Alpha To Omega: Eid Mubarak - Wida'an ya Akhawayy (Ust Hanis & Ali Husaini)

Tuesday, October 07, 2008

Eid Mubarak - Wida'an ya Akhawayy (Ust Hanis & Ali Husaini)


Salam.

Eid mubarak dan selamat hari raya kepada semua.

Maafkan segala silap dan salah, zahirnya dan batinnya, dalam dan luar.

Jika ada sebarang masalah yang belum selesai, insyaAllah, saya menerima sebarang surat menyurat dan email-mengemail untuk menyelesaikan apa yang perlu.


Ramadhan telah pergi dengan seribu satu pengajaran. Waktu berlalu dengan begitu cepat. Ramadhan bertamu dalam hidupku sangat sekejap. Terlalu sebentar rasanya. Ramadhan bagiku tahun ini, aku takut-takut aku tidak diampunkan dosa, wal'iyazu billah.

Gambar - Dari kiri - Ikhwan, Ust Hanis, Ali Husaini.

Di sini saya ingin menyampaikan salam rindu dan sayang buat keluarga tersayang, sahabat-sahabat di Malaysia dan seluruh negara yang sudah lama tak ketemu, salam aidilfitri daripada saya, yang jauh di Mesir. Semoga kita dapat bertemu dalam kasih-Nya suatu hari nanti.


--- Formal Writing ---


Semalam, saya menghantar dua orang sahabat ke Cairo International Airport. Satu namanya Abd Hanis Muhammad, seorang yang bakal menjadi graduan Azhar. Seorang lagi namanya Ali Husaini Adzmi, seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Hira', tahun 1 (masuk selepas ting. 3). Ust Hanis mungkin-mungkin tidak lagi ke Mesir, kerana sudah habis B.A, walhal Ali Husaini yang kini baru di peringkat menengah, insyaAllah akan ke Mesir selepas habis SPM atau STAM beliau, samada jurusan perubatan, atau syariah, asalkan sampai Mesir dulu.


Perpisahan dengan dua orang sahabat, terutamanya Ust Hanis (kerana lama hidup dengan beliau) membuatkanku terkenang beberapa perkara-perkara yang kita tidak boleh tolak, atau dengan kata lainnya, hakikat-hakikat kehidupan, sebagai orang awam, dan sebagai da'ie.


Pada awal perkenalan dengan beliau, beliau di tahun 4, Syariah, dan cawangan Tanta, dan pada masa itu, aku baru sahaja di'tauzi'kan ke Tanta. Layanan yang mesra dan indah berbentuk ukhawi yang aku terima sangat dahsyat. Tidak perlu disebut satu-satu, cukuplah saya katakan bahawa beliau berperibadi 'tak kenal penat lelah' dan sangat-sangat meraikan kami (pada waktu itu sebagai pelajar-pelajar baru).


Kemudiannya kami (aku dan Ust Hanis) bergiat bersama di medan kami, iaitu Tanta. Bekerja bersama, berfikir bersama, dan pada waktu itu, saya merasakan adanya Ust Hanis sebagai orang lama di Tanta (walaupun hanya lebih setahun keberadaannya di Mesir berbanding diriku), menyebabkan saya (ketika itu) berasa selesa dan sejuk, kerana mengharapkan jasa-jasa mereka yang masih ada.


Masa berlalu, sehari, seminggu ... setahun.


Ust Hanis suatu hari berkata kepadaku ; Mil, tiket ana dah konfim 6 Oktober ini.

Tersentak sebentar hatiku. Wah, cepatnya masa berlalu. Dah nak balik dah sorang akh yang banyak berjasa.


Mungkin diriku sedih, dan beliau juga sudah pasti sedih, kerana meninggalkan bumi Anbiya' yang terbentang baginya seribu satu pengajaran dan pengalaman yang tidak dapat diperolehi di tempat lain.


Dalam airport, saya termenung seketika. Memikirkan beberapa pulangan-pulangan tarbawi dalam perpisahan ini.


1. Masa itu sangat pantas.

Sebagai seorang akh yang memahami kepentingan dakwah, pemahaman terhadap harga masa itu sama seperti kepentingan terhadap sebuah kehidupan. Kehidupan harian yang kita lalui saban hari langsung tidak mengenal erti ihsan dan kasihan kepada pemuda-pemuda yang 'lambat' dan malas. Sedar tidak sedar akhirnya barulah seseorang akan menghargai masa mereka tika waktu telah berlalu.

