami, Kami akan tunjukkan padanya jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah bersama orang yang berbuat kebaikan".
Dalil ini menunjukkan perbezaan di antara orang yang berjuang/berjihad mencari keredhaan Allah, dengan orang yang tidak sebegitu. Orang yang berjihad Allah akan membuka jalan-jalan Allah dengan ilmu dan makrifat-Nya. Sedangkan orang yang berdosa dan tidak melawan nafsunya akan sentiasa dalam kegelapan dan kesesatan, tidak mengetahui maslahat yang Allah letakkan dalam syariat-Nya.
"Adakah Kami akan menjadikan orang yang beriman dan beramal soleh sama seperti orang yang berbuat kerosakan di muka bumi ataupun adakah Kami menyamakan orang bertaqwa dengan orang-orang berdosa ?" - Surah Shaad
"Adakah sama orang yang beriman dengan orang yang fasiq ? Mereka langsung tidak sama !" -Surah As-Sajadah
Orang kafir, jelas kesongsangan pemikirannya kerana bertuhankan nafsu. Orang muslim sifirnya jelas kerana mizannya benar berakidahkan Islam dan beriman dengan hari akhirat. Bila begitu sifirnya ternyata berbeza penilaiannya.
Sekiranya kita mahukan untuk bertemu pada titik pertemuan, kita harus benar-benar jelas dengan apa yang kita perjuangkan dan tegas dengan prinsip-prinsip yang menjamin ketulenan perjuangan kita. Adapun sekiranya kita hanya cair dengan percaturan mereka, kita sebenarnya mencairkan agenda perjuangan kita.
Nak fahamkan orang kafir mengenai keindahan Islam ?
Boleh, sekiranya umat Islam bersedia untuk melaksanakan keindahan itu dalam segenap hidup mereka. Orang kafir takkan faham keindahan Islam (jika melihat pada umat Islam) sekiranya umat Islam sendiri tidak mampu menjaga akhlak, kata-mengata, dan hanya mengamalkannya pada beberapa juzuk dalam hidup mereka.
Adapun sekiranya kita 'hanya' berpada dengan persepakatan dalam perkara bersama, ia takkan menunjukkan keagungan Islam, bahkan seolah-olah Islam itu terlalu mudah untuk bertolak-ansur dan tidak berprinsip kerana asyik melayan kerenah golongan non-muslim.
Bukankah Allah pernah menyebut kepada Ar-Rasul SAW :
"Mereka berharap agar engkau (wahai Muhammad) bertolak ansur dengan mereka, lalu mereka pun boleh bertolak ansur" - Surah Qalam
Jangan berpada jadi pelakon tambahan
Bila kita kata kita mahukan kebangkitan Islam, yang mendokongnya adalah orang Islam, yang mengasaskannya juga adalah orang Islam, dan yang mempertahankannya juga adalah orang Islam. Di situlah titik perpaduan, titik perjuangan, titik kemuliaan bagi akidah yang kita pegang dan perjuangkan.
Saya agak terkilan pada waktu kini kita seolah-olah menjadi pelakon tambahan bagi menjayakan beberapa agenda-agenda pihak bukan Islam. Apabila isu yang menyebelahi pihak kafir kita sokong sepenuh jiwa raga dan kita kata dia mad'u kita, bila isu 'kita' kita bantai sesama Islam.
Mana mizan yang kita pakai ? Bukankah hukum asal muamalah dengan orang muslim adalah kasih sayang ? Habis hancur semua kayu ukur kita.
Sesungguhnya, telah berjayalah projek liberalisasi (saya samakan ia dengan perang saraf/pemikiran) dalam membentuk gaya pemikiran yang rosak dalam anak bangsa kita.
Para rasul dahulu memperjuangkan dengan sejelasnya, 'agenda tauhid dan iman' kemudian disusuli dengan langkah menyeru untuk membuang amalan-amalan taghut, buruk dan keji seperti riba', kezaliman dan sebagainya. Asas yang tertanam dengan iman yang suci dan murni membawa mereka kepada fitrah asal kejadian, membenci yang mungkar dan mencintai yang makruf. Pengharaman arak dan pensyariatan hijab menjadi saksi sejarah, betapa manhaj fitrah yang dibawa oleh Islam menyelesaikan masalah umat Islam dengan begitu murni dan indah.
Generasi terdahulu menjadi hero dalam perjuangan mereka, sehingga ditulis sejarah perjuangannya dalam kitab yang dijaga sehingga hari Kiamat untuk diambil pengajaran bagi umat agar terpandu dan beringat.
Oleh itu mustahil untuk kita melihat anak bangsa yang berjiwa dan berjati diri Islam yang kental, mampu dilahirkan sekiranya jiwa sanubarinya kotor dan tidak pun mahu membuang 'kezaliman' yang ada dalam hatinya.
