Alpha To Omega: September 2009

Thursday, September 24, 2009

Kembali dengan Fitrah



Salam.

Taqabbalallahu minna wa minkum.
Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430H.

Buat sahabat-sahabat di Mesir, salam rindu dan cinta dari sahabatmu di Malaysia. Sampaikan salam pada semua ikhwah yang mengenali diri.

Raya tahun ini agak meriah. Balik kampung Sg. Pulai (Muar) & Rengit (Batu Pahat). Alhamdulillah. Kasih sayang kekeluargaan semakin terasa erat. Diri rasa lebih bermakna dengan keberadaan keluarga. Diri terasa lebih serius bila fikirkan keluarga. Diri terasa lebih bersyukur kerana mempunyai keluarga yang bahagia. (takut juga bila kufur nikmat nanti Allah tarik - astaghfirullah, nauzubillah min zalik).

Sempat beraya & sembang panjang dengan makcik-pakcik belah ibu dan ayah. Terima kasih kepada semua. Banyak-banyak sangat.

Sedikit renungan Aidilfitri 1430H.

Fikir-fikir Aidilfitri, terfikir pula diri sendiri. Rasa macam tak layak raya pula. Allah jadikan perayaan umat Islam untuk meraikan fitrah manusia yang ingin meraikan kegembiraan setelah mengharungi tempoh jerih payah sesuatu ujian / cubaan.

Ujian dan tarbiyah Ramadhan bukan calang-calang. Bahkan ia sebuah jalan yang Allah sediakan untuk hamba-Nya, hanya kerana untuk memandu mereka bertaabbud pada jalan yang sebenar.

Puasa bagi saya adalah sebuah medan jihad tersendiri yang mempunyai banyak sangat rahsia. Ia suatu medan perjuangan. Medan yang menentukan menang kalah seseorang dalam medan perjuangan yang sebenar (nyata). Kalahnya kita pada puasa Ramadhan kita, akan mengundang kalahnya kita pada medan perjuangan nyata. Nauzubillah.

Walau sesusah macam mana pun ujiannya, walau sehebat mana kita berentap dalam berjuang, akhirnya kita tetap adalah manusia. Tidak akan mampu menjadi sehebat malaikat yang tiada nafsu, juga tidak layak menjadi sehina binatang yang tiada akal yang mampu memikul risalah.

Maka aidilfitri itu Allah jadikan demi meraikan fitrah manusia, yang memang begitu sifatnya. Fitrah yang sukakan kegembiraan. Fitrah yang sukakan silaturrahim. Fitrah yang sukakan ketenangan. Fitrah yang bencikan dendam. Fitrah yang bencikan kezaliman.

Benar.

Tapi kadang-kadang kita lupa, apakah sepatutnya fitrah sebagai seorang hamba ? Gembira sahaja ? Duduk malas berdiam diri saja ? Atau sepatutnya kembali bekerja di 'medan-medan suruhan' yang disuruh oleh Tuan mereka ?

Bila merasakan kita manusia, jangan sekali-kali kita lupa bahawa 'jiwa hamba' kita inilah fitrah kita sebenar yang sepatutnya dirasai. Tapi hamba ini bukan hamba yang hina, bahkan dirinya dimuliakan dengan risalah. Dengan fitrah (hamba yang memikul risalah) ini kita mampu menjadi setegar Bilal b. Rabbah ketika diseksa, seteguh Mus'ab b. Umair ketika menjadi duta ke Madinah, dan setegas Abu Bakar ketika menghadapi golongan murtad.

Hamba itu fitrahnya sentiasa penat, lelah, berpeluh, berterusan bekerja, buat kerja betul-betul dan kurang tidak seriusnya. Rasulullah s.a.w sebaik-baik manusia, baginda juga sebaik-baik hamba. Bagindalah orang yang paling penat dan paling letih. Hanya kerana besar dan agungnya tugas / peranan penghulu kepada pemimpin risalah Islam itu untuk disampaikan ke generasi hingga Kiamat.

Fitrah ini yang sepatutnya dipupuk untuk membina generasi. Membina dan mendidik diri dengan didikan Ramadhan untuk bekerja lebih kuat di medan selain Ramadhan.

Akhirnya kita memang hanya mampu untuk kembali kepada fitrah 'jiwa hamba yang sebenar' dengan merujuk Sirah Nabawiyah (untuk mengetahui praktikalnya), kalau kita mahukan berada di atas jalan membawa umat ke arah kegemilangan era kemanusiaan. Kembalikan ia pada tempat asalnya, barulah ia tahu bagaimana sepatutnya bermula, bergerak dan berakhir.

Wallahua'lam.

p/s : Jemput datang beraya di 7-11. Sila call dulu ya !