Alpha To Omega: Feel things right

Saturday, July 03, 2010

Feel things right


Salam.

Keif hal ? Bikheir InsyaAllah.

Terima kasih kepada semua yang sempat ucapkan selamat hari lahir. Moga Allah membalas pahala orang-orang yang jujur dan ikhlas dalam berukhuwwah.

Yang tak sempat, tak apa. Saya berpegang kepada kaedah "Adamul Wijdan la Yastalzimul 'Adam" - tidak menjumpai tidak semestinya bererti ia memang tiada. InsyaAllah teruskan mendoakan di luar pengetahuan saya. Terima kasih dan jazakumullahu khairan.

--

Post kali ini saya buat ringkas dan santai. Namun ia bagi saya banyak menyelesaikan masalah-masalah (secara maknawi) dalam kehidupan seharian kita. 

See it right in the first place

Bila orang tanya : Apa yang menggembirakan anda ?

Apa yang terlintas di fikiran kita ? Kawan ? Makanan ? Keseronokan ?

Saya mahu jawap : Allah.

Bila orang tanya : Apa yang menakutkan anda ?

Apa yang terlintas ? Musuh ? Syaitan ? Neraka ? Bala bencana atau apa-apa musibah ?

Saya mahu jawap : Diri sendiri.

--

Hikmah di sebalik jawapan ? Saya tak mahu ulas panjang. Adik saya kata saya suka tulis panjang-panjang. Maka saya mahu raikan juga pembaca yang suka baca pendek-pendek.

Dalam soalan pertama, saya mahu jawap Allah kerana Dialah pemberi segala kegembiraan, Dialah yang Maha Adil, Dialah yang Maha Menjaga, dan Dia tidak pernah menzalimi sesiapa. Maka tiada yang dapat memberi kegembiraan melainkan Allah, Tuhan Penjaga Dakwah.

"Sesungguhnya Allah tidak akan zalim walau sebesar zarah. Bahkan sekiranya ada sebesar zarah itu berbentuk kebaikan, maka Dia akan melipatgandakannya dan memberikan dari sisi-Nya ganjaran yang sangat besar" - Surah An-Nisa'

Untuk soalan kedua, saya jawap diri saya sendiri kerana yang menjadikan manusia itu sedih dan dukacita hanyalah diri mereka sendiri. Berapa banyak ayat Al-Quran menyebut mafhumnya ;

"Apa-apa yang menimpa kamu daripada kebaikan maka ia adalah daripada Allah. Dan apa-apa yang menimpa kamu daripada keburukan maka ia adalah daripada dirimu sendiri"

"Sesungguhnya Allah tidak sesekali menzalimi manusia, sedangkan merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri."

Dalam Tahzib Al-Aqidah At-Tohawiyah (yang dikarang oleh Abd Mun'im Solih Al-Aliyy Al-Izzy a.k.a Abu Ammar) mentakwil 'daripada dirimu sendiri' (sedangkan kedua-duanya adalah secara hakikatnya daripada Allah), bermaksud : daripada sebab kesalahan dirimu, maka Allah turunkan keburukan padamu.

--

Saya mahu ambil kata-kata dua orang ulama' yang saya kagumi, Ibnu Qayyim Al-Jauziyah dan Ibnu Athoillah As-Sakandari, berkenaan dua perkara ini.

Ibnu Qayyim menyebut dalam Fawaidnya (saya beri secara ringkas) ;

"Manusia ketika mengadu mengenai sesuatu perkara ada tiga golongan. Golongan pertama, mereka mengadu masalah Allah kepada sesama manusia. Golongan kedua, mereka mengadu masalah manusia kepada Allah. Golongan ketiga, mereka mengadu masalah diri mereka sendiri kepada Allah"

Mungkin pembaca tertanya-tanya, apa maksud masalah Allah ? Maksud masalah Allah di sini adalah segala bala bencana yg ditimpa kepadanya, berbentuk musibah dan kekecewaan. Martabat pertama adalah martabat kebanyakan manusia. Mereka bila ditimpa masalah, mereka akan mengadu pada teman-teman, dan sesiapa yang mereka mahu. 

Golongan kedua adalah golongan yang lebih tinggi martabatnya. Mereka mengadukan masalah yang berlaku ke atas mereka, kepada Allah. Lantas mereka menyebut satu persatu masalah si fulan bin fulan, di dalam tahajjud dan tangisannya kepada Allah.

Golongan ketiga adalah golongan yang paling tinggi martabatnya. Mereka mengadukan masalah diri mereka sendiri kepada Allah. Ini kerana mereka meyakini bahawa segala yang buruk adalah datang daripada sebab diri mereka sendiri (boleh rujuk dalil di atas). Lantas segala kesalahan dan kekecewaan yang menimpa mereka, mereka tidak memalitkannya pada orang lain, bahkan pada dirinya sendiri. Lantas mereka mengadu kecuaian mereka, dan kesilapan mereka, kepada Allah.

Mengenai contoh golongan ketiga ini, kita boleh lihat kisah Nabi s.a.w selepas berdakwah di Taif. Apa yang Nabi s.a.w adukan pada Allah ?