Perarakan beramai-ramai mahupun menghimpunkan sejuta manusia, tetap tidak sama bilangannya dengan ratusan tentera Badar yang memiliki iman yang suci murni yang hanya nampak di hadapannya kalimah Allah untuk ditegakkan.
Sebab itu saya sebutkan, jangan sekali-kali kita hanya berpada jadi pelakon tambahan, kelak nanti bila pengarah filem tak mahu, kita dibuang kerja sesuka hati. Jadilah seorang yang punyai wawasan dan agenda tersendiri, tanpa terpengaruh dengan agenda arus dunia yang selalu menipu manusia.
Menuju perpaduan dalam satu rangka agenda
Imam Ibnu Taimiyyah (seperti yang dinaqalkan oleh Abu Ammar dalam Al-Muntalaq) merungkai istidlal (apa yang ditunjukkan dalam dalil) dalam surah At-Taubah ;
"Sekiranya kamu tidak pergi berperang pasti Dia akan mengazab kamu dengan azab yang pedih, lalu Dia akan menggantikan kaum selain daripada kamu, sedangkan kamu tidak dapat memudaratkan Dia dengan sesuatu apa pun, dan Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu"
Beliau menyebut bahawa sekiranya umat Islam tidak pergi berjihad, pasti Allah akan mengazab mereka. Di antara bentuk azab yang Allah timpakan pada umat Islam adalah azab perpecahan. Apabila mereka tidak ada perjuangan, mereka akan mula berselisih sesama umat Islam dan membawa kepada pertengkaran dan perpecahan.
Jika kita sebutkan jihad, ia membawa satu maksud yang sangat umum, lebih-lebih lagi dalam konteks kita di Malaysia. Ada yang kata kita belajar pun berjihad, jihad ekonomi dan sebagainya. Jadi saya mahu lebih khususkan, kita pergi kepada kalimah 'agenda' yang lebih terpandu dan lebih jelas. Ia juga boleh dinisbahkan kepada 'projek Islam' di Malaysia.
Umar Abd Aziz apabila dilantik menjadi khalifah, beliau telah menggunakan 2 kaedah untuk mengelakkan perbalahan di kalangan umat Islam. Kaedah pertama adalah menanamkan sifat benci kepada kedudukan dan pangkat. Kaedah kedua adalah memberi kerja kepada semua golongan yang tidak bekerja atau penganggur. (rujuk Al-Awaiq - Abu Ammar)
Dengan kaedah pertama ia dapat membanteras sebanyak mungkin anasir-anasir yang cuba untuk melakukan pemberontakan dengan menyatakan sebenarnya jawatan kepimpinan itu sangat berat di sisi Allah, dan tiada kebanggaan pun dalam memikul amanah itu.
Dengan kaedah kedua ia dapat menyibukkan umat daripada berbincang mengenai kelemahan-kelemahan sesetengah golongan kepada sibuk memikirkan untuk bersikap inovatif dan produktif dalam bidang kerja masing-masing.
Benarlah pepatah arab :
"Askar yang tidak ada kerja, pakar dalam buat kacau bilau"
Oleh itu umat Islam perlu sentiasa menanam prinsip 'projek Islam' dan 'agenda umat Islam' yang lebih besar agar dirinya tidak terkaut dengan matakail projek liberalisasi yang sangat ganas sehingga melaga-lagakan umat Islam sendiri. Sekiranya kita tidak bermimpi dan bercita-cita, kita pasti akan menjadi mangsa atau pelakon tambahan dalam cita-cita orang lain.
Mengkaji Maqasid dalam Pensyariatan Jihad
Saya mungkin tidak layak dalam membicarakan perihal maqasid syarak kerana belum benar-benar terjun dalam bidang yang sangat tinggi ini.
Bersesuaian dengan peristiwa Israk Mikraj yang baru kita lalui tarikhnya (27 Rejab) saya terfikir untuk berkongsi pandangan mengenai isu Palestin dan jihad secara umumnya.
Dalam hadis Nabi SAW ;
"Akan sentiasa ada segolongan dari umatku, sentiasa menegakkan kebenaran, mereka menentang musuhnya dengan gagah. Tidak memudharatkan mereka siapa-siapa yang menentang mereka, sehinggalah datangnya arahan Allah dan mereka dalam keadaan begitu (berjihad dan berperang/bertahan)" Lalu sahabat RA bertanya : Di manakah mereka wahai Rasulullah ? Lalu Baginda menjawab : Di Baitul Maqdis, dan di sekeliling Baitul Maqdis"
Saya merenung dan berfikir. Ia sebenarnya terkandung makna yang mendalam agar umat Islam ini terus-menerus memikirkan bagaimana sepatutnya keadaan mereka. Terus menerus memikirkan bagaimana mahukan Islam itu tertegak di dunia. Terus menerus memikirkan bagaimana suatu hari nanti dunia akan mengambil Islam sebagai pemimpin.