Betapa banyak amal yang dilengahkan ? Betapa banyak masa yang diisi dengan perkara-perkara yang lalai ? Hanya segelintir secubit kesungguhan masa barang seminit dua hasil peluh keringat otak yang berfikir sahaja yang bernilai, bagi seorang pemuda dakwah berbanding berjuta-juta jam dibazirkan . . pada saat beliau kembali mengenang kisah silam.. Betapa aku rasai hebatnya ungkapan hadits Nabi S.A.W :

"Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima ... dan waktu lapangmu sebelum waktu sibukmu .. " - Hadits Shahih

2. Sebarang pertemuan, sekejap atau lama, sudah pasti fana'.

Keberadaanku bersama Ust Hanis dan perpisahanku dengan beliau, merupakan salah satu persinggahan aku dalam terminal-terminal sunnatullah dalam kehidupan. Perpisahanku dengan seorang akh yang berjuang di Mesir, pulang ke Malaysia, meninggalkan aku dan sahabat, meneruskan perjuangan. Perpisahan merupakan suatu hakikat kehidupan. Sama hakikatnya dengan pertukaran siang dan malam, pasang surut air, hidup dan matinya sesuatu ciptaan. Cumanya ia melibatkan dua pihak insan yang berakal dan berjiwa.

" Cintailah siapa sahaja yang engkau mahu, sesungguhnya engkau pasti akan berpisah dengannya " - Hadits Nabi S.A.W

Mahalnya harga perpisahan itu pada kenangan dan nilainya harga kenangan itu pada perjuangan. Nilainya harga perjuangan itu bergantung kepada sejauhmana dekatnya dengan perjuangan Nabi S.A.W, yang memperjuangkan misi terbesar di alam semesta, iaitu Jalan Lurus Menuju Sang Pencipta.

3. Walau apapun yang berlaku, perjuangan terus dan sudah pasti akan berjalan.

Jika bukan kita, orang lain, wal'iyyazu billah. Perpisahanku dengan beliau ini seolah-olah suatu isyarat untuk kita perlu menjadi lebih kuat dan tabah.

Tersentak aku apabila terlintas dalam hatiku ayat-ayat Allah yang berbunyi terguran kepada Nabi Nuh A.S ketika berpisah dengan anaknya yang disangkanya mendapat hidayah, tetapi sebaliknya. Dalam menelan kepahitan perpisahan dengan anaknya itu, langsung membuatkan Nabi Nuh A.S tidak berundur, sebaliknya perjuangannya di atas kapal ketika banjir yang maha dahsyat itu berlaku (boleh rujuk Surah Hud ayat 42-46). Bukan itu sahaja, malah baginda juga terpaksa berpisah dengan isterinya seperti yang disebut dalam Surah Tahrim ayat 10.

Lagi, kisah Nabi Ibrahim A.S ketika berpisah dengan Siti Hajar sang isteri yang penyabar, bersama anak yang masih kecil Ismail A.S. Bayangkan perasaan seorang bapa, yang akan berpisah dengan anaknya dan isteri, menuju ke suatu destinasi yang tidak pasti keselamatannya, mungkin akan pulang mungkin tidak, ditambah lagi si isteri dan anak ditinggal di suatu tempat yang tiada orang, langsung tiada apa. Hanya tawakkal sahaja penyudah segalanya.

Tapi nilainya perpisahan Ibrahim A.S di atas perjuangan dan misi yang Allah tentukan. Baginda berpisah bukan urusan kerja, bukan juga urusan-urusan duniawi yang lain, tetapi suatu urusan yang maha agung, yang menjamin kerusi di firdaus kelak.

Banyak lagi kisah-kisah ... yang mencoretkan hakikat nilai sebuah perpisahan, dan nilai sebuah harga untuk terus berada dalam kafilah perjuangan. Tidak berhenti, sudah pasti sejak azali. Kerana yang berhenti itu cuma kerana manusia, bukan kerana sifat kafilah itu sendiri.

Akhirnya yang menentukan di mana kita adalah, betapa kuatnya kita, betapa tabahnya kita, pada waktu itu.

Mungkin cukup sekadar itu sahaja beberapa perkara yang boleh dikongsi bersama. Kalau terlalu banyak teori takut-takut tak terkejar dek amal.

"Sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah apa yang dibenarkan oleh amal" - Saidina Umar

Akhir kalam, semoga kita sentiasa melalui hari-hari dalam kehidupan kita untuk sentiasa berfikir mengagungkan Allah S.W.T, sentiasa bertasbih bersama-sama setiap benda di muka bumi ini,

" Dan tidaklah semua benda kecuali mereka bertasbih memuji Tuhan mereka, tetapi kamu semua tidak memahami tasbih mereka " - Surah Al-Israa'

kerana tasbih bersama makhluk-makhluk ini menjadikan kita lebih cenderung untuk kembali kepada fitrah makhluk yang tercipta, lebih dekat kita dengan fitrah, lebih dekat kita kepada Allah.

Sekian, mohon maaf segala salah dan silap, semoga kita dipertemukan ramadhan akan datang, bersama.

p/s : gambar-gambarku masa raya belum di upload ke dalam hard disk lagi, tunggu beberapa masa lagi akan dimasukkan insyaAllah.

p/s : It's no matter how strong you will be, it's the matter of strength you need to choose.

Wassalam.




1 Comments:

Blogger thaaqhib said...

feeling rest while reading the irresistible iresta. The well-established shiphood..starts with us.

as it must to be~

while stroking the E.R.T.I.S.A keys several times, i think what u're also.

9:46 pm  

Post a Comment

<< Home