"Ya Allah, sesungguhnya aku mengadu pada-Mu lemahnya kekuatanku, sedikitnya helahku, dan hinanya aku di sisi manusia. Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah, dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapa yang akan Engkau tinggalkanku padanya ? Adakah kepada orang yang jauh daripadaku lantas menyerangku dan menghancurkanku ? Ataupun kepada orang dekat yang Engkau berikan padanya urusanku ?? Selagimana Engkau tidak marah padaku, tidak akan sekali-kali aku berpaling .."

Kalau kita lihat dalam doa baginda s.a.w, langsung tak terdapat kata-kata seperti "penduduk Taif telah melempar batu padaku, sehingga badanku berdarah .. aku telah dihalau.. " atau apa jenis bentuk aduan-aduan. Tapi tidak sekali-kali, bahkan baginda hanya mengadu kelemahannya semata-mata. Subhanallah.

Tunggulah saya di kolammu wahai kekasih Allah !

--

Ibnu Athoillah As-Sakandari dalam Al-Hikam pula menyebut :

"Jika engkau mahu buka pintu raja' (pengharapan kepada Allah) maka lihatlah apa yang Allah sediakan untukmu. Jika engkau mahu bukan pintu khauf (ketakutan pada Allah) maka lihatlah apa yang telah engkau lakukan pada-Nya".

Secara mudahnya, jika kita melihat apa yang Allah sediakan dari bentuk syurga dan nikmat-Nya, dari bentuk pintu taubat yang terbuka dan rahmat-Nya, maka pengharapan kita akan bertambah-tambah dan kita sangat-sangat inginkan perkara tersebut.

Tetapi jika kita melihat diri kita sendiri, dari segi kesilapan dan dosa yang banyak, maka itu akan menimbulkan rasa takut yang sangat dahsyat, sehingga kita rasa hampir mustahil untuk kita ke syurga.

Seorang mukmin yang benar adalah seorang yang mengimbangi di antara kedua-duanya, Al-Khouf dan Ar-Raja'. Mereka seimbang pada keduanya.

--

1 Julai merupakan hari pertengahan tahun. Cubalah kira. Kalau tidak tepat-tepat di tengah-tengah pun pasti beza dua atau tiga hari. Saya bukan mahu menilik atau menyatakan fadhilat-fadhilat tarikh seperti ahli nujum atau pakar horoskop. Tapi cuma tertarik dengan tarikh tersebut yang rasanya memberi banyak teguran pada diri saya setiap sempena hari kelahiran.

Ia menegur saya untuk menjadi seorang mukmin yang seimbang. Islam mengajar kita bahawa sebaik-baik perkara adalah pada pertengahannya. Islam mengajar kita kena seimbang antara khauf dan raja'. Islam juga mengajar kita agar keseimbangan amalan dakwie perlu selari dengan amal fardie dan tarbawi. 

"Dan demikianlah Kami telah menjadikan kamu satu umat pertengahan" - Surah Al-Baqarah

Ada tafsiran yang mengatakan maksud umat pertengahan itu adalah umat yang adil. Tidak memberat-beratkan dan tidak meringan-ringankan.

--

Kesimpulan yang saya ingin bawakan di sini, adalah jika kita ingin hidup bahagia, aman tenteram dan harmoni, maka sebenarnya penyelesaian masalah yang diajarkan oleh Islam itu sangat praktikal dan waqiey (realiti).

Dengan memandang kesalahan pada diri, kita jadi husnuzzon dengan orang lain. Dengan memandang kebaikan semuanya pada Allah, kita jadi husnuzzon dalam semua perkara. Dalam membentuk kedua-dua perkara itu, Islam mengajar kita untuk menjadi mukmin yang seimbang dan tawazun dalam semua perkara.

Seimbang dan adil tidak bermakna 50-50, tetapi ia bermaksud memberikan suatu pada haknya yang sepatutnya. Memberikan hak badan, hak saudara, hak ukhuwwah, hak ahli bait, hak keluarga, hak akal dan berbagai hak lagi, semuanya perlu diberikan pada kadar yang sesuai.

Indah tak dunia yang dipenuhi dengan husnuzzon dan kasih sayang ?

Maka baru dengan ini baru kita boleh fahami hadis Nabi s.a.w :

"Sesungguhnya Allah itu Maha Cantik, dan sukakan kecantikan"

Selamat memandang dunia dalam perspektif yang penuh kecantikan dan keindahan.

p/s : Orang kata pada saya ; umur dah 23 ni .. bila nak dirikan masjid ? Saya jawap : Sebelum kita fikir nak dirikan masjid, saya nak fikir untuk bebaskan masjid dulu.

(Qabla an nabniya masjidan, Lazim an nuharrira masjidan)

Al-Aqsa sudah lama menunggu di sana. Darah-darah syuhada' dah lama memberikan harumannya pada kita. Tak rasa rindu ? Ataupun .. tak rasa malu ?

Wallahua'lam. Wassalam. 

p.p/s : Maaf, terpanjang pula.

1 Comments:

Blogger Ummu Suhaib said...

Subhanallah..sungguh menyentuh kalbu aunty dayat...Jzkk 4 this post..

12:06 am  

Post a Comment

<< Home