Ia adalah saranan daripada Ar-Rasul SAW sendiri. Berfikiran jauh, berjiwa besar, pemikiran matang, dan mempunyai wawasan dan agenda projek Islam yang agung.
Betapa banyak kisah-kisah Ar-Rasul menanam dalam jiwa para sahabat erti optimis dan erti jihad yang besar.
"Demi Allah sesungguhnya Allah akan menyempurnakan agama ini sehinggalah seorang penunggang akan berjalan dari San'aa ke Hadramaut, tidak takut melainkan Allah ataupun serigala yang memakan kambingnya"
"Sesungguhnya akan terbukalah Kota Konstantinopel, maka (ketahuilah) sebaik-baik panglima adalah panglima tentera itu, dan sebaik-baik tentera adalah tentera itu"
Saya membaca hadis-hadis ini dengan penuh membara. Bahkan jika kita tanamkan perkara-perkara ini kepada anak-anak kita, mereka pasti akan menjadi orang yang hebat. Ia bagi saya adalah intipati pensyariatan jihad itu sendiri. Ia bertujuan membina generasi umat Islam yang kental, kuat, hebat, dan unggul.
Ia membawa kita kepada agenda yang lebih besar, isu yang lebih besar, perjuangan yang lebih besar. Tidak sekadar menegakkan syariat di tanah air semata-mata, bukan juga menegakkan negara Islam sahaja, juga bukan menegakkan keadilan dan menolak kezaliman .. tetapi ia adalah perjuangan menyerahkan bumi ini kepada Tuannya.
Bagi mengecilkan skop sebagai orang Melayu di Malaysia, agenda pejuang Islam pada hari ini sepatutnya terletak dalam membina kekuatan umat Islam, membina jatidiri yang kental, jiwa yang mantap, punyai rohani yang tinggi, akal yang cerdik, dan wawasan yang jelas.
Mendirikan sebuah negara Islam yang punyai kedaulatan yang sempurna tidak semudah ABC atau 1 + 2 = 3. Ia adalah satu sifir yang sangat kompleks. Satu hakikat yang wajib kita fahami adalah, tugas kita bukan mencari-cari pemimpin yang hebat dan Islamik, tapi sebenarnya kita bertanggungjawab menyediakan umat ini untuk menjadi umat yang mampu memikul tugas mempertahankan kedaulatan Islam.
Abu Ammar berkata dalam kitabnya Sirotunal Mustaqim, dalam bab Tsabatul Islahit Tahti (Tetap Berprinsip Islah dari Bawah), beliau menta'liq (komentar) kisah yang berlaku terhadap Umar Abd Aziz. Walaupun khalifah itu sehinggakan digelar Khalifah Ar-Rasyid yang kelima, namun tempoh pemerintahannya tak sampai 3 tahun, lalu beliau mati diracun. Beliau mengatakan sebenarnya penyelesaian bukanlah terletak pada siapa pemimpin itu, namun ia adalah bergantung kepada 'kesediaan sesebuah umat' dalam menerima pemerintahan Islam yang adil.
Ia adalah ciri-ciri yang tidak ada pada umat kini. Ia bukan umat yang tak tahan dengan harga barang yang naik, atau umat yang cepat melenting bila tidak diberikan tuntutan, atau umat yang manja. Tidak. Ia adalah umat yang perlu dididik dan dilahirkan oleh generasi kini, bagi mempersiapkan generasi harapan pada masa akan datang.
Umat yang mampu menahan lebih perit dari itu, umat yang mampu mendengar arahan apabila disuruh hanya meminum secedok air dalam keadaan sangat panas dan kehausan, umat yang mampu membuktikan itsar dalam keadaan hampir mati, umat yang mampu mengatakan "Walaupun Rasulullah itu dicucuk dengan satu duri pun aku lebih rela mati untuk pertahankan baginda".
Apabila agenda kita jelas, ataupun kita tahu ... Apa kita nak sebenarnya ? Dan apa yang 'sepatutnya' kita sebagai orang Islam itu perjuangkan ??
Maka,
di situlah bermulanya sebuah perjuangan.
---------
"Allahumma hal ballaght ? Allahumma fasyhad ! "
Wassalamu 'ala manittaba'al huda.
*** Clarification : Saya tidak menyokong atau membangkang 'perhimpunan' BERSIH 2.0 adapun tuntutannya saya fikir tiada masalah untuk dituntut, saya cuma nyatakan beberapa sudut pandangan yang harus kita ambil kira sebagai seorang pejuang dalam gerakan Islam. Pandangan ini adalah pandangan peribadi ***